KEBOCORAN loji nuklear Fukushima, Jepun akibat gempa bumi dan tsunami baru-baru ini menimbulkan kebimbangan penduduk dunia.
Malah, rakyat negara ini turut gusar mengenai penggunaan nuklear sebagai sumber tenaga elektrik yang lebih murah di masa depan.
Penggunaan bahan nuklear seperti uranium dan plutonium boleh mengancam keselamatan dan nyawa dan mengakibatkan pencemaran alam sekitar walaupun bahan itu jauh lebih murah berbanding bahan fosil seperti petroleum, arang batu dan gas.
Tragedi yang berlaku di Jepun itu seolah-olah satu amaran bahawa tenaga dari nuklear walaupun murah, tetapi boleh mengundang bencana yang cukup besar.
Sebab itu banyak negara yang memilih untuk membangunkan sumber tenaga alternatif baru menggantikan bahan fosil dan nuklear. Antaranya tenaga diperbaharui daripada sumber air sungai, angin, solar dan biomas.
Di negara ini, penggunaan air sungai dilihat lebih praktikal kerana terdapat banyak sumber yang boleh dieksploitasi.
Malah ia lebih mesra alam dan mampu menggantikan peranan stesen janakuasa elektrik konvensional.
Melalui program Tenaga Yang Diperbaharui Secara Terhad (SREP) misalnya, ia sesuai dilaksanakan di negara ini kerana terdapat banyak aliran sungai yang boleh dimanfaatkan.
Projek SREP tidak menyebabkan pencemaran alam sekitar termasuk pencemaran pada air sungai sendiri.
Antara negara yang telah membangunkan SREP menggunakan air sungai ialah India, Vietnam dan Kemboja.
Di negara berkenaan janakuasa SREP bukan sahaja berjaya menyediakan tenaga elektrik yang murah tetapi projek itu turut berjaya mengatasi masalah banjir di India.
Di negara ini, SREP akan dibina di Temerloh, Pahang oleh JMT Tenaga Sdn. Berhad.
Syarikat berkenaan akan membina dua projek stesen janakuasa Hidroelektrik mini di Pulau Temerloh dan Pulau Lebak.
Ia adalah projek pertama seumpama itu yang di bina di negara ini.
Kedua-dua SREP itu akan menjadi projek perintis dan sebelum dimajukan di negeri-negeri yang mempunyai banyak sungai seperti negeri Perak, Kelantan, Johor, Sabah dan Sarawak.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif JMT Tenaga Sdn. Berhad., Datuk T. Puspanadan, projek tersebut tidak akan menjejaskan kualiti alam sekitar.
Malah, kehidupan harian penduduk kawasan sekitar yang bergantung kepada sungai sebagai sumber pendapatan juga tidak terganggu.
Katanya, janakuasa elektrik itu memberikan banyak kelebihan kepada penduduk kerana ia dapat mendalamkan sungai dan sekali gus menangani masalah banjir.
"Projek ini yang berasaskan konsep baru menggunakan air sungai adalah yang pertama akan diperkenalkan di negara ini.
"Ia mampu menghasilkan 30 megawatt (MW) bekalan elektrik. SREP tidak menggunakan tanah penduduk tetapi hanya menebus guna tanah sungai dan tanah kerajaan di antara kedua-dua pulau tersebut," kata Puspanadan.
Tambah beliau, projek yang bernilai RM70 juta itu telah mendapat kelulusan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air serta kerajaan negeri Pahang dan akan dimula tidak lama lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: