KALAULAH lukisan-lukisan pada dinding di Galeri Chandan mampu membutirkan kata-kata, sudah pasti setiap satunya akan bersuara. Dengan rasa bangga, setiap lukisan itu akan berbicara tentang makna di sebalik ciptaan dan kewujudannya.
Barangkali itu hanyalah khayalan semata-mata. Namun, kepada individu-individu yang mempunyai daya ketajaman terhadap seni tampak yang diadun oleh si pengkarya, maksud di sebalik olahan seni itu mungkin dapat ditafsirkan dengan mudah.
Baru-baru ini, Galeri Chandan meraikan kegemilangan khazanah seni negara dengan koleksi istimewa.
Pihak galeri berjaya menyatukan 21 orang anak seni kontemporari kelahiran Perak dengan mempamerkan 37 buah hasil karya artistik mereka.
Seperti kata Penaung Pameran Semangat Chandan, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi, karya yang diketengahkan di galeri itu adalah hasil terjemahan kepelbagaian pengalaman yang diraih oleh setiap penggiat seni.
“Ia (pameran) sebenarnya bertujuan memperkenalkan bakat anak-anak Perak. Saya menaruh kepercayaan bahawa pengalaman mereka yang membesar di negeri ini telah menyumbang kepada hasil ekspresif seni mereka,” katanya pada majlis perasmian pameran itu baru-baru ini.
Hadir sama ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Darul Ridzuan (IDR), Aminudin Hashim.
Semangat Chandan dimanifestasikan menerusi beberapa tema iaitu alam, budaya, tradisi, subjek wanita, tubuh lelaki, seni mempertahankan diri, identiti perang, kuasa, pembandaran dan budaya popular masyarakat.
Karya yang dihasilkan tidak kira menggunakan kanvas, tanah liat, kaca, atau berbentuk lukisan cat air, cat minyak, arca, seramik atau pun karikatur, semuanya menyampaikan satu mesej serupa - mengekspresikan langgam budaya Melayu yang santun.
Manifestasi kehidupan
Sesekali bersua di bawah satu bumbung menjadikan seniman-seniman elit itu semua nampak riang. Sambil merenung tajam lukisan yang kemas digantung di dinding, perbualan sesama mereka seakan-akan mempunyai lingo tersendiri. Masing-masing mula bercerita tentang jalur seni mereka dengan perasan bangga dan pada masa yang sama, merendah diri..
Raja Azhar Raja Lop Idris, 59, tidak terkecuali daripada kelompok itu. Beliau rajin melayani pertanyaan tetamu tentang lukisan yang datang daripada terjemahan hatinya itu.
Menerobos makna karya pelukis dan pengarca prolifik negara itu, beliau dilihat cenderung menggunakan elemen kaca untuk menghasilkan arca seni yang begitu unik.
Kepada penulis, tokoh yang berada dalam kelas tersendiri itu galak memberitahu tentang karya kaca yang penuh elemen godaan bertajuk Zapina, Gadis Ayu, Seduction dan Gadis Gangga.
“Ini bukan kerja mudah. Ketelitian amat diperlukan ketika menghasilkan arca kaca.
“Kaca sebenarnya boleh dibentuk dalam pelbagai medium dengan beberapa teknik, bahan dan teknologi yang berbeza bagi menjadikannya sebuah karya seni yang menarik,” kata anak kelahiran Bruas yang mula mencipta nama di Australia itu.
Menariknya, persembahan arca Raja Azhar mengangkat tema seni batik yang begitu sinonim dengan tradisi dan warisan bangsa.
Selain Raja Azhar, seniman bernama Husin Hourmain dan Suhaimi Fadzir ialah antara yang memiliki kemahiran yang pragmatis.
Begitu juga dengan terjemahan seni yang bombastik daripada pelukis Fauzin Mustafa, Choong Kam Kow, Abu Bakar Idris dan Datuk Mohammad Nor Khalid (Lat).
Ritma alam
Sementara itu, Ramlan Abdullah, 51, dilihat cenderung menggunakan material aluminium dan kayu dalam pembikinan arca beliau.
Mungkin pemahaman mendalam Ramlan terhadap landskap dan historiografi tempatan telah memberi pengaruh kepadanya ketika melaksanakan terjemahan vertikal arcanya. Ia seakan-akan merayakan semangat transformasi.
Itu jelas dalam karyanya yang bertajuk Tangisan Ambon, Tsunami dan Bintang 1 yang dipamerkan di galeri yang berkeluasan kira-kira 372 meter persegi itu.
Pelukis Fauzin Mustaffa yang berasal dari Teluk Intan pula tampil dengan falsafah persekitaran dan alam sejagat iaitu anugerah Tuhan yang terhebat untuk manusia.
Lukisan Hutan Tadahan yang dihasilkannya pada tahun 2008 antara lain menyampaikan maksud bahawa semangat tanah, angin, air dan tradisi yang bersatu telah menjadi asas dalam mencapai kecemerlangan hidup.
“Saya menggunakan ritma alam sebagai tema dan motif dalam karya,” katanya.
Menuruni anak tangga galeri, penulis terpesona dengan konsep kontemporari dan idea luar biasa yang dijana oleh Suhaimi Fadzir, 48, yang berpakaian ringkas pada malam itu.
Tanpa perlu Suhaimi menjelaskan haluan karyanya, khalayak pemerhati tentu mudah memahami betapa seniman itu sedikit pun tidak memandang barangan terbuang seperti botol, kerangka besi, rim basikal dan tong kosong sebagai material picisan. Semua objek itu sangat berguna kepadanya.
Seniman kelahiran Lenggong itu ternyata seorang pengkarya yang peka dengan nasib malang alam sekitar akibat diancam pencemaran dan pembangunan tidak terkawal.
Sesungguhnya, mereka yang menghayati karyanya yang bertajuk Tulisan Kehidupan 1 dan Tulisan Kehidupan 2 mampu menggali mesej yang cuba disampaikan oleh Suhaimi.
Kembara Anak Laut yang merupakan cetusan idea yang dicurahkan pada kanvas oleh Husin Hourmain, 48, pula begitu berwarna-warni.
Beliau dilihat seolah-olah mengajak masyarakat untuk menemukan garisan-garisan semangat melalui variasi warna merah dan biru pada calitan akriliknya.
Karya Choong Kam Kow juga penuh jiwa. Beliau ‘berkomunikasi’ dengan karya sendiri sebagai suatu cara bagi dirinya untuk menjawab dan melampiaskan perang jiwa yang menguasainya.
Lihat saja lukisan Kam Kow yang bertajuk Shaolin Spirit 1. Ia mengangkat tradisi melalui seni mempertahankan diri iaitu rujukannya untuk memancarkan tenaga dalaman manusia.
“Meskipun pameran ini tidak mengkhususkan tema negeri secara khusus, himpunan karya anak-anak Perak yang mewakili beberapa generasi berjaya menampilkan keunggulan mereka dalam perkembangan sejarah seni kontemporari negara,” kata Kurator Yayasan Kesenian Perak, Nur Hanim Mohamed Khairuddin.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: