Wednesday, April 13, 2011

Rezeki imej bertudung

pix_gal0
Farah rancang muncul dengan lagu baru pada tahun ini

SEKIAN lama menyepi daripada bidang nyanyian, Farah Diana Anuar masih menyimpan hasrat untuk merakamkan album terbaru jika berpeluang, meskipun dirinya kini kian dikenali sebagai hos program televisyen.Bahkan, dia meletakkan sasaran untuk melahirkan single terbarunya tahun ini, meskipun dirinya kini sedang sibuk mencongak tarikh perkahwinan yang dijadualkan berlangsung selepas Aidilfitri nanti.
Impiannya untuk memiliki sekurang-kurangnya single terbaru tidak dihalang bakal suaminya yang dikenali sebagai ‘J’, malah tidak pernah menghalangnya untuk terus terbabit dalam bidang seni.

Bagi Farah, keizinan yang diberikan oleh tunangnya satu penghormatan baginya untuk terus terbabit dalam bidang seni walaupun dirinya kini tampil dengan imej bertudung dan menitik beratkan soal penampilan diri yang lebih sopan.

Mengikat tali pertunangan dengan jejaka itu pada 25 Disember lalu, Farah tidak menafikan rezekinya kini kian bertambah selepas bertunang. Sejujurnya, dia masih ligat menerima undangan menyanyi di majlis korporat.

Kesibukan sebagai pengacara program TV juga tidak pernah menghalang dirinya untuk kembali bergiat aktif dalam bidang nyanyian biarpun dia pernah kecewa dengan album keduanya, suatu ketika dulu.
"Sekarang saya sibuk dengan program Rasa Halal Vietnam di Astro Oasis dan juga sebagai hos program Nasi Lemak Kopi O di TV9. Begitupun, bagi rancangan berkenaan saya hanya akan tampil sehari saja dalam seminggu sama ada Jumaat, Sabtu atau Ahad.

"Selain itu, saya juga masih lagi berbincang dengan pihak Astro dan RTM sebagai pengacara program mereka. Syukur Alhamdulillah rezeki saya semakin bertambah selepas bertudung dan bertunang ini," katanya.

Selepas hampir setahun tampil dengan imej bertudung, Farah masih mahu meneruskan hasratnya untuk bergerak cergas dalam dunia nyanyian, malah dia menjadikan penyanyi bertudung lain sebagai pendorong untuk dirinya meneruskan minat dalam bidang terbabit.

Kecewa dengan album keduanya berjudul Fantasia, yang tidak dipasarkan kerana masalah dalaman syarikat yang dinaunginya suatu ketika dulu, sedikit menghampakan dirinya untuk melihat lagu-lagunya diterima peminat.

"Komposer Aidit Alfian ada menasihati saya untuk menubuhkan syarikat dan keluarkan album sendiri kerana dengan cara ini, saya mungkin dapat mengeluarkan album Fantasia yang tergantung itu.

"Di samping itu juga album terbaru saya nanti akan turut memuatkan lagu baru. Saya sudah pun mendengar sebahagian lagu terbabit tetapi nampaknya belum ada yang bersesuaian," katanya.

Ingin tampil beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) suatu ketika nanti, Farah yang pernah memenangi Anugerah Artis Harapan, Anugerah Industri Muzik (AIM) dan Anugerah Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2005 ingin terus dirinya dikenali sebagai penyanyi.

Teringin kendali program bual bicara sendiri

BINTANG kelahiran program TV realiti ini tetap menganggap bidang nyanyian banyak berjasa menaikkan namanya sehingga dikenali ramai, walaupun dirinya kini lebih sinonim dengan program TV.

"Setakat ini saya tidak rasa tersisih ataupun terpinggir kerana peminat masih mengenali saya sebagai penyanyi dan alhamdulillah saya masih diterima peminat walaupun sudah bertudung.

"Kalau diundang untuk mengadakan persembahan, masih ada peminat yang datang tengok saya menyanyi sebab mereka tahu, saya masih seorang penyanyi," katanya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar majlis amal Kasihmu Ke Syurga sempena Hari Ibu anjuran Xtra Talent Production & Management, baru-baru ini.

Bukan saja nyanyian, Fara turut menyimpan hasrat untuk memiliki program bual bicaranya sendiri suatu ketika nanti, malah keserasiannya mengendalikan program TV sebelum ini dianggap sebagai platform untuknya terus bertapak dalam bidang pengacaraan.

Apa juga bidang yang ingin diterokainya, Farah tidak menyimpan hasrat untuk menceburi bidang lakonan meskipun meminati bidang terbabit kerana menganggap dirinya bukanlah seorang yang mempunyai tahap kesabaran yang tinggi untuk berada begitu lama di lokasi.

Baginya bidang lakonan sesuatu yang mencabar dan menguji kesabarannya walaupun pernah terbabit dalam beberapa drama sebelum ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: