Sunday, April 24, 2011

Menebas semak ke puncak Muntahak




IMPIAN Hasnah Abdullah untuk mendaki gunung Muntahak di Hutan Simpan Panti, Johor tercapai jua akhirnya. Hasnah yang lebih mesra disapa Cik Nah 'mengidam' sejak dua tahun lalu untuk ke puncak gunung itu. Ibu kepada lima anak dan 10 cucu itu memberitahu penulis bahawa walaupun usianya mencecah 59 tahun, beliau tekad mendaki gunung. Memulakan minat itu pada 2007, antara gunung yang telah didakinya adalah Ledang, Belumut, Tahan, Yong Yap, Angsi dan Nuang.

Mengenali wanita warga emas itu, timbul tanda-tanya bagaimana beliau jatuh cinta dengan aktiviti lasak pada usia yang lewat. Menjelaskan itu, Cik Nah berkata: "Saya dah tak ada apa-apa yang nak dibuat. Di rumah, hanya tinggal saya, suami dan dua anak yang sudah dewasa."

Minat mendaki bermula apabila Cik Nah kerap mendaki gunung Lambak berdekatan rumahnya di Kluang. Selepas solat Asar, Cik Nah akan berjoging dari rumah ke kaki gunung, kemudian mendaki sampai ke puncak.

Bersama pendaki dari Kelab OGKL dan Kelab Mendaki Gunung Rengit, Cik Nah merealisasikan impian ke puncak gunung Muntahak pada 9 April lalu.

Selepas sarapan di Bandar Petri Jaya, kumpulan seramai 33 orang bersama penunjuk arah, Noh Ismail berkonvoi menempuh ladang sawit seluas saujana mata memandang. Kami tiba di pintu rimba, meletak kenderaan dan memulakan pendakian tepat pukul 10.30 pagi.

Menurut Presiden Kelab OGKL, Afif Che Embi, 34, gunung Muntahak dipilih kerana ia antara gunung yang jarang didaki.

Tarikan air terjun

"Memang minat OGKL untuk mendaki gunung-gunung yang tidak dikenali ramai, selain gunung-gunung yang biasa didaki bagi menambah pencapaian ahli. Selain itu, gunung ini juga mempunyai tarikan air terjun yang cantik di sungai Ulu Tengkil," katanya.

Trek yang dilalui adalah pelbagai iaitu dimulai dengan trek jalan tanah merah, kawasan berselut, tepi lombong, paya berlumpur hitam, sungai, air terjun dan trek hutan yang dipenuhi semak, rotan, mengkuang dan halangan balak tumbang. Sebelum meredah kawasan berselut, kami menemui banyak tapak kaki harimau belang yang bersaiz sebesar tapak tangan.

Kawasan selut yang diredah begitu mencabar kerana jika tersilap langkah pasti seseorang itu akan terbenam sehingga ke paras paha. Melepasi kawasan paya berlumpur, kedengaran dari jauh bunyi aliran sungai yang menenangkan. Sebaik tiba di sungai Ulu Tengkil, kami berehat sekejap. Tidak lama kemudian kami meneruskan perjalanan sehingga tiba di air terjun tingkat satu untuk makan tengah hari.

Di situ, kami meninggalkan beg galas yang besar dan hanya memikul beg galas kecil menuju ke puncak. Sebelum itu, kami singgah di air terjun tingkat tujuh yang amat cantik. Daripada sembilan air terjun di sungai ini, itulah air terjun tercantik dan syukur kepada Ilahi kerana memberi peluang kepada kami untuk menikmati keindahannya.

Kami hanya sempat bergambar kerana sudah agak lewat untuk ke puncak. Ketika jam menunjukkan pukul 1.30 petang, Noh menghampiri saya dan berkata: "Dah lewat.. rasanya, takat sini saja." Saya menjawab: "Tak boleh...ini group OGKL...mesti nak ke puncak juga."

Noh membawa juga kami ke puncak. Menurutnya, laluan ke puncak sukar kerana sejak beliau membukanya pada 1991, hanya ada satu kumpulan melaluinya. Kumpulan OGKL menjadi kumpulan kedua dan kerana itu, trek dipenuhi semak yang agak tebal sehingga laluan tidak dapat dilihat.

Kami berusaha keras agar tidak terlalu lewat sampai ke puncak. Namun Tuhan telah menentukan semuanya. Ditakdirkan Noh tiba-tiba terasa kurang sihat dan tidak dapat membawa kami ke puncak. Berbekalkan azam dan peta yang diberi oleh Noh, kami tekad meredah belantara menuju ke puncak. Afif yang mengetuai kami bekerja keras menebas semak-samun sambil dibantu beberapa peserta lain.

Keadaan ini membuatkan kami terpaksa menunggu lama sehingga ada di antara kami berasa mengantuk. Kami juga berjalan tanpa henti dan dengan semangat yang membara, semua peserta berjaya ke puncak. Saya tiba sekitar pukul 5.05 petang, lewat sedikit daripada peserta yang lain. Tiada panorama pergunungan dapat dilihat dari puncak yang dikelilingi pokok-pokok besar.

Di puncak, sudah ada kumpulan lain yang tiba dahulu. Mereka mendaki mengikut laluan kuari dari Kota Tinggi. Terdapat tiga laluan ke puncak gunung Muntahak dan kami mengikut laluan Noh. Saya berpendapat laluan Noh sangat jauh berbanding dengan ketinggian gunung Muntahak kira-kira 634 meter (2,080 kaki). Ini kerana beliau selesa memilih kawasan rabung dan permatang yang lebih landai.

Selepas sesi bergambar, kami meninggalkan puncak pada pukul 5.35 petang dan sampai ke tapak perkhemahan pada pukul 9.40 malam. Tiga peserta yang tersalah pilih laluan juga selamat sampai ke tapak perkhemahan. Keesokan paginya, kami keluar dari hutan dan memulakan ekspedisi ke air terjun Sungai Pelepah Kiri yang mempunyai 13 tingkat. Pengembaraan kami berakhir pada pukul 5.45 petang, 10 April lalu dan sampai ke ibu kota pada detik 12 tengah malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: