Tuesday, April 12, 2011

Siswa asing proses syabu

BUKTI...Wan Abdul Bari (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas daripada suspek.
BUKTI...Wan Abdul Bari (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas daripada suspek.

KUALA LUMPUR: Dua pelajar institut pengajian tinggi (IPT) warga asing ditahan polis selepas serbuan di rumah mereka di Jalan Seri Jati, Puchong, Khamis lalu, menemui dadah jenis syabu.

Dalam serbuan kira-kira jam 3.30 petang itu, polis merampas dadah seberat 2,173 gram yang dianggarkan berharga lebih RM500,000.


Difahamkan, sebelum itu polis menerima aduan orang awam yang mengesyaki kondominium terbabit dijadikan pusat pemprosesan dan pengedaran dadah sejak setahun lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, berkata polis bergegas ke lokasi dan terserempak beberapa lelaki warga asing yang cuba melarikan diri.


Hasil pemeriksaan, polis menemui kunci rumah yang membawa kepada penemuan syabu dalam kondominium terbabit.


Dalam serbuan itu, polis turut merampas peralatan yang digunakan untuk tujuan pemprosesan dadah terbabit.

Beliau berkata, selain menahan dua pelajar IPT berusia 26 dan 38 tahun terbabit, seorang ahli perniagaan berusia 38 tahun turut ditahan.


“Mereka terdiri daripada warga Nigeria dan Liberia. Ahli perniagaan terbabit sudah beberapa kali berulang-alik ke Malaysia atas urusan perniagaan dan rekod menunjukkan kali terakhir dia memasuki negara ini pada 3 Mac lalu.“Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.


Katanya, polis meneruskan siasatan terhadap kes itu mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.


Sementara itu, pada 9 April lalu, satu lagi sindiket dadah didalangi rakyat tempatan ditumpaskan di sebuah pangsapuri di Taman Sri Sentosa, Batu 6, Jalan Klang Lama.


Menurutnya, operasi yang dijalankan bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menerusi Ops Tapis Bersepadu itu membawa kepada penangkapan dua lelaki berusia 34 dan 38 tahun serta seorang wanita berusia 38 tahun.


Dalam serbuan itu, polis merampas 47.5 gram dadah jenis heroin yang cuba disembunyikan wanita terbabit dalam seluar dalamnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: