![]() |
| Mahasiswa ziarah dan menyampaikan bungkusan berbentuk makanan kepada sebahagian penduduk kampung. |
Kelab Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa cawangan Petaling Jaya (PAUIAPJ) mengadakan Program Jalinan Kasih 6 di Kampung Orang Asli, Lubuk Legong, Baling, Kedah, baru-baru ini.
Program yang mendapat kerjasama Perkim Kebangsaan itu disertai oleh 30 ahli PAUIAPJ.
Menurut Pengelola Majlis Permuafakatan Kelab Perkim Universiti (Mampu), Suariza Hidayah Muhammad, program itu diadakan untuk membantu penduduk kampung memantapkan ilmu agama Islam dan akidah mereka selain ingin mengenali secara lebih dekat budaya hidup orang asli.
Katanya, Perkim menggunakan khidmat Institut Pengajian Tinggi (IPT) sebagai penghubung menjalin hubungan akrab dengan segenap lapisan masyarakat dalam menyebarkan dakwah Islamiah secara ideologi berinteraktif dan berkarisma serta menjadikan IPT sebagai penggerak dakwah untuk memberi sokongan padu kepada Institusi Islam di Malaysia.
"Program ini juga bertujuan memotivasi dan berdakwah kepada mereka di mana segelintir penduduk kampung mempunyai masalah sosial yang serius seperti minum arak, ponteng sekolah, hidu gam dan penyalahgunaan dadah," katanya.
Penduduk di situ berasal dari suku kaum Kensiu rumpun bangsa Semang-Negrito yang merupakan satu-satunya populasi penduduk Orang Asli kaum Negrito yang terkecil dan tertua di Semenanjung Malaysia.
Mereka juga mempunyai pertalian keluarga di Kampung Rai, Yala, Selatan Thailand serta bilangan penduduk kampung adalah 270 orang yang terdiri daripada 70 keluarga.
Daripada jumlah itu, 90 peratus beragama Islam dan bakinya masih berpegang dengan animisme.
Suariza yang juga Ketua Unit Kebajikan dan Hal Ehwal Sosial Perkim berkata, kaum Kensiu sukar ditentukan sifat-sifat fizikalnya kerana di kalangan mereka terdapat empat sub kumpulan yang dikenali sebagai Mos, Nakil (atau Dalem), Hetot dan Tanjen.
"Purata penduduk kampung mempunyai sifat fizikal seperti rambut yang kerinting halus, berbadan gelap dan rendah tinggi lima kaki ke bawah, hidung lebar, mata bulat mirip orang Afrika Timur dan kebanyakan mereka adalah seperti penduduk asli di Papua New Guinea," jelas Suariza.
Penduduk kampung menjalankan aktiviti pertanian seperti getah dan mengusahakan tanaman ubi, padi, pisang dan jagung di tanah sendiri serta terdapat segelintir di antara mereka mencari sumber pendapatan di luar kampung.
Mereka juga lebih gemar mencari hasil hutan seperti rotan, akar kayu, buluh, kayu depu, dan binatang seperti kura-kura, labi-labi, tupai, monyet, kera dan lotong dan hasil pencarian itu dijual sebagai pendapatan sampingan.
Kemudahan di kampung itu dilengkapi dengan surau, dewan serbaguna, taman bimbingan kanak-kanak yang diusahakan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).
Penempatan mereka juga dilengkapi bekalan elektrik dan air bagi kemudahan penggunaan harian mereka.
Selain itu, mahasiswa mengadakan ziarah rumah ke rumah dan membawa hamper berbentuk makanan kepada setiap keluarga untuk mewujudkan sifat ramah mesra bersama mereka serta menjemput mereka turut menyertai setiap aktiviti yang diadakan.
Sifat pemalu dan rendah diri menjadikan mereka amat sukar mendekati mahasiswa sekiranya tidak dijemput dan berkenal-kenalan terlebih dahulu.
Aktiviti ziarah itu memberi kesan positif kerana penduduk kampung bersama-sama menyertai aktiviti yang dianjurkan seperti makan bersama-sama dan mengambil makanan yang disediakan untuk dibawa pulang ke rumah.
Melihat program itu tidak mendatangkan bahaya dan kemudaratan, penduduk kampung merestui anak-anak mereka untuk menyertai aktiviti fardu ain, motivasi diri, solat berjemaah serta mendengar kisah sejarah Islam dan Nabi-nabi.
Keperibadian mulia dan kecantikan akhlak yang ditonjolkan oleh mahasiswa menyebabkan anak-anak penduduk kampung hilang rasa malu dan mudah mesra bersama mereka kerana ikatan kasih sayang perlu dibina atas dasar dakwah Islamiah.
Keadaan ini menjadikan aktiviti sukaneka, gotong-royong membersih kawasan, memasak, motivasi kepada remaja bermasalah serta tayangan gambar mendapat sambutan dari penduduk kampung.
Melalui kemesraan ini digunakan untuk menyampaikan dakwah Islamiah dengan memberi tunjuk ajar serta bimbingan kepada penduduk kampung secara langsung atau tidak langsung.
Mahasiswa menjadi contoh ikutan dan idola kepada remaja serta kanak-kanak di kampung itu agar mereka dapat bersama-sama menjejakkan kaki di peringkat universiti.
Para mahasiswa perlu menjaga hubungan baik dan berterusan dengan keluarga angkat masing-masing serta hubungan yang dijalinkan tidak putus walaupun telah selesai program.
Jelas Suariza lagi, mahasiswa haruslah membuat program susulan bagi memastikan penduduk kampung berhijrah kepada cara hidup yang lebih baik sama ada dari sudut ekonomi, pendidikan dan cara pemikiran mengikut perspektif Islam.
"Paling utama, perlu dipastikan penduduk kampung kekal dan beriman dengan akidah Islam seterusnya mereka boleh menjadi agen untuk memantapkan akidah di kalangan mereka sendiri," jelas Suariza.
Selain itu, mahasiswa juga turut mengambil kesempatan beramah mesra dalam sesi perkongsian Institut Pengajian Tinggi (IPT) bersama murid-murid sekolah sewaktu lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Siong, Baling, Kedah.
Malam penutup pula diadakan penyampaian hadiah kepada pemenang sukaneka acara bola sepak, mencari gula-gula dalam tepung, bawa bola ping pong dalam sudu, sumpit belon, tarik tali, belon air, junjung bola dan tarik guni.
Turut hadir, Ahli Jawatankuasa Kebajikan dan Hal Ehwal Sosial Perkim Kebangsaan merangkap Pegawai Sukan di Jabatan Pengurusan Cawangan Latihan dan Sukan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPPKL), Md. Nor Hashim Mohamed.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: