Sunday, April 17, 2011

Pancaindera hargai pembaca


Roslan Shah


DUA konsert pada tarikh yang sama, tetapi berbeza lokasi. Ia adalah pengalaman baru buat team Pancaindera memandangkan sebelum ini ia tidak pernah berlaku. Bagaimanapun, menghormati permintaan pihak penganjur bersama, ia akan menjadi kenyataan pada 30 April depan. Konsert Pancaindera di Port Dickson, Negeri Sembilan akan membawa pelakon-pelakon filem untuk sama-sama turun padang nanti.

Tidak hanya menyanyi tetapi penonton yang hadir nanti berpeluang bertemu dengan pelakon filem Kongsi, Shaheizy Sam dan Yana Shamsudin di tapak konsert Pancaindera di Dataran Teluk Kemang.

Selain daripada mereka, konsert Pancaindera kali ini juga akan dimeriahkan lagi dengan kehadiran Aizat, Marsha, Daus AF8, Mohd Mentor dan Ani Mayuni.

Di Port Dickson, kami bawakan Didie Alias dan Shy8 atau lebih dikenali dengan panggilan Usop Wilcha sebagai pengacara.

Konsert yang diadakan sempena Pesta Air Malaysia Port Dickson, Negeri Sembilan yang diadakan pada 29 April hingga 2 Mei depan. Pelbagai aktiviti telah diatur dan Pantai Cahaya Negeri, Batu 4 akan dipenuhi orang ramai yang mahu menyaksikan acara tahunan tersebut.

Acara yang dianjurkan oleh Pejabat Pelancongan Malaysia Negeri Sembilan turut disokong oleh Kerajaan Negeri Sembilan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).

“Sudah pasti Aizat teruja apabila berpeluang untuk turun padang membuat persembahan di hadapan peminat di tepi pantai itu nanti. Bukan apa, selama ini tidak banyak peluang yang Aizat dapat dalam konsert sebegini.

“Acara sebegini dapat mendekatkan diri kita dengan peminat yang tak jemu-jemu mendengar suara Aizat, membeli album Aizat dan sudah pasti kepada mereka yang selalu mendoakan kejayaan Aizat.

“Sudah ada beberapa perancangan yang akan Aizat lakukan untuk konsert tersebut dan kepada semua peminat jangan lupa untuk sama-sama hadir ke Port Dickson nanti,” kata penyanyi yang cukup popular dengan lagu Sungai Lui ini.

Marsha pula berpendapat penglibatan dia dalam konsert kali merupakan platform terbaik untuk mempromosikan mini album yang baru sahaja dilancarkan.

“Memang peluang sebegini sukar untuk saya dapat apatah lagi berpeluang menghiburkan penonton di sebuah konsert yang besar begini.

“Paling tidakpun mungkin ini boleh dijadikan tanda terima kasih yang tak terhingga saya kepada para peminat yang tak jemu-jemu memberikan sokongan kepada produk nyanyian mahupun lakonan saya.

“Harap-harap dengan kehadiran saya nanti bakal memberikan keseronokan kepada pengunjung yang ada,” ujarnya lagi.Sebarang pertanyaan mengenai acara di Port Dickson boleh menghubungi talian 012-2846811 (Rosli).

Kejutan di Pasir Gudang

Sementara itu di Pasir Gudang pula, Jay Jay bakal menjadi artis yang paling dinanti-nantikan biarpun dia hanya akan membuat persembahan pada 1 Mei nanti.

Persembahan eksklusif sempena pertandingan karaoke sempena Fiesta Keusahawanan Muda Siswazah dan Sambutan Hari Pekerja 2011 yang akan menemui masyarakat di Johor bermula 29 April hingga 2 Mei nanti.

Konsert Pancaindera pada malam 30 Aprilpula dibarisi artis yang ada cukup hebat untuk menggegarkan orang Pasir Gudang yang cukup setia menyokong Mingguan Malaysia sejak dahulu.

Program yang bertempat di Padang Bukit Layang-Layang dianjurkan oleh Universiti Tun Hussain Onn Malaysia (UTHM) bersama Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) dan disokong oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM). Dijangka lebih 100,000 pengunjung bakal menyertai acara yang diadakan secara tahunan ini.

Antara artis yang telah mengesahkan tempat untuk beraksi pada malam tersebut termasuklah Alyah, Farawahida, Azza Elite, Roslan Shah, Razali Hussain, Nubhan, Fazli Zainal dan ramai lagi.

Pelbagai acara yang telah diatur termasuklah futsal dan karom, program sihat cergas senamrobik, pertandingan mewarna dan aktiviti kanak-kanak bersama A&W serta Konsert Pancaindera pada malam minggu tersebut.

Ini termasuklah sesi bermain futsal artis bersama masyarakat dan pelajar kolej yang sudah pasti memberikan saingan yang sengit.

Roslan Shah yang bertindak selaku pengacara bersama Azza pada malam kemuncak itu sudah merencanakan pelbagai aktiviti menarik untuk para pengunjung yang hadir nanti. Mereka yang mahu menyertai gerai jualan dan aktiviti boleh menghubungi talian 012-5929880 (Nor).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: