Sunday, April 17, 2011

Pamer skil penerbangan

pix_middle

BUNYI bingit permainan alat kawalan jauh udara memecah kesunyian sebuah kawasan lapang di Bandar Baru Kundang, Selangor, baru-baru ini.

Terik mentari jam 12 tengah hari tidak sedikitpun mematikan semangat sekumpulan penggemar sukan berkenaan yang datang dari sekitar Selangor untuk mengadakan pertunjukan sempena acara Mini Fun Fly anjuran duniarc.com. Ia membabitkan kira-kira 100 ‘juruterbang’ permainan rc udara.

  • Foto

  • Foto

  • Foto

    PERJELAS...Zaidi memberi penjelasan kepada peserta program.

Pelbagai permainan alat kawalan jauh (rc) yang menarik dapat disaksikan sepanjang acara berlangsung, antaranya helikopter, jet pejuang, pesawat penumpang dan kapal terbang mini.

Yang menarik, rata-rata peserta dalam acara ini disertai ‘juruterbang’ berpengalaman de-ngan skil, kemahiran dan teknik penerbangan yang menarik dan menghiburkan, terutama buat tatapan pendatang baru permainan ini.Penganjurnya, Zaidi Mahmod, 43, berkata meskipun acara berkenaan dianjurkan sekadar suka-suka, ia medan terbaik untuk mengumpul penggemar permainan rc udara seluruh Lembah Klang untuk berkongsi kemahiran dan pengetahuan dalam aktiviti berkenaan.“Bukan mudah untuk kami berkumpul begini. Ini kerana tidak banyak ruang dan tempat di sekitar ibu kota untuk penggemar permainan ini berkumpul.


“Dengan perkumpulan ini, mereka bukan saja dapat bermain bersama, bahkan ia menjadi peluang untuk setiap peserta berkongsi kemahiran bermain alat permainan masing-masing,” katanya.

Memang tidak dapat dinafikan, dalam permainan rc, kemahiran mengawal alat permainan sangat penting.

Zaidi berkata, ia bukan seperti permainan kanak-kanak yang hanya tekan punat alat kawalan jauh dan terus boleh bermain, sebaliknya teknik serta kawalan keseimbangan alat permainan berkenaan perlu dikuasai terlebih dulu.

“Sebelum turun padang, ‘juruterbang’ perlu belajar mengawal permainan masing-masing melalui simulator penerbangan. Ia tidak boleh dipelajari dalam satu atau dua hari saja, sebaliknya memerlukan komitmen tinggi.

“Ramai menganggap permainan ini senang, tetapi mereka tidak tahu ada ‘juruterbang’ yang belajar sehingga tiga bulan semata-mata untuk menguasai permainan ini,” katanya.

Penuntut, Siti Aisyah Adam, 24, dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengakui cabaran bermain permainan rc, terutama rc udara, memang rumit kerana memerlukan kemahiran dan skil tinggi.

“Selain kawalan, kita perlu belajar keseimbangan alat permainan terbabit ketika terbang di udara. Ada perbezaan cara mengawal antara kapal terbang dan helikopter.

“Ia nampak mudah, namun apabila mencubanya baru kita tahu ia rumit. Pun begitu, ia sungguh menyeronokkan jika mahir mengendalikan permainan terbabit,” katanya yang juga penuntut Sarjana Muda Kejuruteraan Ruang Angkasa.

Ketika Mini Fun Fly berlangsung, Aisyah bersama rakan sepengajian, Nor Fadilah Shamsudin, 24, turut menyertai acara terbabit bagi menjalankan kertas projek mereka mengenai reka bentuk dan struktur pembinaan kapal terbang.

Aisyah dan Nor Fadilah tidak pernah bermain permainan ini, namun mereka mengakui tertarik dengan permainan itu sepanjang menyaksikan persembahan.

Aisyah berkata, dia ingin berjinak-jinak dengan permainan terbabit pada masa depan, cuma buat masa ini ia terhalang berikutan permainan rc udara memerlukan kos tinggi.

“Sebenarnya ramai meminati permainan ini, namun kos ting-gi menghalang minat mereka. Apapun, ia bukan halangan. Jika ada minat mendalam, tiada apa yang mustahil,” katanya.


NAMA: Nor Fadilah Shamsudin
UMUR: 24 tahun
ASAL: Gombak, Selangor

BAGI penuntut Sarjana Muda Kejuruteraan Ruang Angkasa, UIAM ini, permainan rc ada tarikan sendiri, bukan saja sekadar keseronokan tetapi ada terselit pengetahuan mengenai ilmu penerbangan pesawat.

“Ia dapat dilihat dengan struktur pembinaan kapal terbang atau helikopter itu. Ia perlu ada keseimbangan dan struktur tepat untuk membolehkan pesawat itu terbang dengan sempurna.

“Saya datang ke program (Mini Fun Fly) ini untuk menyiapkan kertas kerja berkaitan reka bentuk dan struktur pembinaan kapal terbang untuk kursus pe-ngajian. Banyak yang saya pelajari dalam program ini berbanding pengajian secara teori di kelas kuliah,” katanya.

Meskipun tidak pernah bermain permainan rc udara sebelum ini, Fadilah mengakui teruja untuk bermain permainan terbabit satu masa nanti.

“Selain bersesuaian dengan kursus pengajian saya ketika ini, ia juga boleh dijadikan hobi saya di masa lapang. Bagaimanapun, saya sedar permainan ini tidak semudah disangka.

“Banyak perlu saya pelajari untuk bermain sebagai permulaan dan paling penting, saya perlu memiliki kapal terbang permainan terlebih dulu,” katanya.

Menyentuh minat orang ramai terhadap permainan rc, Fadilah mengakui ma-syarakat kurang pendedahan mengenainya.

“Seperti ada satu stigma, permainan rc adalah hobi mahal dan hanya sesuai untuk orang berkemampuan.

“Saya akui ia membabit-kan kos tinggi, tetapi tidak semua permainan ini dijual dengan harga mahal, ia bergantung juga kepada bajet dan kemampuan individu, jika inginkan alat permainan mahal, ia akan menjadi mahal,” katanya.


NAMA: Zul Azeman Safian
UMUR: 40 tahun
ASAL: Kota Damansara, Selangor

ZUL Azeman mula berjinak-jinak dengan permainan rc udara sejak 2000 dan alat permainan digemarinya ialah kapal terbang.

Selepas lebih 10 tahun aktif dalam permainan ini, dia mengakui ramai meminati permainan tetapi terhalang kerana takut dengan kos perbelanjaan yang perlu dikeluarkan untuk membeli alat permainan.

Bagaimanapun, katanya, ramai tidak tahu bukan semua alat permainan rc mahal dan ada yang dijual dengan kos murah dalam lingkungan RM1,000 ke atas.

“Jika diikutkan, ada lagi hobi yang lebih mahal daripada permainan ini. Masalahnya, ramai takut mencuba.

“Kos dikeluarkan hanya sekali, selebihnya hanya ketika menukar alat gantian dan perbelanjaan minyak atau petrol bagi alat permainan yang memerlukannya,” katanya.

Mengenai penganjuran Mini Fun Fly, Zul Azeman menganggap ia wadah terbaik buat penggemar permainan rc udara mencari jaringan kenalan dan berkongsi kemahiran sesama peserta.

Katanya, rangkaian kenalan dalam permainan ini penting, terutama untuk pendatang baru.

“Selain belajar mengendalikan alat permainan masing-masing, mereka boleh bertukar-tukar pendapat mengenai alat gantian dan barangan terkini dalam pasaran.

“Lagipun, inilah cara permainan ini dikembang-kan dalam masyarakat. Jangan melihat permainan ini daripada segi pembaziran wang, sebaliknya ia juga memberi banyak nilai positif sebagai riadah dan rekreasi,” katanya.


INFO

  • Alat permainan kawalan jauh (rc) udara mula popular di Malaysia sejak 1990-an dan kini semakin diminati dengan pelbagai variasi permainan
    diperkenalkan, antaranya helikopter, jet pejuang, pesawat penumpang dan kapal terbang mini

  • Permainan rc udara boleh dikategorikan kepada tiga jenis iaitu permainan kuasa elektronik (bateri), nitro dan petrol

  • Kos alat permainan minimum RM1,000 bagi permainan menggunakan kuasa elektronik

  • Maklumat lanjut mengenai permainan rc, layari laman web www.duniarc.com.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: