![]() |
| Lebih nipis dan bergaya Nokia E7 pasti berjaya menarik minat penggemar gajet tersebut. |
MASIH ingatkah anda pada telefon bimbit Nokia E90 Communicator yang mengetengahkan fungsi pengurusan operasi perniagaan?
Meneruskan kecemerlangan produk telekomunikasi untuk portfolio itu, Nokia terus mencipta teknologi terbaik dalam memenuhi kehendak penggunanya.
Kali ini, syarikat inovasi global tersebut memperkenalkan pula model Nokia E7 dengan tawaran produktiviti operasi perniagaan berprestasi tinggi.
Sebagai pelengkap rangkaian siri-E, model ini menawarkan spesifikasi terbaik untuk aktiviti mengakses data perniagaan, komunikasi interaktif dan kemudahan capaian kandungan.
Menurut Pengurus Besar Nokia Malaysia, Singapura dan Brunei, Vlasta Berka, pengenalan model itu merupakan strategi Nokia membawa formula baru dalam aktiviti pengurusan perniagaan mobiliti.
''Tahun 2010 mencatatkan lebih 600 juta pengguna mengaplikasikan operasi telefon bimbit untuk tujuan mengurus perniagaan.
''Melihat keperluan kompleks ini, kami yakin Nokia E7 mampu membantu para peniaga memajukan dan membawa bisnes mereka ke peringkat tertinggi,'' katanya pada majlis perasmian media Nokia E7 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Telefon bimbit pintar itu hadir bersama fungsi kawalan inovatif yang boleh dicapai melalui dua medium iaitu papan kekunci QWERTY dan skrin sesentuh bersaiz empat inci.
Tidak cukup dengan itu, ia turut dibangunkan bersama skrin AMOLED selain implementasi teknologi ClearBlack untuk tawaran kecerahan paparan lebih sempurna.
Daripada sudut binaan luarnya, ia mengaplikasikan material premium dengan rekaan nipis dan bergaya.
Bagi tujuan pengurusan bisnes pula, Nokia E7 hadir bersama beberapa aplikasi seperti perkhidmatan mel Microsoft Share Point Server dan Microsoft Communicator Mobile untuk menyokong portal intranet dan extranet korporat secara masa nyata selain perisian untuk memapar dan mengedit dokumen seperti Word, Excel dan Power Point.
Melihat fungsi multimedia, peranti ini mempunyai keupayaan kamera beresolusi lapan megapiksel, rakaman video berkualiti definisi tinggi (HD) dan sistem bunyi Dolby Digital Plus Surround Sound.
Di samping itu, pengguna Nokia E7 turut berpeluang mengakses rangkaian lebih 10,000 aplikasi melalui platform Ovi Store seperti hiburan, perkhidmatan sosial, perniagaan, pelancongan, sukan dan berita.
Bagi kemudahan persembahan sesebuah imej, video atau pembentangan, Nokia E7 tersedia bersama slot sambungan kabel HDMI.
Sesuatu yang menarik mengenai gajet pintar ini, ia disempurnakan bersama sistem perlindungan kecurian F-Secure Anti-Theft yang boleh mengunci peranti sekali gus mengesan kedudukan dan lokasi telefon bimbit yang hilang.
Dengan segala kelebihan tersebut, Nokia E7 kini boleh diperolehi daripada pengedar-pengedar Nokia yang sah dengan tawaran harga RM1,995.
Maklumat dan spesifikasi lengkap mengenainya, sila layari laman web www.nokia.com.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: