
Anak kelahiran Singapura ini masih aktif dalam bidang nyanyian. Bermula hanya di majlis kenduri dan majlis keraian, Jeffrydin disunting pengurus syarikat rakaman keturunan Cina-Indonesia, Mr Lee yang mendengar beliau menyanyi di majlis kahwin di Singapura.
“Saya diminta menyanyikan lagu Seruling Bambu dan Fatwa Pujangga waktu itu. Rasa suara tak keluar pun ada masa tu.
“Tapi semangat menyanyi dan jadi cita-cita, akhirnya diterima dan tandatangani kontrak mula menyanyi bersama kumpulan The Siglap Five,” katanya kepada Sinar Harian.
Bercerita pengalaman sepanjang 45 tahun sebagai penghibur, Jefrydin mengakui tidak akan melupakan kenangan baju dan seluarnya koyak akibat diserbu peminat semasa konsert pop yeh yeh pada tahun 1967.
“Itulah kenangan paling berharga buat saya. Bagaimana penyanyi seperti saya dan kawan-kawan era 60-an diserbu peminat fanatik. Rasa diri begitu dihargai,” katanya.
Menjadikan Elvis Presley sebagai idola, Jefrydin tidak pernah mengeluh sepanjang bergelar seniman. Sentiasa berhati-hati apabila berdepan dengan masyarakat, Jefrydin juga sentiasa berwaspada dalam mengeluarkan kata-katanya.
“Saya selalu ingat pesan orang tua saya. Jangan selalu bangga diri dan jangan sombong. Tidak selalu kita di atas. Pesanan itu saya pegang sampai sekarang.
“Saya masih orang yang sama. Tidak ada berubah walaupun era sekarang muzik sudah jauh ke depan. Saya yakin irama pop yeh yeh masih ada peminat,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: