Tuesday, April 19, 2011

Pengalaman bantu dekati masyarakat


ZULKIFLI Mohamad Noor ketika bertugas di Sabah.


PENGALAMAN merupakan guru yang paling bermakna bagi setiap insan bergelar manusia. Pengalaman jugalah tunjang suatu kejayaan di samping memberi motivasi dan galakan agar terus maju pada masa hadapan.

Bagi personaliti Gaya Polis minggu ini Ketua Polis Balai Bandar Utama, Sarjan Zulkifli Mohamad Noor, setiap pengalaman yang dilalui mempunyai banyak pengajaran dalam membuat keputusan pada masa hadapan.

Temuramah penulis bersama beliau juga sangat bermakna apabila Zulkifli tidak lokek berkongsi pengalamannya.

Menurut anak jati Perak itu, beliau mula menceburi polis pada 1989 dalam Pasukan Polis Hutan (PPH) di Sabah selama 12 tahun.

Pengalamannya berada di PPH banyak membantunya dalam mendekati masyarakat dengan menggalas tugas sebagai Ketua Polis Balai.

“Selama bertugas sebagai PPH sangat bermakna bagi saya. Jika difikirkan kembali, jika saya tiada motivasi dan tidak memajukan diri, mustahil saya akan sampai ke tahap di mana saya berada ketika ini.

“Kadang-kala kita perlu menoleh ke belakang dalam memberi motivasi kepada diri kita sendiri agar sentiasa beringat dan tidak mudah lupa diri. Ia ibarat memandu kereta, kadang-kala kita perlu melihat cermin sisi untuk memastikan keadaan kita selamat,” katanya.

Tambahnya, beliau masih ingat ketika ditugaskan dalam Infantri Kompeni C, Batalion 16 PPH pada 16 November 1989, selepas tamat latihan asas peperangan hutan di Sekolah Latihan PPH di Hulu Kinta, Perak.

“Kami ditugaskan menjaga perairan sempadan dan dalam masa yang sama turut mempunyai hubungan baik dengan etnik Bajau Laut yang menetap di situ,” katanya.

Tambahnya, hasil dari hubungan baik itu, mereka mudah memperoleh maklumat daripada etnik berkenaan dalam mengurangkan kegiatan lanun dan penyeludupan manusia.

“Kegiatan lanun dan penyeludupan manusia sering berlaku kerana perairan Sabah berdekatan dengan negara jiran seperti Indonesia dan Filipina. Maklumat yang diberikan oleh etnik Bajau Laut banyak membantu kami mematahkan kegiatan tersebut,” katanya.

Tambah Zulkifli, secara tidak langsung, hubungan di antara polis dan juga etnik Bajau Laut ketika itu banyak membantu mengurangkan kemasukan haram ke Malaysia pada ketika itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: