Wednesday, April 20, 2011

Kejutan Fran & Harith


Kedua-dua selebriti ini menjanjikan kelainan dengan kejutan yang bakal mereka tampilkan.


AURA penyanyi senior yang popular menerusi lagu Sekadar Di pinggiran, Francesca Peter nyata masih utuh biarpun aktiviti seninya tidak serancak zaman kegemilangannya dahulu.

Ini kerana kemampuan vokalnya mendendangkan lagu bernota tinggi menjadi kegilaan peminatnya dan atas faktor itu, Francesca atau mesra disapa sebagai Fran itu diundang untuk memeriahkan persembahan Minggu Setiausaha di Hotel JW Marriott, Kuala Lumpur pada 28 dan 29 April ini.

Ketika ditemui pada sidang akhbar yang diadakan di hotel berkenaan baru-baru ini, Fran langsung enggan mendedahkan perincian mengenai persembahannya kerana mahu menyelitkan elemen kejutan.

Katanya, selain lagu Sekadar Di Pinggiran, judul sebelas lagu lain yang akan dinyanyikannya kelak, juga menjadi rahsia.

"Biarlah ia menjadi tanda tanya buat peminat supaya mereka tunggu sehingga ke akhir persembahan.

"Paling penting, saya menjanjikan persembahan yang terbaik demi peminat setia saya," ujar Fran yang teruja digandingkan pertama kalinya bersama pelawak tanah air, Harith Iskander.

Tambah Fran, peluang berkongsi pentas dengan Harith nyata sesuatu yang menyeronokkan kerana personaliti Harith yang lucu dan bersahaja.

"Walaupun tiada sebarang tema ditetapkan, saya dapat bayangkan keseronokan peminat yang hadir dengan telatah Harith dan persembahan istimewa saya sendiri.

"Mungkin akan ada kejutan dari kami berdua untuk peminat yang hadir nanti," jelas Fran.

Sementara itu, pengarah teater Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal, Harith Iskander memberitahu, dia akan menampilkan satu persembahan menarik sebagai pelawak pentas.

Jelasnya, konsep persembahan masih lagi dalam perancangan dan belum diputuskan lagi.

"Minggu Setiausaha begitu dekat dengan diri saya kerana arwah ibu saya adalah seorang bekas setiausaha.

"Saya ada pelbagai pilihan idea untuk dicelotehkan dalam persembahan saya kelak.

"Lazimnya, konsep lawak pentas yang bakal saya tampilkan bergantung kepada respons audiens yang hadir," terang Harith mengenai persembahan yang memakan masa hampir dua jam itu nanti.

Terkenal dengan tagline 'Halus...' untuk iklan Nescafe, Harith memberitahu, persembahannya juga akan memberi kejutan dan dia teruja untuk membuat persembahan nanti.

Dalam pada itu itu, model dan juga pengacara terkenal Xandria Ooi akan bertindak selaku pengacara majlis yang mengendalikan Minggu Setiausaha bersama Francesca Peter itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: