
FILEM Karak, genre seram arahan Yusry Abdul Halim dengan kos RM1.5 juta bakal ditayangkan di pawagam pada 26 Mei depan.
Karak yang menjalani penggambaran selama 20 hari bermula Julai hingga Ogos 2010 itu merupakan filem ke sembilan terbitan KRU Studios dan filem seram pertama terbitan syarikat berkenaan.
Presiden Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim selaku penulis skrip berkata, dalam filem Karak terdapat 10 entiti paranormal yang dipaparkan.
Katanya, idea menghasilkan skrip dibuat berdasarkan cerita-cerita legenda yang terdapat dalam internet dan cerita daripada orang ramai mengenai kejadian aneh yang berlaku di Lebuh Raya Karak.
"Sejak dulu lagi kita sering mendengar cerita-cerita paranormal dan ada di antara kita yang pernah mengalaminya. Malah kami (KRU) juga pernah mengalami kejadian menakutkan sewaktu pulang daripada mengadakan persembahan di Pulau Pinang.
"Dalam perjalanan itu, kami lihat satu wajah menggerunkan menerkam pemandu kereta sebelah. Kejadian itu juga secara tidak langsung memberi inspirasi kepada saya untuk menghasilkan skrip," katanya.
Filem yang menampilkan lagu tema, Kerek, ciptaan Edry Abdul Halim dendangan Bandi Amuk itu dilakonkan oleh Shahir AF8 (Nik), Shera Aiyob (Zura), Kilafairy (Ida), Along Eyzendy (Jack) dan Sidek Hussin (Tok alam).
Menurut Norman, walaupun Karak bakal ditayangkan bulan depan namun sedutan filem itu sudahpun di siarkan di pawagam sejak Mac lalu dan lebih 120,000 orang melihatnya di YouTube.
"Filem yang menjalani penggambaran di sekitar Hulu Langat, Beranang dan Cyberjaya itu turut mendapat perhatian dari Jerman.
"Ada juga jemputan daripada penganjur festival filem seram luar negara mengundang tapi buat masa ini kami nak tumpukan promosi dalam negara dulu," katanya.
Sementara itu, Yusry berkata, beliau sengaja memilih pelakon baru kerana ia bersesuaian dengan jalan cerita serta bagi menampakkan kelainan pada filem keempat arahannya itu.
Katanya, cabaran mengarah Karak terletak pada jalan cerita kerana semua kejadian yang ditonjolkan berlaku dalam tempoh satu malam.
"Memandangkan semua kejadian waktu malam, jadi penggambaran selalu bermula selepas matahari terbenam dan selesai sebelum matahari terbit," ceritanya.
Bagi Yusry, tidak ada bezanya mengarah Karak berbanding Hikayat Merong Mahawangsa atau Cicakman kerana semua filem arahannya masih dibuat storyboard sebelum penggambaran.
"Selalunya sebelum penggambaran setiap filem arahan saya, pelakon akan sertai bengkel lakonan. Selain itu sesi suai kenal juga diadakan agar pelakon memahami karakter pasangan masing-masing.
"Bagi saya setiap filem ada keunikan tersendiri dan sebagai pengarah saya perlu menampilkan kreativi berbeza untuk menampakkan kelainan," katanya.
Dalam pada itu, KRU Studios menyasarkan untuk menerbit enam filem setiap tahun dalam pelbagai genre.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: