Sunday, April 3, 2011

Perlu 'baca' aliran sungai

DAYUNG...memerlukan kekuatan tangan.
DAYUNG...memerlukan kekuatan tangan.

"PADDLE forward, harder forward...ok, rest." Itu antara arahan yang sering menerjah gegendang telinga pendayung sepanjang menyertai aktiviti sukan air water rafting.

Malah, arahan itu seakan-akan menjadi 'penyelamat nyawa' ketika bot getah yang memuatkan lapan pendayung melalui kawasan jeram berbatu dan arus deras.


Sedikit kealpaan bukan saja membahayakan keselamatan diri sendiri, malah meletakkan nyawa rakan lain seperti di hujung tanduk.


  • Foto

    TUNJUK...cara memegang pendayung dengan betul.

  • Foto

    PAM...bot perlu diisi angin yang mencukupi.

  • Foto

    MANTAP...barisan pengemudi.

  • Foto

    KESELAMATAN...antara peralatan digunakan untuk mendayung.

Bagi sesetengah orang, sukan air ini berbahaya dan mempunyai risiko tinggi, namun bagi penggemarnya, ia sesuatu yang menyeronokkan.


Sungai Selangor yang terletak di Kuala Kubu Baru antara lokasi yang sering menjadi pilihan mereka yang inginkan cabaran dan keseronokan.


Sungai itu mungkin teknikal bagi pendayung kerana banyak laluan mencabar dan aliran arusnya bergantung pada Empangan Sungai Selangor.

Perkara itu diakui pemandu arah XRAO Rafting Adventure, Muhamad Shahril Firdaus Deris, 33, yang berpengalaman lebih lima tahun dalam aktiviti lasak itu.


Katanya, tidak seperti sungai lain yang mana baik pendayung mahupun pengemudi perlu peka dengan sebarang kelainan pada aliran sungai, Sungai Selangor bergantung pada pelepasan air dari empangan.

"Kita sukar menjangka aliran dan paras air di sungai ini. Jika aliran air besar, perjalanan mungkin menjadi lancar tapi jika sebaliknya, ia memerlukan aspek teknikal yang tinggi.


"Aliran air kecil boleh menyebabkan perjalanan bot tersangkut pada batu-batuan dan adakalanya memerlukan pendayung 'berjalan' di atas air yang mana ia dipanggil 'wide water walking'," katanya.


Pengembaraan meredah jeram dan arus deras sepanjang kira-kira tujuh kilometer itu memakan masa hampir empat jam yang disertai 26 peserta.


Menariknya, peserta dapat merasai pengalaman melalui jeram yang sempit, bot mengiring hampir 90 darjah, meredah arus deras yang pastinya memberi pengalaman berbeza.


Malah, peserta berpeluang melakukan 'body rafting' iaitu mengapung badan dan mengikut aliran air sebelum mengakhiri pengembaraan itu.


Segala keadaan mencabar dilalui dan kepenatan dialami peserta seakan-akan hilang apabila disajikan dengan kesejukan air terjun kecil yang menyegarkan.


Muhamad Shahril Firdaus yang mempunyai pasukan sukan air sendiri berkata, sukan ini ada ramai peminat berdasarkan permintaan orang ramai daripada pelbagai golongan terhadap pasukannya.


Katanya, pengemudi sebenarnya mempunyai tanggungjawab besar kerana keselamatan peserta bergantung kepadanya.


"Sebelum ekspedisi dimulakan, saya terlebih dulu perlu mengetahui selok-belok sungai dan mengingat kawasan yang mempunyai tahap bahaya tertentu.


"Saya juga perlu bijak 'membaca' aliran sungai, terutama sungai yang mengalir terus dari bukit atau gunung," katanya.


Menurutnya, keadaan pendayung juga perlu diambil tahu sama ada tahu berenang atau tidak dan juga pengalaman mereka menyertai aktiviti berkenaan.


Tambahnya, jika berlaku keadaan tidak diingini atau di luar jangka, dia mungkin boleh menduga tindakan apa patut dilakukan.


Seperti sukan air lain, peserta diwajibkan memakai jaket dan topi keselamatan dan dia tidak akan berkompromi dengan dua aspek itu.


"Jaket dan topi keselamatan adalah penting walaupun seseorang itu mahir berenang kerana di sungai, kita tidak boleh menduga apa akan berlaku.


"Setiap arahan pengemudi dan penunjuk arah mesti diberi perhatian dan perlu diingat apabila di dalam bot, semua peserta adalah sama walaupun datang dari latar belakang berbeza," katanya.


Bagi sungai yang mengalir terus dari bukit, pengemudi perlu berhati-hati jika berlaku hujan di atas bukit dan sebarang kelainan pada aliran sungai perlu diberi perhatian.


Katanya, jika berlaku hujan di bahagian atas bukit, arus menjadi deras dan ada kemungkinan berlaku 'kepala air'.


"Lazimnya, kedatangan arus deras atau kepala air boleh dijangka iaitu air sungai menjadi keruh dan disusuli dengan daun kering dan kayu hanyut.


"Jika keadaan ini berlaku, kami perlu mencari berhenti seketika dan mencari kawasan sesuai untuk naik ke tebing," katanya.


Dia berkata, elemen paling penting sepanjang 'pelayaran' itu adalah kerjasama peserta di dalam bot bagi menjamin kelancarannya.


Katanya, semangat itu perlu ada kerana setiap pendayung perlu memainkan peranan masing-masing dan ada persefahaman.

>INFO
* Water rafting merujuk kepada aktiviti meredah kawasan jeram menggunakan bot getah
* Jarak berakit sejauh tujuh kilometer
* Setiap bot getah dinaiki lapan peserta, termasuk seorang jurupandu dan pengemudi
* Dilakukan di Sungai Selangor, Kuala Kubu Baru


>PROFIL
NAMA: Boo Wai Ping
UMUR: 25 tahun
ASAL: Kota Bharu, Kelantan
PEKERJAAN: Kakitangan swasta

KALI pertama menyertai aktiviti ini sedikit sebanyak menimbulkan gementar, namun perasaan teruja berjaya menutup kegusaran itu.

Bagi anak muda ini, peluang menyertai aktiviti ini tidak seharusnya dilepaskan kerana dia mahu merasai sendiri pengalaman itu.

"Sebelum ini saya hanya tahu mengenai sukan ini melalui televisyen dan majalah. Walaupun ingin mencuba sukan ini, saya langsung tidak ada peluang.

"Ajakan teman untuk menyertai aktiviti ini ibarat peluang keemasan dan saya tidak berfikir dua kali untuk menyatakan persetujuan," katanya.

Baginya, keadaan paling mencabar adalah ketika bot yang dinaiki seramai lapan orang termasuk dua pengemudi itu terbalik dipukul arus deras.

"Waktu itu, kami panik dan tergamam seketika berdepan keadaan itu, lebih-lebih lagi ia pengalaman pertama saya.

"Mujur kecekapan pengemudi berjaya menyelamatkan keadaan tanpa kejadian buruk berlaku," katanya.


>PROFIL
NAMA: Yusry Hendra Abu Shah
UMUR: 33 tahun
ASAL: Cheras, Selangor
PEKERJAAN: Kakitangan swasta

KEJADIAN pendayungnya 'ditarik' arus deras sehingga menyebabkan sebahagian atas badannya tenggelam di dalam arus memberi pengalaman berbeza baginya.

Dia tidak menyangka arus itu mampu menariknya dan membuat dirinya terendam seketika sebelum ditarik oleh rakannya.

"Apabila diberi arahan untuk mendayung, saya terus menggerakkan pendayung saya, namun entah kenapa tiba-tiba saya berasa ditarik mengikut arus berkenaan.

"Ketika kejadian berlaku saya mengingatkan diri supaya tidak panik dan cuba memikir tindakan sesuai untuk diambil sebelum berasa kaki dan jaket saya ditarik semula ke dalam bot," katanya.

Namun, kejadian itu tidak membuatkannya serik untuk mencuba lagi aktiviti lasak itu kerana dia mula seronok.

"Ini kali pertama saya mencuba water rafting dan keseronokan yang diperoleh sukar diungkapkan dengan kata-kata.

"Sukan ini sebenarnya menguji ketahanan fizikal dan mental seseorang selain menuntut tahap fokus tinggi," katanya.


>PROFIL
NAMA: Yan Foong Yie
UMUR: 27 tahun
ASAL: Kuantan, Pahang
PEKERJAAN: Pegawai IT

INI kali ketiga dia menyertai aktiviti water rafting dan secara jujurnya dia pernah merasai pengalaman lebih mencabar berbanding di Sungai Selangor.

Namun dia banyak mempelajari ilmu sukan ini, termasuk mengetahui aspek teknikal sungai yang dikira mencabar.

"Pengemudi saya tidak lokek berkongsi ilmu mengenai apa patut dilakukan apabila berdepan keadaan mencabar.

"Oleh kerana sungai ini mempunyai banyak batu dan paras air berbeza, cara mengendalikan bot juga berbeza," katanya.

Dia meminati sukan lasak ini sejak di bangku sekolah dan tidak berasa kekok biarpun sukan ini rata-ratanya diminati lelaki.

"Sukan tidak mengenal jantina kerana ia bersifat 'universal'. Justeru, baik wanita mahupun lelaki boleh menyertai sukan yang mereka minati.

"Bagi saya, tidak kisah apa orang berkata mengenai saya kerana hanya mereka yang terbabit dalam sukan ini boleh menilainya," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: