|
|
TIADA siapa menyangka Kuala Pahang yang sebelum ini dipenuhi timbunan bukit pasir, bertukar wajah apabila kampus Universiti Malaysia Pahang (UMP) beroperasi di kawasan itu sejak Julai tahun lalu.
Jika dahulu, kawasan terbabit hanya merupakan perkampungan nelayan, namun kini ia bertukar menjadi deretan rumah sewa, premis perniagaan makanan, bengkel kenderaan dan kedai runcit.
Kewujudan kampus UMP itu juga membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan sama ada bekerja sebagai kontraktor kebersihan, pengawal keselamatan atau pekerja di universiti itu.
Penulis sempat menemubual seorang peniaga warung, Nurul Jannah Ahmad, 34, yang telah 15 tahun berniaga di Kuala Pahang.
Lebih sedekad lalu katanya, premisnya tiada bezanya dengan kedai makan lain di Kuala Pahang. Namun, itu cerita lama.
Kedai kopi yang diusahakan bersama suaminya Ismail Abdullah, 45, terletak berdekatan UMP itu kini mempunyai ramai pelanggan yang terdiri daripada pekerja binaan, warga kampus dan orang ramai yang berulang-alik di kawasan itu.
Jika dahulu ujarnya, perkampungan itu jarang dikunjungi orang luar.
Nurul Jannah memberitahu, suasana pagi kini semakin sibuk dengan bas yang berulang-alik mengangkut pelajar dari UMP Gambang ke Pekan.
''Jika dahulu hasil jualan harian kasar yang diterima tidak sampai RM500, tetapi sekarang pernah mencecah RM1,500," katanya.
Berikutan kesibukan itu, dia terpaksa menggajikan 10 pekerja untuk membantunya menjalankan perniagaan bermula dari awal pagi hingga ke tengah malam.
"Dahulu kedai ini hanya dibuka bermula pagi hingga tengah hari, tetapi kini terpaksa dibuka hingga ke lewat malam atas permintaan pelanggan," ujarnya.
Lain pula ceritanya bagi pasangan warga emas, Wan Kembang Wan Muda, 63, dan suaminya Sulaiman Hassan, 75.
Wan Kembang yang lebih dikenali dengan panggilan Mak Ngah memberitahu, suatu ketika dahulu, sumber pendapatannya hanya daripada hasil laut.
Kini dia memiliki enam rumah yang disewakan kepada penuntut UMP yang tinggal di luar kampus dengan kadar RM350 sebulan.
Katanya, pada usia emasnya, sudah pasti dia tidak mampu ke laut, namun pendapatan daripada rumah sewa sudah cukup menampung keluarganya.
Secara ringkasnya, UMP menjadi pemangkin pembangunan pendidikan dan ekonomi masyarakat setempat di Kuala Pahang.
UMP terus berkembang dan diperluaskan dengan wujudnya fakulti baru dan penambahan bilangan pelajar, tenaga pengajar serta kakitangan.
Sesuatu yang tidak pernah diduga sebelum ini adalah nilai hartanahnya yang turut melambung tinggi kesan pembinaan UMP sejak setahun lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: