Monday, April 18, 2011

Ilham halaman kampung Sangkot

Bilik persalinan untuk pengantin dihias dengan perabot kayu jati.

MENYEDARI di bandar besar seperti Kuala Lumpur tidak mempunyai banyak pilihan untuk pasangan pengantin baru mengadakan majlis resepsi dalam taman telah memberikan idea kepada Zolhaili Latiff dan Zalimalaysiana untuk membuka sebuah laman khas untuk pasangan pengantin merealisasikan impian mereka.

Pemilik Sangkot, Zolhaili dan Zari berhasrat untuk mempelbagaikan lagi taman perkahwinan konsep taman mereka.

Mencedok konsep taman ala halaman kampung, tempat yang diberi nama Sangkot itu cukup unik dan penuh dengan tumbuhan hijau melatari landskapnya.

Kayu pokok yang telah tumbang dijadikan tempat untuk tetamu bersantai.

Saat melangkah ke Sangkot yang terletak di Ulu Langat, Selangor ini, aroma daun pandan yang banyak di tanam di bahagian belakang kawasan seluas setengah ekar itu segera menghampiri deria bau.

Ditanya mengenai cerita di sebalik nama tempat itu, Zolhaili memberitahu, nama itu dipilih sebagai simbolik kepada pasangan yang bertemu cinta dan akhirnya bersatu dalam alam perkahwinan.

Unik...Penyangkut pakaian yang diperbuat dari kayu jati koleksi peribadi pemilik.

“Sangkot yang diambil dari perkataan asal ‘sangkut’ menggambarkan dua pasangan yang tersangkut antara satu sama lain dan tempat ini adalah sebagai simbolik mereka bersatu untuk majlis resepsi mereka. Itulah sebab saya memilih nama itu untuk diabadikan,” katanya ketika ditemui Mingguan mStar baru-baru ini.

Papan kecil disusun di atas tanah untuk pejalan kaki.

Menyusuri kawasan itu, pemilik turut menyediakan lima buah pondok kecil dan satu pondok utama untuk majlis resepsi perkahwinan yang diadakan di situ.

Pondok-pondok yang didirikan turut mengekalkan ciri-ciri kemelayuan dengan dibina menggunakan kayu berkualiti tinggi.

Tambah menarik, di bahagian belakang pondok utama, pemilik turut menyediakan sebuah pondok khas untuk pasangan pengantin bersiap-siap untuk majlis resepsi mereka di situ.

Penggunaan bunga orkid dari pelbagai warna menyerlahkan dekorasi.

“Kami mengambil keputusan untuk membina pondok khas untuk pengantin bersiap adalah kerana untuk memudahkan pasangan supaya tidak kelam kabut pada hari bahagia mereka,” katanya.

Melihat kepada sudut landskapnya, Sangkot yang terletak lebih kurang 25 kilometer dari Kuala Lumpur, tidak sarat dengan pelbagai tumbuhan hijau yang bersifat urban tetapi lebih menitikberatkan kepada tumbuh-tumbuhan kampung bagi melatari taman itu.

“Kita sengaja memilih tumbuhan hijau yang sedia ada di kawasan ini untuk memberikan senario sebenar kawasan kampung. Malah ada sesetengah pokok sedia ada dikekalkan di sini untuk memberikan tambah nilai kepada landskapnya,” katanya yang bakal membina sebuah lagi pondok khas untuk dijadikan spa.

Lampu chandelier antik dari saiz sederhana menghias dinding.

Pun begitu, bagi menaikkan lagi seri taman itu, Zolhaili memperindahkan landskap Sangkot dengan pelbagai jenis tumbuhan orkid yang berwarna-warni bagi memberi seri kepada taman itu.

Sementara itu, ketika menyusuri pondok utama yang terletak dibahagian depan, pelbagai hiasan lukisan hasil nukilan daripada artis seperti Harris Ribut, Kasbi Sarbini, Fauziah Yahya dan Ismail Baba melatari pondok itu.

“Saya sengaja mempamerkan hasil lukisan ini selain meletakkan candelier kecil bagi menghidupkan pondok ini dari terlalu kosong dan pengunjung yang hadir boleh membeli lukisan tersebut jika sukakannya,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: