Wednesday, April 27, 2011

PU3 Kickers sudah sebulan berlatih


BARISAN pemain PU3 Kickers yang berazam memburu kejuaraan kategori wanita pada Kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011 bulan depan.


KUALA LUMPUR – Selepas terpaksa berpuas hati di tempat kelima tahun lalu, pasukan PU3 Kickers berazam untuk memburu kejuaraan kategori wanita pada edisi kedua Kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011 yang akan berlangsung bulan depan.

Jurulatih pasukan, Syamsyul Fikri Mustapha, 30, berkata, mereka telah menghantar dua pasukan untuk menjalani latihan intensif sejak sebulan lalu bagi mewakili PU3 Kickers tahun ini.

Menurut Syamsyul, pasukan PU3 Kickers membuat persiapan lebih awal kerana sedar bakal berhadapan dengan perlawanan yang sukar dan mencabar.

“Kebanyakan pemain yang mewakili PU3 Kickers untuk kejohanan futsal kali ini merupakan pemain lama yang telah merasai kehangatan edisi pertama tahun lalu.

“Keserasian di antara mereka juga telah bertambah kerana telah lama bermain bersama dalam satu pasukan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sementara itu, Ketua Pasukan PU3 Kickers, Nor Hasmaizan Hamzah, 26, berkata, kali ini skuad itu akan hadir ke Putrajaya dengan lebih garang dan akan memperbaiki pencapaian tempat kelima tahun lalu.

“Saya menjangkakan kejohanan pada tahun ini juga akan lebih meriah berbanding tahun lepas dengan adanya kategori Larut Malam lelaki selain penyertaan pemain-pemain kategori Antarabangsa,” katanya.

Pasukan Anak Jati Selatan sedia gegar Putrajaya

JOHOR BAHRU – Meskipun tersingkir seawal pusingan pertama pada edisi sulung tahun lepas, pasukan Anak Jati Selatan tetap bersemangat untuk kembali beraksi pada Kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011 di Putrajaya bulan depan.

Pengurus pasukan, Mohd. Nazim Mohd. Rani berkata, untuk edisi kedua yang akan diadakan pada 26 hingga 29 Mei nanti, beliau akan menghantar dua pasukan bagi kategori Larut Malam.

Sebagai persiapan, Mohd. Nazim menjelaskan pasukannya yang terdiri daripada anak jati Johor Bahru sudah mula menjalani latihan sekurang-kurangnya dua kali seminggu.

“Apabila sudah hampir dengan hari pertandingan, mungkin kami akan menggiatkan lagi latihan.

“Kami berazam untuk sampai ke peringkat yang lebih tinggi sekurang-kurangnya ke pusingan separuh akhir,” katanya.

Tegasnya, walaupun tersingkir awal tahun lalu, Anak Jati Selatan yakin akan tampil dengan lebih baik kali ini.

“Kami pasti akan lebih cemerlang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Mohd. Nazim berkata, berdasarkan pengalaman tahun lepas, dia memilih untuk kekal bertanding bagi kategori Larut Malam yang dianggap unik.

Menurutnya, kategori Larut Malam tidak pernah dipertandingkan dalam mana-mana pertandingan futsal lain dan memberi kelebihan buat pemain terutama bagi mereka yang bekerja.

“Selama ini pun kami menjalani latihan waktu malam dan memang sesuai untuk kami menyertai kategori ini.

“Tambahan pula, kami tidak perlu bermain dalam keadaan panas terik,” katanya.

Selain kategori Larut Malam, Kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011 turut membuka saingan bagi kategori Terbuka Lelaki, Lelaki Bawah 18, Terbuka Wanita, Lelaki Bawah 12, serta Terbuka Lelaki dan Wanita Antarabangsa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: