Wednesday, April 6, 2011

Mispani tidak menyesal jadi polis


BERSAMA sijil-sijil penghargaan yang cenderahati yang diterima di pejabatnya di Balai Polis Wangsa Maju.


PERKATAAN menyesal tidak pernah keluar dari mulut Cif Inspektor Mispani Hamdan sebaik sahaja beliau mengambil keputusan untuk memohon menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 23 tahun lalu.

Kini, ketika usianya mencecah 45 tahun. Khidmatnya sebagai pegawai polis semakin menempuhi era yang memberangsangkan, malah tidak salah jika dikatakan pilihannya itu tepat.

Ketua Balai Polis Wangsa Maju itu juga ternyata tidak goyah dengan cabaran semasa ketika menjadi sebahagian daripada organisasi yang begitu disegani di negara ini.

Sebelum memilih kerjaya sebagai polis, beliau berhadapan dengan dua persimpangan sama ada memilih berkhidmat untuk masyarakat atau melanjutkan pelajaran ke luar negara.

"Sebelum itu, saya belajar di Institut Latihan Perindustrian (ILP) di Pasir Gudang, Johor. Selepas tamat pengajian, saya terus memohon jawatan sebagai anggota polis.

"Ketika menjalani latihan polis, saya ditawarkan ILP untuk melanjutkan pelajaran ke Jepun. Namun saya memilih untuk kekal dalam latihan dan terus berkhidmat sebagai anggota polis sehingga kini," kata Mispani ketika ditemui Gaya Polis, baru-baru ini.

Ditanya sama ada beliau menyesal memilih kerjaya ini, Mispani sambil tersenyum berkata: "Ini adalah kerjaya impian saya sejak kanak-kanak lagi dan saya gembira memilih laluan ini yang telah banyak mengubah corak hidup saya."

Menyingkap kenangan permulaan kerjayanya itu, Mispani memberitahu, setelah menjalani kursus kepolisan, dia tidak terus bertugas sebagai anggota polis. Sebaliknya diberi tanggungjawab sebagai jurulatih kawad di Pusat Latihan Polis Air Hitam (Pulapah, kini dikenali sebagai Pulapol Air Hitam) di Negeri Sembilan.

"Saya bertugas sebagai guru kawad bermula tahun 1987 lagi dan kekal di situ selama 11 tahun dengan melatih ratusan anggota polis yang kini berkhidmat di seluruh negara.

"Pada tahun 1999 barulah saya mengisi jawatan sebagai pegawai penyiasat setelah memohon jawatan inspektor percubaan secara lantikan," ujarnya.

Ditanya tentang memori berada di Pulapah, Mispani berkata, dia bukan sekadar bertindak sebagai guru kawad sahaja sebaliknya begitu aktif dalam kegiatan jasmani terutama sekali dalam sukan bola tampar.

"Mungkin disebabkan sukan bola tampar inilah saya kekal lama di sana, kerana saya menjadi wakil pada setiap pertandingan malah bukan sahaja mewakili PDRM tetapi Negeri Sembilan juga.

"Sebenarnya kecenderungan saya bersukan sejak berada di bangku sekolah dan ketika bertugas di Pulapah, minat ini semakin bertambah dengan penubuhan pasukan bola tampar.

"Tetapi kini, saya jarang beraksi kerana kesibukan bertugas selain kesihatan yang tidak mengizinkan," kata Mispani yang telah menjalani lima pembedahan di bahagian usus sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Setelah sembilan tahun berkhidmat sebagai pengawai penyiasat, suami kepada Noorkamalliah Zakaria itu diberi tanggungjawab sebagai Ketua Balai Polis Wangsa Maju sejak tiga tahun lalu.

Katanya, berada dalam posisi itu tidak mudah memandangkan tanggungjawab yang digalas bukanlah berskala kecil apabila setiap perkara perlu diberi perhatian.

"Setiap anggota polis diberi amanat tentang tanggungjawab yang harus dipikul mereka dan saya sebagai ketua balai juga mempunyai tanggungan yang cukup besar bukan sekadar menjaga anak buah sahaja.

"Tetapi setiap kawasan jagaan saya harus diberi perhatian oleh itu setiap perkara yang saya dan anggota lain lakukan perlu diperincikan supaya manfaat dikongsi oleh orang ramai," ujarnya yang menjawat jawatan itu sejak 2008.

Malah disebabkan sibuk menjadikan masyarakat sekeliling sebagai keutamaannya, beliau kadang-kala 'menyinggung' perasaan keluarganya sendiri.

"Telefon bimbit dan walkie-talkie nyata menjadi teman setia ke mana saja, sehinggakan saya terpaksa bawa masuk ke dalam bilik tidur dan diletakkan di atas kepala ketika tidur.

"Kadang-kala isteri ada merungut tetapi saya tahu dia dan anak-anak sebenarnya memahami kerjaya dan tanggungjawab yang saya galas ini," katanya yang telah dikurniakan tiga cahaya mata.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: