Wednesday, April 6, 2011

Pesona batik Kraftangan


Kraftangan tidak pernah jemu mempromosikan batik sebagai tekstil warisan.


BATIK Malaysia kaya dengan keindahan dan kehalusan seninya yang pasti mempesonakan mata memandang.

Malah fabrik warisan itu menjadi antara produk pelancongan yang sentiasa diketengahkan dalam pelbagai promosi sama ada di dalam mahu pun luar negara.

Jika dahulu batik hanya sekadar untuk kebaya atau kurung, tetapi ia kini mampu melangkaui batas dan sempadan untuk ditampilkan dalam apa juga majlis tidak kira formal mahupun santai.

Kebijaksanaan pereka fesyen mengadaptasi kepada pelbagai rekaan termasuklah untuk majlis santai, sekali gus meletakkan batik Malaysia pada kelasnya tersendiri.

Ini ditambah dengan kehadiran ramai pereka muda yang menyuntik idea-idea segar untuk penampilan lebih elegan sebagaimana yang dilihat pada peragaan fesyen Santai-Santai Glamor' anjuran Kraftangan baru-baru ini.

Majlis berlangsung di Laman Wau Kompleks Kraf, Jalan Conlay, Kuala Lumpur, dengan kehadiran Pengerusi Kraftangan Malaysia, Datuk Zakiah Ahmad serta isteri Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datin Seri Shuryani Shuib.

Penganjuran majlis itu merupakan usaha Kraftangan dalam mengetengahkan kecantikan dan keunikan kraf tekstil itu sebagai fesyen pakaian kontemporari dan eksklusif.

Ia juga diharap dapat meningkatkan minat penggunaan batik dalam gaya hidup masa kini serta membudayakan pemakaian batik.

Pada majlis tersebut, lebih 40 koleksi pakaian kontemporari dan santai dengan pelbagai tema dan konsep menggunakan tekstil batik rekaan terkini diperagakan.

Ternyata batik cukup serasi dengan rekaan fesyen jubah, kaftan,blaus dan pareo, selain kurung dan kebaya dengan suntikan glamor dari segi tata hias labuci dan manik.

Antara yang menarik pada peragaan tersebut ialah koleksi fesyen daripada pereka-pereka batik terpilih seperti Nazari Maaruz, Meriam Atelier, Tinta, Rish Couture, Eco Kraf, D Collection dan Datin Sharifah Kirana.

Himpunan-himpunan ini jelas menampilkan pelbagai idea segar serta praktikal dan sesuai digayakan dalam majlis yang santai.

Pemilihan warna-warna terang mampu memberikan tarikan tersendiri berbanding rona lembut.

Kebanyakan rekaan tidak lari daripada penggunaan motif bunga-bungaan, logam dan hasil-hasil rimba yang jelas melatari keseluruhan rekaan.

Menggunakan warna-warna mewah seperti hitam, merah terang, hijau dan kuning menjadikan penampilan lebih bergaya serta kelihatan anggun.

Malah, percaturan warna yang tepat mampu menjadikan persalinan tampak unik dan berbeza termasuklah kemasan jahitan dan perincian berseni yang menyumbang kepada keindahan seni jahitan.

Selain itu, padanan tudung juga tidak kurang hebat. Kalau dulu tudung sekadar penutup kepala, kini lebih cantik apabila digayakan dengan pelbagai cara.

Ditambah pula dengan ketelitian sulaman tangan serta kreativiti menghasilkan busana yang penuh bergaya.

Aspek ini menguatkan lagi kepercayaan umum bahawa fabrik batik sebenarnya sesuai untuk pelbagai acara sama ada formal, santai mahupun keraian.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: