Thursday, April 7, 2011

Penjaja sampan Sungai Klonghae




SUASANA petang Ahad di tepi Sungai Klonghae di Tambon Klonghae yang terletak lima kilometer dari Hat Yai, Thailand meriah dengan suara riuh-rendah peniaga yang sibuk memanggil-manggil pelanggan untuk membeli barang jualan mereka.

Keadaannya tidak ubah seperti pasar malam di Malaysia, cuma uniknya para peniaga di situ berniaga dari dalam sampan yang berlabuh di tepi sungai. Tidak hairanlah jika pasar ini dikenali dengan nama Klonghae Floating Market atau Pasar Terapung Klonghae.

Pasar terapung itu merupakan lokasi wajib dikunjungi para pelancong yang memilih Hat Yai sebagai hentian percutian bersama keluarga mahupun teman-teman.

Kunjungan ke lokasi tarikan terbaru di bandar paling berkembang di wilayah selatan Thailand itu merupakan pengalaman kali pertama penulis yang sebelum ini mengetahui keunikannya melalui pembacaan sahaja.

Berbanding pasar terapung Damnoen Saduak di Bangkok, Klonghae lebih kepada sebuah medan selera terapung kerana hampir kesemua perniagaan di situ mengetengahkan gastronomi tempatan.

Jika tidak termakan pujukan teman-teman lain yang mengikuti rombongan ke Hat Yai untuk merasai pengalaman 16 jam menaiki kereta api dengan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), mungkin penulis terlepas pengalaman melihat operasi pasar terapung itu secara dekat.

Saat melalui sebuah jambatan untuk ke tempat yang dihajati, pandangan mata penulis dijamu dengan landskap indah. Lebih 100 buah sampan tersusun di sepanjang sungai dengan masing-masing menempatkan penjaja yang menjual pelbagai jenis makanan, snek dan minuman.

Sampan-sampan itu tersusun menghadap dek kayu yang menjadi ruang lalu-lalang pengunjung yang bertali arus menjamu mata melihat pelbagai juadah lazat yang ditawarkan kepada mereka.

Apabila ada yang berkenan di hati dan selera, wang dihulur kepada penjaja sampan tersebut.

Para peniaga yang duduk di dalam sampan masing-masing kelihatan sibuk melayan pengunjung. Dalam ruang terhad di atas sampan itu, mereka cekap memasak roti sosej, membakar ikan, menggoreng telur puyuh, menggoreng keropok dan membancuh air.

Dalam banyak-banyak jualan, penulis tertarik dengan bekas-bekas yang digunakan oleh penjual air di situ yang menggunakan bekas buluh dan seramik pelbagai bentuk sebagai pengganti cawan-cawan serta plastik untuk mengisi air jualan mereka.

Antara makanan yang dijual di dalam sampan itu ialah mi sup daging, pulut mangga, sup ayam rebung, telur puyuh goreng, ikan keli bakar kerabu dan ladu ubi kayu. Di sinilah tempatnya jika anda mahu merasai variasi sajian tradisi Thailand!

Kebanyakan makanan yang dijual dengan harga antara 20 hingga 35 Baht (RM2 hingga RM3.50) sahaja.

Seperkara lagi yang menarik pandangan penulis ialah cara penjaja dalam sampan itu berurus niaga dengan pelanggan.

Masuk bakul


PELBAGAI jenis makanan dijual di atas sampan yang tersusun di sepanjang tebing Sungai Klonghae.


Penjaja akan menghulurkan makanan yang dibeli oleh pengunjung dengan menggunakan bakul yang diikat pada hujung batang. Cara itu juga digunakan untuk pembayaran - pelanggan meletakkan wang ke dalam bakul tersebut.

Pasar terapung yang dibuka sejak tahun 2008 itu boleh dikatakan didominasi oleh kaum Hawa yang kebanyakannya beragama Islam.

Bagi yang ingin berkunjung ke lokasi itu, perlu diketahui bahawa pasar terapung itu hanya dibuka tiga kali seminggu iaitu pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula pukul 3 petang hingga 9 malam.

Walaupun masalah bahasa menjadi kekangan untuk berkomunikasi memandangkan kebanyakan peniaga di situ tidak boleh berbahasa Inggeris, penulis cuba berkomunikasi menggunakan dialek Kelantan bagi mendekati peniaga yang sering melemparkan senyuman.

“Saya sudah tiga tahun berniaga di sini sejak pasar terapung ini dibuka dan sambutannya sangat bagus kerana ramai orang tempatan dan pelancong datang ke mari.

“Selesai berniaga, kami akan meninggalkan sampan di sini dan pulang ke rumah menaiki tuk tuk,” kata salah seorang peniaga yang memperkenalkan diri sebagai Soliha yang tinggal di Hat Yai iaitu kira-kira 20 minit dari Pasar Terapung Klonghae.

Snek eksotik

Selain pasar terapung, terdapat juga ruang niaga di bahagian atas tebing. Di beberapa deretan gerai yang disusun sejajar, penulis menemui peniaga makanan, kraf tangan, baju, aksesori, cenderamata dan sebagainya.

Sedang asyik memerhati, meremang bulu roma penulis apabila melihat sebuah gerai menjual menu eksotik yang terdiri daripada ulat mulung, kumbang, belalang kunyit, cengkerik dan kala jengking yang digoreng rangup bersama bawang, cili serta daun kari. Ada yang dicucuk dengan lidi umpama sate manakala ada yang dilonggokkan saja untuk dijual mengikut sukatan senduk.

Snek eksotik tersebut dijual pada harga 20 Baht (RM2) untuk satu senduk dan pembelinya boleh memilih untuk disembur dengan perasa mengikut selera.

Bagi mereka yang berani mencuba, jangan lepaskan peluang ini kerana jualan seperti itu tidak akan anda jumpa di Malaysia!

Selain berjalan-jalan menyaksikan gaya hidup masyarakat tempatan, pengunjung juga berpeluang menyusuri Sungai Klonghae menaiki bot. Meskipun tidak banyak pemandangan luar biasa yang ditawarkan, kadar bayaran yang dikenakan hanyalah 20 Baht (RM2) seorang.

Tumpuan anak muda

Keterujaan penulis untuk mendekati masyarakat tempatan di situ dan bertanyakan lebih mendalam tentang pasar tersebut sentiasa dibatasi masalah komunikasi.

Kebanyakan daripada warga tempatan tidak boleh berbahasa Inggeris. Mujur, penulis menemui beberapa orang Melayu-Thai dari Satun yang boleh memahami dan bertutur seumpama dialek Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Suraya Mihad dan Mujahanah Mahasan yang masing-masing berusia 19 tahun ditemui sedang asyik bersantai bersama teman-teman di pinggir tebing sungai di hadapan kawasan penjaja sampan tersebut.


BEKAS-BEKAS seramik ini adalah pengganti cawan bagi penjaja air minuman.


Menurut mereka, pasar terapung tersebut sering menjadi tumpuan keluarga dan anak-anak muda pada hujung minggu.

“Saya sendiri sering ke sini bersama rakan-rakan kuliah yang lain walaupun perjalanan kami dari Satun ke sini mengambil masa satu jam,” ujar Suraya.

“Di sini terdapat pelbagai makanan selain menjadi pusat sehenti untuk kami membeli-belah keperluan seperti pakaian dan aksesori,” celah Mujahanah yang cuba menyelitkan beberapa patah perkataan Inggeris dalam percakapannya.

Sedang penulis bersama teman-teman yang lain duduk menghilangkan dahaga daripada bekas buluh dan seramik, kami disapa oleh lelaki yang boleh berbahasa Melayu.

“Saya nama Boon Song,” sapa lelaki itu yang mengaku bertugas sebagai anggota polis di Songkla.

Dia ramah memberitahu, tempat itu memang telah lama menjadi tumpuan pelancong dan berjaya menaikkan pendapatan penjaja dan peniaga tempatan.

“Tidak semua tempat ada pasar terapung seperti di sini. Jika anda mahu merasakan kepelbagaian masakan Thailand, inilah tempat yang paling sesuai. Pilih sahaja menu yang dijual di deretan sampan itu,” ujarnya.

Sungguhpun berdepan dengan masalah komunikasi pada mulanya, hati penulis seperti dekat dengan keramahan masyarakat tempatan menyambut pengunjung dan pelancong asing.

Paling ketara adalah gadis-gadis yang tidak lokek dengan senyuman lebih-lebih lagi apabila lensa kamera difokuskan ke arah mereka. Maka, benarlah jika kempen pelancongan mereka mencanang Thailand sebagai Bumi Senyuman.

Ternyata pengalaman bersantai pada hujung minggu di Pasar Terapung Klonghae masih segar dalam ingatan penulis.

Jika anda berpeluang bercuti ke Hat Yai, penulis mencadangkan agar Pasar Terapung Klonghae disertakan dalam senarai lokasi kunjungan wajib. Tentunya, perjalanan menaiki kereta api Ekspres Senandung Langkawi boleh dicuba untuk menyerap pengalaman kembara istimewa!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment