Monday, April 18, 2011

Percubaan yang menjadi




SEBELUM ini dia dikenali dengan imej berambut kerinting halus paras bahu, berseluar jean dan berjaket. Namun mengambil semangat optimis tahun 2011 untuk mengorak langkah lebih serius dalam industri fesyen tempatan maka Anizam Yusof, 28, mengubah penampilan.

“Saya memilih untuk berambut pendek kerana inginkan penampilan yang tampak ringkas dan kemas. Tetapi, soal pakaian saya masih mengekalkan konsep kasual atau semiformal. Koleksi baju T, jaket, seluar jean dan seluar bermuda antara item fesyen kegemaran saya.

“Saya sudah terbiasa dengan imej sebegini. Sebab itu jika diperhatikan kebanyakan rekaan busana yang saya hasilkan bagaikan refleksi pada personaliti dan penampilan saya,” tutur Anizam sambil tangannya sibuk membetulkan bahagian belakang pada sehelai dres merah jambu terang.

Bicara anak keempat daripada lima orang adik-beradik itu ada kebenarannya. Menyelak satu-persatu helaian busana yang tergantung kemas di studionya rata-rata rekaan Anizam lebih tertumpu pada permainan warna dan teknik jahitan menawan berbanding sarat dengan perincian.

Bagi Anizam yang pernah menyertai program realiti Project Runway Malaysia musim pertama, dia berpegang pada pendirian bahawa kecantikan sehelai busana bukan diukur pada kepadatan labuci, manik atau permata.

Sebaliknya, busana perlu diserlahkan dengan pemilihan fabrik, warna dan paten yang ideal mengikut personaliti si pemakai, melainkan pakaian pengantin yang memerlukan perincian ekstra.

Ternyata percubaan Anizam membuahkan hasil. Buktinya, majlis Anugerah Bintang Popular (ABP) 2009, penggemar rona hijau itu telah dinobatkan sebagai Pereka Pakaian Wanita Terbaik bagi busana yang direka buat pelakon Lisa Surihani dan Pereka Fesyen Paling Popular bagi sut formal yang dipakai pelawak, Zizan.

Mengangkat tema warna pada ABP 2009 berkenaan, dres labuh rona jingga yang digayakan Lisa, menambat hati dan perhatian juri. Jelas Anizam, dia sengaja memilih warna tersebut kerana ia unik dalam menyuntik kelainan.


ANIZAM (kanan) bersama barisan model sewaktu menjayakan pertunjukan fesyen Stylo 2011.


“Warna jingga dan fabrik polos sudah memadai untuk menyerlahkan penampilan Lisa yang bertubuh genit dan berkulit cerah.

“Tetapi bagi mengelakkan penampilan Lisa tampak terlalu ringkas, saya hanya meletakkan perincian di bahagian leher dan di pinggang busana.

“Tidak dinafikan kemenangan yang dikecapi di ABP 2009 memberi sinar baru dan membuatkan saya lebih bersemangat untuk memantapkan diri dalam industri fesyen.

“Rezeki saya semakin bertambah dan ramai pihak mula mengenali Anizam Yusof,” jelas Anizam yang turut memberitahu segelintir individu yang sebelum ini memperlekehkan kebolehannya mula membuka mata.

Fesyen Barat

Bercerita lanjut mengenai kariernya, Anizam yang dilahirkan pada 30 November 1983 , menyatakan sebagai pereka tidak wajar dia mereka pakaian tanpa mengambil kira faktor sekeliling. Kajian demi kajian tentang trend fesyen sentiasa dilakukan bermula daripada aspek fabrik, warna, perincian dan potongan.

Tutur Anizam yang gemar menyanyi: “Biasanya, setiap tahun sebelum memikirkan idea lakaran dan memilih fabrik, saya terlebih dahulu meneliti palet warna yang menjadi pilihan kelompok pereka fesyen di Barat.

“Ingin saya tegaskan, saya cuma mengikut palet warna yang ditetapkan tetapi dari segi rekaan dan fabrik saya memilih yang bersesuaian dengan imej masyarakat dan cuaca tempatan.

Sambil melihat, kepingan-kepingan fabrik yang diletakkan di atas meja lakaran, Anizam menerangkan kadangkala tidak salah pereka Malaysia berpaksikan pada trend antarabangsa.

Lagipun umum mengetahui bahawa lambakan pakaian yang terdapat di sini kebanyakannya bermula dari Barat.

Jika mempunyai kelapangan, pereka yang berkulit sawo matang itu mengambil peluang pergi melancong ke Indonesia, Vietnam ataupun Bangkok. Aktiviti bercuti membolehkannya mendalami budaya dan fesyen di negara yang dilawati.

“Pada pengamatan saya, remaja di Bangkok cukup menggemari stail pakaian jalanan dan kasual serta vintaj. Sementara di Indonesia pula keistimewaannya terletak pada variasi kain renda dan rekaan busana kebaya mereka yang sarat dengan perincian yang mencerminkan budaya tradisional mereka,” terang Anizam.

Anak Felda


DRES rona jingga yang digayakan pelakon Lisa Surihani telah menobatkan Anizam sebagai Pereka Pakaian Wanita Terbaik ABP 2009.


Ditebak soalan, mengapa bidang fesyen menjadi pilihan, Anizam yang pernah mereka pakaian buat selebriti Scha AlYahya dan Liyana Jasmay, memberitahu semuanya berlaku tanpa diduga.

Dilahirkan di Felda Linggiu, Kota Tinggi, Johor, Anizam sentiasa berusaha gigih dan belajar bersunguh-sungguh supaya dapat menempatkan diri di menara gading.

Dek terlalu meminati bidang seni yang tersemai sejak sekolah rendah secara tidak langsung mendorong Anizam memilih jurusan grafik dan seni sewaktu mengisi borang permohonan melanjutkan pengajian di universiti.

“Sebenarnya, saya bercita-cita bergelar pereka grafik, namun surat tawaran yang diterima daripada pihak universiti menyatakan sebaliknya.

“Saya terpilih melanjutkan pelajaran dalam jurusan Diploma Rekaan Kasut. Pada mulanya, saya ingin menolak tetapi berkat sokongan keluarga saya teruskan jua.

“Pesan ayah, peluang yang datang tidak wajar disia-siakan kerana belum tentu pada masa depan saya diberi peluang yang sama.

“Saya mengikut kata-kata ayah kerana pada masa yang sama bertekad untuk membuktikan bahawa anak Felda seperti saya juga boleh berjaya,” luah Anizam yang kecewa dengan persepsi dan kata-kata sinis segelintir individu yang memperlekehkan anak-anak Felda.

Mereka berpendapat anak Felda hanya sinonim dengan kerja-kerja yang tidak berfaedah dan terlibat dalam kegiatan negatif seperti menghisap dadah dan merempit.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: