
NAMA kumpulan Goldkartz pastinya agak asing bagi segelintir peminat muzik tempatan. Namun di kalangan kaum Sikh di negara ini, mereka cukup dikenali sebagai sebuah kumpulan yang memperjuangkan irama urban Bhangra.
Dianggotai oleh pasangan duo adik-beradik, Manjit Singh, 26, dan Sukhjit Gill, 22, Goldkartz mula ditubuhkan pada tahun 2008 serentak dengan kelahiran album pertama mereka berjudul Loaded.
Biarpun baru menghasilkan album sulung ketika itu, kumpulan berkenaan telah mendapat beberapa pengiktirafan. Antaranya daripada Malaysia Book Of Record untuk album Bhangra pertama yang diterbitkan di Malaysia.
Bukan itu sahaja, salah satu lagu mereka dalam album Loaded yang berjudul Tu Khendi She turut tercalon dalam kategori Lagu India Tempatan Terbaik di Anugerah Industri Muzik 2009 (AIM 2009).
Setelah kali terakhir menghasilkan album tiga tahun yang lalu, kini kumpulan tersebut baru sahaja melancarkan album terbaru mereka berjudul 24 Karaatz.
Salah seorang anggotanya, Manjit atau lebih dikenali M-Ji, berkata, untuk album terbaharu itu, ia mengandungi sebanyak 17 buah lagu yang terdiri daripada bahasa Melayu, Inggeris, Tamil dan Punjabi.
“Istimewanya tentang album ini, ia mengandungi pelbagai jenis bahasa yang melambangkan kepada kehidupan masyarakat majmuk di negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum.
“Berdasarkan kepada album kami sebelum ini, ternyata ia mendapat sambutan yang cukup baik apabila terjual sebanyak 3,000 unit dan sudah tentu kami berharap untuk album 24 Karaatz ini akan terjual lebih banyak lagi,” ujarnya.
Mendapat perhatian
Menceritakan lebih lanjut mengenai album terbarunya itu, M-Ji memberitahu setakat ini beberapa buah lagu mula mendapat perhatian ramai. Antaranya lagu berjudul Ha Karde dan Rock With You yang kerap disiarkan di televisyen dan radio tempatan.
“Dalam album ini juga, terdapat sebuah lagu berjudul Bebaskan Hatimu yang menggandingkan kami bersama penyanyi rock terkenal iaitu Awie dan kami sedang cuba untuk mempromosikannya di stesen radio,” jelasnya.
Sehingga kini, beberapa buah lagu yang terkandung dalam album 24 Karaatz sering disiarkan di saluran televisyen seperti ZeeTv dan B4U Astro serta saluran radio THR Raaga.
Sementara itu, biarpun melahirkan rasa gembira dengan kelahiran album terbaru itu, namun mereka akui turut berdepan beberapa cabaran semasa menghasilkannya.
Ujar M-Ji, dia sendiri misalnya terpaksa mengambil cuti yang lama daripada tugasnya sebagai seorang peguam semata-mata mahu menumpukan pembikinan album tersebut, manakala adiknya Sukhjit atau Surj pula sesekali terpaksa mencuri masa memandangkan kini dia masih lagi menuntut dalam jurusan undang-undang di Universiti Malaya.
“Ternyata usaha kami selama ini akhirnya berbaloi. Namun kami berharap album ini bukan hanya diminati komuniti Sikh sahaja tetapi turut diterima oleh seluruh masyarakat di negara ini,” ujarnya,
Pada masa yang sama, kumpulan berkenaan juga turut mendapat penghormatan istimewa apabila majlis pelancaran album tersebut telah disempurnakan oleh isteri Perdana Menteri sendiri iaitu Datin Seri Rosmah Mansor.
Sesuatu yang menarik tentang album kedua kumpulan Goldkartz ini berbanding album sebelumnya, M-Ji dan Surj turut menjalinkan kolaborasi dengan beberapa pemuzik luar negara.
Menurut M-Ji, menerusi album ini mereka telah memilih beberapa nama yang dilihat cukup besar dan kukuh dalam arena industri muzik antarabangsa seperti Rishi Rich, Panjabi by Nature (PBN), Johnny Kalsi, Tigerstyle dan ramai lagi.
“Untuk lagu Ha Karde misalnya, kami telah berkolaborasi dengan Rishi Rich dan Mumzy Stranger yang begitu terkenal di United Kingdom serta Shankar Mahadevan yang juga legenda penyanyi dan komposer dalam industri Bollywood.
“Jadi, memandangkan kami banyak menjalinkan kolaborasi dengan artis luar, sebab itulah kami terpaksa mengambil masa sehingga 18 bulan untuk menghasilkan album ini,” ujarnya.
Jelasnya lagi, memandangkan komuniti Sikh yang dilihat agak kecil di negara ini, mereka turut menyasarkan penjualan album berkenaan sehingga ke peringkat antarabangsa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: