![]() |
| |
PERCATURAN penyanyi yang berasal dari United Kingdom (UK) ini untuk melebarkan sayap ke Amerika Syarikat (AS) nampaknya membuahkan hasil.
Muncul dengan album sulungnya yang berjudul Who You Are, langkah Jessie J semakin panjang apabila albumnya itu berjaya meraih anugerah platinum di UK selepas menakluk kebanyakan carta muzik di negara kelahirannya.
Dan sekarang misi Jessie J untuk ‘menakluk’ dunia semakin menghampiri kejayaan.
Perjuangan muzik menerusi lagu hits Price Tag dan Do It Like a Dude menjadikan wanita berusia 23 tahun ini cukup beruntung.
Malah, gelaran diva ‘segera’ secara automatik diraih olehnya meski penglibatan dalam industri mainstream hiburan masih belum mencapai usia matang.
Kehebatan penulis lirik Party In the U.S.A nyanyian Miley Cyrus ini juga tidak terhenti di situ apabila dia turut mendapat pujian melambung daripada Justin Timberlake.
Bintang sensasi dan bekas anggota kumpulan NSync itu menyifatkan kehadiran Jessie J dalam industri muzik adalah satu anugerah besar.
Malah, dia menyifatkan pemilik nama Jessica Ellen Cornish ini sebagai antara penyanyi terbaik di dunia setakat ini.
Bagaimanapun, meski sudah mencapai kejayaan, penyanyi pop dan R&B ini mengaku dunia glamor dan kehidupan sebagai seorang selebriti bukanlah apa yang diimpi dan didambakannya.
Bahkan, kata Jessie J, tujuan asalnya cuma mahu berkongsi muzik di samping membawa misi untuk mengubah dunia.
“Sebenarnya, saya tidak pernah bermimpi untuk berada di kalangan artis atau selebriti dan menjadi popular.
“Saya cuma seorang penyanyi dan penulis yang jujur ketika berkarya. Dan kalau boleh, saya mahu mengubah dunia melalui muzik saya,” katanya.
Turut mengakui, status selebriti telah mengubah hidupnya secara total, kata Jessie J, ia kadangkala menyebabkan dia merasa rindu untuk menjalani kehidupan seperti orang normal.
“Rasanya tak ada orang akan faham mengenai kehidupan yang anda dapat secara tiba-tiba begini sehinggalah apabila anda ‘hidup’ di dalamnya.
“Sebelum ini saya cukup gemar bersiar-siar di bandar dengan berjalan kaki. Namun untuk merasai kembali kehidupan begitu di UK, mungkin tidak lagi buat saya.
“Tetapi ini bukan bermaksud saya tak suka dengan karier sekarang. Saya sukakannya.
“Cuma bezanya saya kena biasakan diri apabila ada orang mengekori, ingin bergambar dan menulis cerita tentang saya termasuk menggali kisah peribadi saya.
“Ia memang sesuatu yang gila, sebab asalnya saya cuma mahu dikenali dengan muzik saya. Tetapi tak mengapa, saya akan pastikan semua ini akan saya lalui tanpa penyesalan,” ujarnya lagi.
Kuasa wanita
Tempoh enam tahun sebelum muncul dengan album, mungkin disifatkan agak lama bagi sesetengah pemuzik.
Namun, demi memastikan kepuasan pendengar, Jessie J tidak ralat untuk mengambil masa selama itu yang kebanyakannya banyak dihabiskan dengan menulis lirik.
Antara lirik yang diperam lama oleh Jessie J sebelum dimuatkan dalam album ialah Big White Room, Stand Up dan Mamma Knows Best.
Bercakap mengenai lirik, Jessie J sebenarnya pernah dilabel sebagai seorang wanita yang membenci lelaki gara-gara lirik lagu Do It Like A Dude yang bersifat seksis.
Sambil menyifatkan lagu berkenaan adalah mengenai hak sama rata antara dua jantina, kata Jessie J, apa yang dia cuba tekankan adalah mengenai semangat seorang wanita.
“Tidak. Ia bukan mengenai kebencian terhadap lelaki. Lagu itu secara keseluruhannya menggalakkan setiap orang terutamanya kaum wanita agar tidak menyerah kalah.
“Stereotaip masyarakat di mana-mana sekali pun akan meletakkan jurang perbezaan antara lelaki dan wanita.
“Malah, saya juga banyak berhadapan dengan kaum lelaki yang ego dalam hidup saya. Mereka sering menyebabkan saya rasa rendah diri dan tak mampu buat apa jua perkara yang kaum lelaki boleh lakukan.
“Walhal tanggapan itu salah. Sebagai wanita, kita juga mampu lakukan apa yang lelaki boleh lakukan. Apa yang diperlukan cuma keyakinan diri.
“Melalui muzik, saya curahkan isi hati saya mengenai isu ini. Diharapkan sedikit sebanyak ia boleh menjadi inspirasi semangat buat semua wanita di seluruh dunia,” katanya.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai imej beraninya yang dilihat cuba meniru Lady Gaga, tepis Jessie J, dia cuma menjadi dirinya semata.
Cukup selesa dengan imej Ghetto Chic, Jessie J percaya fesyen turut memberi pengaruh terhadap sesebuah muzik.
“Kalau anda sekadar memakai kemeja T dan jeans tentu nampak membosankan bukan? Malah peminat juga tidak akan mengenali anda kerana imej yang sebegitu.
“Saya adalah individu yang gemarkan fesyen, menata rias diri, sukakan gincu, gaya rambut dan juga hiasan kuku yang funky.
“Pendek kata, saya berani mencuba bereksperimen dengan fesyen. Lagipun lumrah wanita, suka pada kecantikan dan fesyen,” jelasnya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: