Wednesday, April 20, 2011

Memahami tabiat kuda


SEBAHAGIAN daripada pemandangan indah yang dilalui oleh penunggang Highlanders Endurance di Kampung Janda Baik, Pahang.


SEPERTI aktiviti lasak yang lain, menunggang kuda menjanjikan pengalaman yang cukup menyeronokkan namun riadah itu bukan sekadar memerlukan keberanian bahkan perlu diiringi kemahiran yang hanya boleh ditimba secara praktikal.

Bagi pemilik Highlanders Endurance, Mohd. Bakri Abdul Razak, kepuasan sebenar seorang horsemen dicapai apabila penunggang dapat menunggang di kawasan terbuka dan merasai keupayaan sebenar kuda yang ditunggang.

Katanya, untuk menunggang secara lasak, penunggang juga harus menguasai sepenuhnya kemahiran asas dan tahu menangani kuda di dalam pelbagai situasi.

“Riadah ini amat memerlukan persefahaman antara penunggang dengan kuda.

“Ada masa kita yang mengajar dan ada masanya pula kita yang belajar dari kuda,’’ katanya.

Mohd. Bakri berkata, berbanding riadah berkuda yang lain, disiplin kuda lasak (endurance) boleh dikatakan merbahaya dan hanya boleh dilakukan oleh penunggang yang berpengalaman.

“Bagi yang berminat untuk mencuba dapatkan latihan peringkat awal yang disediakan di beberapa pusat latihan seperti di Ampang, Sungai Buloh dan Bukit Kiara,” katanya.

Katanya, selain kemahiran menunggang, penunggang yang baik juga harus memahami tindak-tanduk dan tabiat kuda yang ditunggang.

Memaksa kuda berlari atau bekerja keras boleh menyebabkan kecederaan yang mencacatkan kuda seumur hidup.

“Apabila seseorang itu memanjat naik ke atas belakang kuda, kedua-dua kakinya seolah-olah bertukar menjadi empat. Haiwan yang ditunggang itu adalah sebahagian daripada dirinya,” ujarnya penuh falsafah.

Bakri kini mempunyai 24 ekor kuda dari baka Indonesia, Argentina dan Arab di kandangnya. Lapan ekor daripadanya dilatih khas untuk tunggangan lasak.

Sementara itu, bagi jurulatih Highlanders Endurance dengan 10 tahun pengalaman, Yazman Madewnus, 43, tunggangan lasak merentasi kawasan berbukit dan anak sungai memerlukan pengalaman menunggang bagi memastikan keselamatan para peserta terjamin.

“Penunggang harus menjaga jarak di antara satu sama lain bagi mengelak perlanggaran kerana sesetengah kuda bersifat sensitif dan mudah terkejut,” katanya yang mengetuai tunggangan pada hari itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: