Wednesday, April 13, 2011

Jepun mengejar pelancong China


PELBAGAI tarikan dijalankan oleh para pengusaha perniagaan di Jepun untuk menarik kunjungan pelancong China. Ini termasuklah mempelajari bahasa Mandarin dan juga menyediakan perkhidmatan serta produk yang berkualiti.


JEPUN amat mengalu-alukan kehadiran pelancong China seumpama membentang permaidani merah dan berharap dapat berkongsi kekayaan yang dikecapi negara itu selepas ia menjadi sumber ekonomi kedua terbesar dunia tahun lalu.

Sehubungan itu, gadis geisha terpaksa belajar bahasa Mandarin, beberapa resort air panas giat mengadakan persembahan akrobatik China dan kerajaan pula melonggarkan permohonan visa pelancong China yang berbelanja besar.

Berikutan jumlah populasi masyarakat Jepun semakin menurun, kerajaan Jepun, hospitaliti dan industri peruncitan secara agresif telah berusaha untuk cuba menarik pelancong-pelancong China yang ‘berdompet tebal’ ke Jepun.

Rie Kimishima yang mengusahakan sebuah hotel tradisional di sebuah kawasan perkampungan indah dekat Nikko di utara Tokyo telah berlatih bersungguh-sungguh mendalami bahasa Cina.

Selain itu, Kamishima turut belajar tentang cara membuatkan para pelancong China berasa selesa seperti sedang berada di negara asal mereka.

“Semua resort di sini perlu belajar bahasa mereka. Satu lagi perkara yang perlu diketahui adalah untuk tidak menyediakan makanan sejuk kepada pelancong China kerana mereka tidak menyukainya,” katanya.

Tarikan pelancongan

Pusat pentadbiran Fukui turut menjadi lokasi tumpuan para pelancong kerana di situ terdapat banyak kolam air panas yang dikenali sebagai onsen.

Pada bulan Mac ini, para pemilik hotel ryokan, pemilik geisha, pengusaha restoran dan penjual cenderamata akan menghadiri satu seminar bagi memenangi hati pelancong China.

“Kebanyakan pelancong datang dari Taiwan. Jumlah pelancong China dijangka meningkat apabila syarat-syarat permohonan visa dilonggarkan kelak,” kata penganjur program, Yasuko Yoshie dari persatuan pelancongan tempatan.

Pemerintah Jepun yang kini berada dalam keadaan terdesak untuk memulihkan semula keadaan ekonominya telah bertindak melonggarkan permintaan domestik negaranya.

Ekoran itu, Jepun menetapkan satu sasaran jangka masa panjang untuk menarik 30 juta orang pelancong luar negara setahun dengan memberi fokus kepada pelancong dari China.

Sepanjang tahun lalu, undang-undang visa telah dilonggarkan untuk pelancong China dan jumlah pendapatan isi rumah untuk memohon visa diturunkan.

Pemerintah Jepun turut melancarkan visa perubatan baru yang mempunyai tempoh sah selama enam bulan sebagai daya penarik pesakit luar negara ke hospital di Jepun.

Jumlah kemasukan wang dari China pula mula membanjiri Jepun dan bilangan transaksi melalui sistem kad bank UnionPay China bertambah dari 3.9 bilion yen (RM140 juta) pada 2007 kepada kira-kira 40 bilion yen (RM1.45 bilion) tahun lalu.

Institut Kajian Yano menjangkakan bahawa menjelang 2015, pelancong China akan berbelanja sebanyak 560 bilion yen (RM20 bilion) setahun iaitu empat kali ganda lebih tinggi dari tahun 2009.

Di sebuah bandar popular, Akihabara, Tokyo iaitu sebuah daerah beli-belah terkenal telah dipenuhi deretan tanglung berwarna merah dan keemasan di sepanjang jalan sempena sambutan Tahun Baru Cina.

“Saya mahu dapatkan permainan untuk PlayStation saya. Ibu bapa saya pula lebih berminat untuk membeli ubat-ubat Jepun kerana ia terkenal dengan kebaikannya untuk kesihatan,” kata seorang budak sekolah berusia 18 tahun dari Shanghai yang melancong bersama keluarganya.

Para pemilik perniagaan di Akihabara terkejut dengan sambutan daripada pelancong China terhadap barangan Jepun. Produk-produk itu dikatakan mempunyai reputasi dari segi teknologi, pembuatan dan jaminan jenama.

“Produk yang paling popular sudah tentunya periuk nasi yang tidak diragui kualitinya,” kata Yoko Yamazaki, seorang jurucakap peruncitan elektronik jenama Laox iaitu sebuah rangkaian jenama yang diambil alih oleh pelabur China baru-baru ini.

Bebas cukai

Katanya, pada hari Tahun Baru Cina lebih dari 1,000 pelancong dari China membanjiri kedai di Akihabara sepanjang hari, malah ada antara mereka membeli empat hingga lima periuk nasi dan beberapa barang lain di bahagian bebas cukai.

“Mereka juga beli beberapa jam tangan, ubat-ubatan dan makanan tambahan kesihatan serta beberapa tin susu formula bayi.

“Ada sesetengah orang kaya berbelanja sebanyak beratus-ratus ribu yen manakala ada pula yang membeli sebuah jam tangan mewah jenama Rolex tanpa tawar-menawar.

“Secara kasarnya saya katakan mereka berbelanja kira-kira 60,000 yen seorang,” kata Yamazaki yang mendakwa bahawa Laox telah mengembangkan rangkaian produknya bagi memenuhi cita rasa rakyat China.

Pengurus pusat perniagaan Laox, Nobukazu Iino berkata, gelombang membeli-belah daripada pelancong China itu baru bermula sekali gus membayangkan potensi besarnya.

Menurut buku fakta Agensi Perisikan Pusat Amerika (CIA), Jepun mempunyai kira-kira 127 juta orang penduduk berbanding China sejumlah 1.3 bilion orang penduduk.

Seperti kebanyakan penduduk Jepun lain, Iino bimbang sekiranya keadaan yang berlaku kini akan memberi kesan ke atas negaranya.

“Memang benar China menunjuk perkembangan ekonomi yang baik. Pada masa yang sama, ekonomi Jepun semakin jatuh,” keluhnya.

Semasa pascaperang dahulu, ekonomi Jepun berada pada kedudukan kedua di belakang Amerika Syarikat (AS) selama 42 tahun. Namun, ia terhenti sejak nilai hartanah Jepun mengalami lonjakan ketara sejak 1990.

China dan Jepun telah lama bersaing dan sejarah silam antara kedua-duanya sering menyebabkan perselisihan faham.

Ketika krisis ekonomi berada pada tahap yang tinggi, jumlah pelancong China ke Jepun jatuh menjunam apabila kebanyakan syarikat besar membatalkan lawatan berkumpulan ke Negara Matahari Terbit itu.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, media Jepun melaporkan mengenai peningkatan jumlah orang kaya China yang membeli hartanah di Jepun.

Walaupun Jepun mengalu-alukan kedatangan pelancong China namun pada masa yang sama mereka juga perlu menerima hakikat bahawa pelancong China juga akan kembali semula ke negara mereka.

“Walaupun terdapat kemungkinan hubungan boleh menjadi keruh, namun kami akan terus berkempen bagi menarik pelancong China tanpa mengambil kira ideologi politik mereka,” kata Nina Honma, seorang pegawai Agensi Pelancongan Jepun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: