Tuesday, April 12, 2011

Dangdut versatil - Mas Idayu


Mas Idayu


ANTARA Mas Idayu, Sheeda, Haiza atau pun Shikin, tiada seorang pun yang menyandang gelaran Ratu Dangdut selepas Amelina menyepi dari industri muzik tanah air.

Walaupun Mas Idayu dirasakan boleh mengisi tempat yang dikosongkan oleh Amelina namun selepas lebih 10 tahun, gelaran itu tetap tidak disandang oleh mana-mana penyanyi dangdut sedia ada.

Ketika bertemu Mas Idayu baru-baru ini, dia yang pernah melahirkan album berkonsep dangdut bersama syarikat rakaman Warner Music, Cintaku 100% memberitahu, jiwanya sebagai penyanyi dangdut masih utuh.

"Memang tiga album pertama saya bukan berkonsep dangdut. Album pertama yang memuatkan lagu dalam filem Gelora Cinta berkonsepkan rock.

"Album kedua, Cinta Dan Adat ialah sebuah album pop komersial, album ketiga pula, Remix 70-an bersama A. Razak Ismail.

"Apabila tampil dengan album keempat berkonsepkan dangdut, Cintaku 100%, saya telah jatuh cinta kepada irama ini.

"Itulah titik permulaan bagi saya untuk terus memperjuangkan irama dangdut biarpun ada yang memandang dangdut sebagai muzik bawahan," kata pemilik album Dunia Cinta (1997), Bolehlah Boleh (1999), Mas Idayu 1001 (2002) dan Kekal 1001 (2008).

Menurut Mas Idayu yang mesra dipanggil Ayu, dia mengakui, apabila Amelina muncul dengan album Ah! Ah! Amelina, dia pula dengan album Cintaku 100%, mereka bersaing untuk meletakkan diri di kedudukan terbaik dalam industri muzik.

Bagaimanapun, dia akur apabila gelaran Ratu Dangdut lebih memihak kepada Amelina.

Apabila Ratu Dangdut itu menghilang, ramai yang memandang ke arah Mas Idayu sebagai pengganti.

"Saya tidak pernah beranggapan diri saya sebagai pengganti Amelina atau pemegang gelaran Ratu Dangdut.

"Apa yang saya lakukan dari dulu sampai sekarang ialah terus memperjuangkan irama dangdut dengan harapan, lagu-lagu dangdut tidak terus dipinggirkan.

"Bukan mahu mendabik dada tetapi sekadar ingin memberitahu umum bahawa penyanyi-penyanyi dangdut adalah versatil.

"Bagi apa sahaja lagu kepada kami, kami boleh menyanyikannya dengan baik," katanya.

Ayu tertanya-tanya, mengapa genre yang dikatakan kelas atasan seperti jazz, blues, R&B Soul mahupun pop yang dibawa masuk dari luar, diberikan sokongan oleh stesen radio tempatan.

Bagi dirinya, tiada bezanya jika muzik dangdut dibawa dari Indonesia atau mempunyai pengaruh lagu Hindustan kerana muzik adalah universal.

"Saya berharap sangat stesen radio membuka ruang kepada semua jenis muzik atau irama seperti yang dilakukan oleh stesen berfrekuensi 180, Muzik Aktif," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: