Sunday, April 24, 2011

Rawatan makin moden

RAWATAN AWAL... peluang sembuh kanak-kanak lebih tinggi.
RAWATAN AWAL... peluang sembuh kanak-kanak lebih tinggi.

SUKAR membayangkan perasaan seseorang yang disahkan mendapat kanser — sesuatu yang menakutkan dan dianggap penyakit yang mempunyai peluang tipis untuk sembuh.

Baru diberitahu mempunyai ketumbuhan dan perlu menjalani pembedahan pun sudah tidak tentu arah rasanya, inikan pula jika diberitahu mendapat kanser.


  • Foto

    LEUKEMIA MYELOID... menyerang darah.

  • Foto

    LYMPHOCYTE... salah satu kanser darah.

  • Foto

    NGERI... rupa kanser paru-paru.

  • Foto

    BAHAYA... kanser sel otak.

Emosi merudum tidak dapat dielakkan kerana beranggapan jangka hayat tidak panjang dan menuju kematian.

Pada 2009, kajian mendapati kanser ialah penyebab kematian ketiga paling tinggi, khususnya di hospital awam di negara ini. Gaya hidup tidak sihat, terutama pengambilan pemakanan yang tidak seimbang, dikatakan antara punca penyakit ini semakin menular dalam masyarakat hari ini.


Jika selama ini kanser dikaitkan dengan pesakit yang berumur, laporan Pertubuhan kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan semakin ramai golongan muda, termasuk kanak-kanak, dikesan menghidap kanser.Pada 1994, kanser penyebab kematian nombor dua paling utama di Amerika Syarikat, manakala di Malaysia, ia punca kematian ketujuh paling utama di kalangan kanak-kanak berusia 15 tahun ke bawah.

Namun, usah berputus harap kerana kemajuan teknologi perubatan hari ini menyediakan pelbagai rawatan terkini yang mampu mengurangkan gejala, malah penyakit pembunuh itu juga kini boleh dikesan lebih awal jika seseorang itu segera berjumpa doktor apabila mendapati ada gejala yang dikaitkan dengan penyakit berkenaan.

Tidak mustahil penyakit yang sering dianggap sukar sembuh ada penawarnya atau peluang untuk sembuh cerah.

Kemajuan paling menyerlah ialah dalam bidang rawatan kanser kanak-kanak kerana peluang sembuh melebihi 90 peratus. Ia pencapaian memberangsangkan untuk penyakit yang satu ketika dulu tidak mampu atau tidak dapat diubati.

Ada sinar harapan untuk pesakit kanser, terutama kanak-kanak, sembuh daripada penyakit berbahaya itu berikutan pada usia muda, kanak-kanak dikatakan mempunyai kebolehan untuk pulih lebih baik daripada pesakit dewasa.

Pada 2000, kajian menunjukkan satu dalam 900 orang dewasa di negara maju ialah mereka yang pernah menghidap kanser sewaktu kanak-kanak.

Malaysia juga tidak jauh ketinggalan dalam bidang perubatan. Kemajuan dalam bidang perubatan menyaksikan ramai kanak-kanak yang dulu menderita kanser meniti kehidupan baru apabila bebas daripada penyakit berkenaan.

Seperti individu lain yang sihat, bekas pesakit ini mampu menjalani kehidupan normal seperti bekerja dan menjadi anggota masyarakat, berkahwin serta melahirkan anak yang sempurna sifatnya dan sihat.

Perkembangan positif itu memberi semangat kepada pesakit kanser baru. Harapan masyarakat daripada segi keupayaan dan kecanggihan rawatan diberi di hospital kerajaan juga semakin meningkat, selaras kemajuan dalam perubatan moden.

Hospital tempatan berupaya menawarkan protokol rawatan terkini dengan kepakaran perubatan yang sama tarafnya dengan hospital luar negara.

Mengikut laporan National Cancer Registry 2003, ada seramai 1,163 pesakit kanser kanak-kanak di negara ini. Kebanyakan mereka menjalani rawatan di institusi kerajaan utama seperti Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur manakala yang lainnya dirawat di lima hospital wilayah seperti Hospital Umum Kuching, Kuching; Hospital Likas, Kota Kinabalu; Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, Hospital Pulau Pinang dan Hospital Raja Perempuan Bainun, Ipoh.

Pakar Perunding Kanan Pediatrik & Pakar Perunding Kanan Hematologi & Onkologi Pediatrik, Ketua, Unit Kematologi & Onkologi, Pemindahan Sum-sum Tulang Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur, Dr Hishamshah Mohd Ibrahim berkata, risiko untuk kanak-kanak berusia kurang 15 tahun di negara ini mendapat kanser ialah satu dalam 867 orang.

Kanser paling kerap dikesan pada kanak-kanak berusia kurang dari lima tahun (49 peratus) diikuti kanak-kanak berumur antara lima ke 10 tahun (28 peratus) dan selebihnya antara umur 10 ke 15 tahun.

“Kanak-kanak lelaki lebih banyak menghidap kanser berbanding perempuan pada nisbah 1.4:1. Semua kaum di Malaysia diserang pelbagai jenis kanser dan tiada perbezaan ketara antara kaum. Pada amnya, jenis kanser didapati di Malaysia hampir serupa dengan di negara maju,” katanya.

Kajian ‘Childhood Cancer Incidence in Malaysia, 1993-1995’ di bawah pembiayaan program Penyelidikan Skim Peningkatan Keutamaan (Irpa) mendapati, jenis kanser kanak-kanak paling kerap berlaku di Malaysia ialah:

1. Leukemia (barah sel darah putih) 43%
2. Barah otak 18.1%
3. Limfoma (Barah kelenjar limfa) 7.5%
4. Neuroblastoma (5.9%) — berasal daripada tisu ‘neural crest’
5. Germ cell tumour (5.1%) — berasal daripada tisu ‘germ cell’
6. Barah buah pinggang (4.7%)
7. Barah jenis sarcoma (4.7%) — berasal daripada tisu otot
8. Barah mata (retinoblastoma) (4.3%)
9. Barah tulang (3.1%)
10. Barah carcinoma (1.6%)
11. Barah hati (1.4%)
12. Lain-lain (0.2%)

Menurutnya, peluang untuk sembuh cerah jika pesakit datang pada peringkat awal sebelum kanser dihidapi merebak ke tahap berbahaya.

Malangnya, ramai ibu bapa mengambil jalan mudah menggunakan rawatan tradisional apabila terpengaruh dengan dakwaan pihak tertentu mengenai keberkesanan rawatan berkenaan.

Elakkan berhenti separuh jalan ketika menjalani rawatan, sebaliknya dapatkan keseluruhan rawatan disyorkan. Rawatan kanser biasanya menggunakan kombinasi pelbagai kaedah. Pembedahan, ubat kemoterapi dan radiasi akan digunakan bergantung kepada jenis kanser.

Katanya, sesetengah kanser seperti leukemia tidak memerlukan pembedahan dan dirawat secara lazimnya menggunakan ubat kemoterapi.

Kanser yang dikesan pada organ dan tisu seperti barah ginjal atau barah tulang perlu menjalani pembedahan dan diberi ubat kemoterapi. Rawatan radiasi diberi untuk membunuh sisa sel kanser yang tidak boleh dirawat sepenuhnya oleh kemoterapi dan pembedahan.

Pakar kanser kanak-kanak juga boleh kita dapati di semakin banyak hospital kerajaan. Kini ada 12 doktor pakar kanser kanak-kanak dan lebih ramai akan dilatih.

“Walaupun perkembangan dalam perubatan moden semakin baik dalam merawat kanser kanak-kanak, masih ramai ingin mencuba rawatan alternatif dalam mengubat pesakit. Ibu bapa perlu berwaspada jika dijanjikan kanser sembuh 100 peratus dengan cara berubat yang samar-samar dan mahal harganya.

“Seperkara yang perlu diketahui umum, ubat kemoterapi moden sebenarnya berasal daripada tumbuhan tetapi diproses dan diambil intipatinya yang tulen untuk digunakan dalam dos terkawal.
“Malah rawatan cara ini diguna berpuluh ribu orang di seluruh dunia sejak ribuan tahun lalu dan terbukti keberkesanannya menerusi kajian saintifik,” katanya.

Menurutnya, banyak kes pesakit mendapatkan rawatan alternatif tetapi tidak sembuh dan hanya datang ke hospital selepas penyakit melarat pada peringkat yang tidak boleh diubati lagi.

Ada juga pesakit yang berhenti separuh jalan kerana kurang yakin dengan rawatan hospital lalu berikhtiar mengubati kanser dengan rawatan alternatif tetapi mendapati diragui keberkesanannya. Akhirnya mereka kembali semula ke hospital selepas penyakit anak mereka tidak sembuh.

LEUKEMIA — kanser sel darah putih. Sum-sum tulang pesakit yang menghidap leukemia menghasilkan sel darah putih tidak normal. Sel ini mereplikasi secara sendiri tanpa kawalan dan menyebabkan sel darah lain yang dihasilkan sum-sum tulang (sel darah merah dan platelet) berkurangan.
TANDA PENYAKIT — pucat, mudah lebam, selalu mendapat jangkitan, sakit pada sendi dan tulang atau seluruh badan.
JENIS LEUKEMIA KANAK-KANAK — leukemia myeloid akut (AML), leukemia myeloid kronik (CML), leukemia lymphoblastic akut (ALL).
RAWATAN — kemoterapi dan kombinasi ubatan.

JENIS KANSER YANG BOLEH BERLAKU PADA KANAK-KANAK

  • Leukemia limfoblastik
  • Leukemia myeloid
  • Leukemia kronik (CML/JMML)
  • Lymphoma (hodgkins, non-hodgkins)
  • Barah organ
  • Barah otak/barah pangkal otak
  • Barah buah pinggang (seperti Wilms Tumours, Clear Cell Sarcoma)
  • Neuroblastoma
  • Barah tulang dan hati
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: