DALAM sesebuah negara, baik yang maju mahupun yang masih mundur, selalunya kita akan menemui dua kelompok masyarakat, iaitu golongan yang kuat dan yang lemah.
Golongan yang kuat ini akan mempunyai kecenderungan untuk memperkuatkan diri mereka. Salah satu alternatif yang akan diambil mereka adalah dengan melemahkan golongan lain.
Akibatnya golongan yang kuat itu akan menjadi semakin kuat dan golongan yang lemah (daif) menjadi semakin lemah.
Pelbagai aspek penindasan bagi tujuan melemahkan itu boleh dilakukan seperti melalui aspek ekonomi, politik, sosial, budaya bahkan melalui agama sekalipun.
Kesannya muncul golongan tertindas melalui kelompok golongan yang 'diperlemahkan' (mustadh'afin).
Golongan wanita secara umumnya masih di peringkat yang memerlukan pembelaan memandangkan sebilangan besar mereka adalah tergolong dalam kelompok mustadh'afin .
Terdapat banyak keluhan dari lelaki yang menyatakan ketidakadilan telah berlaku apabila kerajaan mewujudkan kementerian khas yang membela nasib wanita iaitu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Namun, jika golongan yang mengeluh itu faham akan kedudukan wanita kita, mereka perlu akur hakikat keperluan pembelaan dan perlindungan berterusan yang telah diwujudkan melalui polisi dan pelbagai mekanisme kerajaan mahupun badan-badan bukan kerajaan (NGO).
Kita perlu memahami bahawa pembelaan dan perlindungan kepada golongan wanita yang dizalimi sama ada melalui penderaan, kekerasan rumah tangga mahupun penafian hak, adalah amanah yang Allah SWT sendiri berikan kepada kita melalui perintah-Nya yang suci.
Allah menyatakan kekesalan pada mereka yang tidak mahu 'berperang' demi melindungi hak-hak mustadh'afin (orang-orang yang diperlemahkan) ini.
Melalui pentafsiran para mufasirin (ahli tafsir), perkataan mustadh'afin boleh membawa maksud orang-orang yang 'diperlemahkan', atau mereka yang dianggap tidak berdaya oleh masyarakat atau mereka yang dinafikan hak secara tidak adil.
Jelas melalui pentafsiran ini, golongan wanita yang tertindas mahupun dizalimi adalah termasuk dalam golongan mustadh'afin.
Justeru, kita perlu memastikan pembelaan yang sewajarnya dilaksanakan terhadap mereka. Pastinya mereka yang melakukan pembelaan terhadap golongan lemah dan diperlemahkan ini berada di jalan Allah.
Sebagai insan yang akur kepada amanah Allah, kita perlu menerima hakikat bahawa perjuangan oleh kerajaan melalui agensinya seperti Jabatan Pembangunan Wanita dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) atau badan korporat seperti Avon Malaysia Berhad dalam membanteras keganasan dan segala bentuk kezaliman terhadap wanita adalah satu penunaian amanah Allah.
Wajarlah kita melibatkan diri secara bersama dengan badan-badan berkenaan untuk memberikan sebarang bentuk bantuan atau sumbangan dalam perjuangan di jalan Allah yang suci ini.
Ia bagi memastikan golongan wanita dan semua mereka yang tertindas atau 'diperlemahkan' mendapat pembelaan dan mampu dikeluarkan daripada kelompok mustadh'afin.
Muliakan dan letakkanlah golongan wanita kita pada tempatnya yang tinggi, selaras dengan kemahuan dan kehendak Allah.
Tuhan yang menciptakan lelaki dan perempuan bagi memastikan tugasan manusia itu dapat dijalankan dengan sempurna dalam memakmurkan bumi-Nya dengan segala puji-pujian hanya pada-Nya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: