UNIK... Zakaria bersama hasil lukisannya yang dipamerkan di Galeri M Warna di Maran.
SEPANJANG usia mudanya, Zakaria Adam mengabdikan diri sebagai pendidik anak bangsa hingga impian beliau untuk menumpahkan bakatnya selaku pelukis terpaksa dipendam lantaran terlalu sibuk dengan tugas harian.
Apatah lagi, kegemarannya yang satu itu sering mendapat tentangan kerana keluarganya berpendapat bidang seni tidak akan menjanjikan apa-apa kepadanya.
Baru sekarang Zakaria dapat mengecap kenikmatan hidup sebenar kerana sejak bersara daripada jawatan guru lima tahun lalu, saban hari beliau dapat menghadap kanvas serta apa saja bahan yang boleh digunakan untuk menterjemah bakat sedia ada di dalam darahnya sejak kecil lagi.
Mungkin bagi sesetengah individu, bersara adalah masa terbaik untuk berehat bagi menghabiskan usia tua tetapi tidak bagi Zakaria yang juga bekas guru di Sekolah Menengah Seri Jaya, Maran.
Beliau merasakan tempoh persaraan adalah peluang yang harus direbut untuk menghasilkan kerja seni yang selama ini terhad.
“Bersara bukan bererti berhenti bekerja, malah tempoh itu boleh digunakan untuk mengembangkan bakat yang ada di samping mencari pendapatan tambahan,” katanya yang semakin aktif menghasilkan lukisan dan berbangga kerana hasil tangannya sering menjadi rebutan pelancong dalam dan luar negara.
Kanvas, papan lapis, mozek dan kertas lukisan menjadi tempat untuk Zakaria berilham dan ramai peminat lukisan kagum dengan apa dihasilkannya.
“Minat melukis tersemai sejak kecil tetapi sering ditentang keluarga saya yang beranggapan bidang seni lukis tidak menjanjikan kemewahan.“Namun hanya melalui lukisan, saya dapat menenangkan diri dan ia tidak ubah seperti satu terapi buat jiwa saya. Pada peringkat awal, saya melukis hanya sebagai hobi untuk mengisi masa lapang kerana tidak ramai masyarakat kita berminat menyimpan hasil karya pelukis tempatan.
“Saya pernah menghasilkan beratus-ratus lukisan sepanjang berkhidmat sebagai guru tetapi hasil karya itu hanya disimpan atau dipamerkan di bilik seni lukis di sekolah untuk dijadikan pendorong kepada pelajar,” katanya.
Antara objek yang sering menjadi ilham kepada Zakaria untuk melukis ialah pokok periuk kera kerana baginya, tumbuhan itu melambangkan keamanan, ketenteraman serta perpaduan.
Katanya, periuk kera yang hidup meliar di sebahagian besar hutan di negara ini hanya ‘menelan’ mangsanya ketika diganggu dan bentuknya yang unik membuatkan peminat dan pencinta alam sekitar berusaha menjaga spesies itu daripada pupus.
Semua karya dan hasil tangan Zakaria dipamerkan di gerai miliknya iaitu di Galeri M Warna di Maran dan gerai itu terletak berdepan bangunan Majlis Daerah Maran (MDM).
Zakaria berkata, masih banyak hasil ciptaannya tersimpan dan beliau mengadakan perbincangan dengan pihak tertentu untuk membolehkan semua hasil karyanya dipamerkan.
Beliau juga mengimpikan untuk meluaskan bidang seni diterokanya menerusi lukisan seni batik supaya peminat seni boleh menikmati hasil tangannya yang berkonsepkan hidupan serta tumbuhan liar itu.
Zakaria boleh berbangga apabila hasil tangannya banyak dibeli pelancong dari Thailand, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat kerana tertarik dengan kehalusannya serta keunikan lukisan pokok periuk kera.
Setiap lukisan beliau dijual antara RM200 hingga RM7,000 bergantung kepada kualiti serta kehalusannya.
Mengenai perancangan masa depannya, Zakaria berkata, setakat ini beberapa negeri menjemputnya untuk mengadakan pameran dan beliau meluahkan keyakinan bidang seni lukis mempunyai berpotensi besar untuk menjamin pendapatan lumayan kepada pengkaryanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: