TONGGAK...Valastro bersama sebahagian daripada pembuat keknya.
KEDAI keknya tidaklah sebesar mana malah tidak jauh berbeza daripada kedai kek yang biasa ditemui di negara ini.
Tetapi lantaran tuan punya kedai yang nyata popular di lebih 96 negara itu, kedai kecil itu sentiasa jadi tumpuan terutama mereka yang sudah berkeluarga.
Malah jika cuaca elok terutama ketika cuti umum, boleh dilihat pengunjungnya, si kecil juga dewasa, sanggup berbaris sejauh empat hingga lima blok semata-mata mahu menjenguk kedai kek pengacara rancangan realiti Cake Boss, Buddy Valastro di Washington Street, New Jersey itu.
Dalam kedinginan musim sejuk ketika lawatan wakil media ke kedainya itu pun, orang ramai yang lalu-lalang, tidak kira yang berseorangan mahupun berkeluarga, masih sempat merakamkan gambar kenangan mereka di hadapan kedai. Apatah lagi kami yang rata-rata menaiki penerbangan lebih 20 jam semata-mata mahu bertemu bos kedai kek ini.
Dia memang sibuk pagi itu. Saat kami tiba di pintu kedainya, dia masih belum habis melayan anak kecil menyiapkan kek. Sekali imbas, si kecil itu mencuri tumpuan sesiapa saja yang memandangnya.Jemari kecilnya tampak cekap menampal hiasan pada kek hitam putih itu sambil membantu menstimkan kek. Apabila Valastro memujinya, wajah si kecil yang kepalanya tidak berambut itu begitu ceria sambil tersenyum simpul.
“Kanak-kanak ini memang menyentuh hati saya. Hajatnya mahu membuat kek bersama saya,” kata Valastro memperkenalkan si kecil, bekas pesakit barah otak yang sudah menjalani rawatan dan kini dalam proses pemulihan.
Tuan punya kedai kek ini yang nama sebenarnya Bartolo Valastro Jr, 34, mungkin kelihatan tegas dalam rancangan realiti televisyen yang dikendalikannya sejak 2009 itu tetapi secara peribadi, kanak-kanak memang sangat dekat di hatinya.
“Kanak-kanak memang menakjubkan. Saya sendiri gemar bekerja dengan mereka,” katanya memulakan bicara.
Kanak-kanak mana yang tidak gemar dekat dengannya. Cara pertuturannya yang agak menghiburkan, juga sikapnya yang begitu kebapaan, memang patut pun sekiranya dia ramai peminat kecil.
“Anak-anak saya pula suka mengajuk saya, ‘I’m Buddy, I’m the cake boss’. Kanak-kanak lain pun nampaknya gemar meniru saya bercakap, mungkin mereka suka dengan loghat saya.
“Apabila anak saya bawa rakan mereka ke kedai kek ini, masing-masing kagum, seolah-olah tidak percaya dapat bertemu dengan saya,” katanya yang sangat menghargai masa berkualiti bersama keluarga.
Carlo’s Bake Shop yang dikendalikannya itu pada asalnya ditubuhkan pada 1910 di New Jersey, sebelum ia dibeli oleh keluarga Valastro pada 1963. Valastro sendiri ialah generasi keempat pembuat kek yang keturunannya berasal dari Sicily, Itali.
Kesempitan hidup memaksa keluarga ayahnya berhijrah ke Amerika Syarikat dan meluaskan bakat dalam bidang pembuatan kek yang memang sudah diwarisi sejak beberapa generasi di Itali lagi.
“Ayah saya mungkin tak membawa saya pergi menyaksikan perlawanan besbol atau seumpamanya tetapi apabila kami bersama, kami sangat serasi.
“Dia datang ke Amerika dengan keadaan hidup serba miskin tetapi dia meninggal dunia sebagai seorang yang berjaya.
“Ayah saya sering mahu membantu kehidupan orang lain dan saya pasti, dia tentu sangat berbangga dengan apa yang dikecapi kini, begitu juga ibu saya yang selama ini menjadi pendorong kuat dalam kerjaya saya,” kata bapa empat cahaya mata ini yang menyambut kelahiran anak lelaki bongsunya pada pertengahan Februari lalu.
Dia akui tidak perlu berfikir panjang soal masa depan semasa dia remaja kerana impian dan matlamat kehidupannya sentiasa tertumpu kepada kedai kek berkenaan. Saat itu, dia sudah tahu dia memang mahu menjadi pembuat kek.
“Semasa berusia 17 tahun, saya terpaksa berhenti sekolah menengah untuk meneruskan perniagaan apabila ayah saya (Bartolo ‘Buddy’ Valastro) meninggal dunia.
“Ketika itu, saya banyak melakukan percubaan dan kesilapan, keadaan memang sukar. Segalanya saya lakukan dengan tekad dan keazaman yang tak pernah saya rasai sebelum itu.
“Apapun, saya fikir tangan saya ini memang bertuah. Buat apa saja dengan kek, pasti menjadi. Anak saya yang berusia enam tahun juga punya tangan seperti saya,” katanya sambil melempar senyum.
Ada nada terharu apabila dia bercerita mengenai keluarga namun bicaranya yang rancak itu tetap diselang-seli dengan tawa kecil, juga mimik wajahnya yang menghiburkan.
Ruang restoran tempat pertemuannya dengan wakil media itu turut meriah apabila Valastro yang memang banyak benar ideanya semasa sesi sembang itu sesekali menyelitkan jawapan yang tidak kurang lucu.
“Saya memang kelakar orangnya, sedikit gila-gila. Keluarga saya juga begitu,” katanya yang mengakui, meskipun berbakat menghasilkan pelbagai jenis dan hiasan kek, dia tidak pandai melukis.
Lantaran ilham gila-gila itulah, hasil buatan keknya daripada cara pembuatan kek tradisional Itali itu dianggap unik biarpun dia cuma menggambarkan kek diingininya dalam fikiran sebelum segalanya diluahkan pada kek.
“Kek paling besar dihasilkan ialah kek berbentuk kereta lumba Nascar seberat 20,000 paun yang perlukan tenaga kerja seramai 56 orang untuk disiapkan dalam masa empat hari.
“Tetapi kek paling mencabar bagi saya ialah kek yang mempunyai bentuk figura. Apa yang mencabar adalah menghasilkan pergerakan figura itu pada kek supaya ia kelihatan benar-benar hidup,” katanya menganggap kek paling gila ciptaannya pula ialah kek berbentuk mangkuk tandas.
Mengakui gemar menghasilkan kek yang tidak kelihatan seperti kek, Valastro juga pernah menyempurnakan kek untuk selebriti Hollywood termasuk Miley Sirus, Rihanna, Oprah dan Britney Spears.
Dia dan kedai keknya, Carlo’s Bake Shop juga pernah muncul dalam rancangan The Opray Winfrey Show, Good Morning America dan Rachael Ray.
Inspirasinya menghasilkan kek juga pelbagai terutama ilham daripada persekitaran. Pernah dia membeli bunga segar semata-mata mahu mengenali kelopak bunga bagi melihat kedalaman warna dan tekstur sebenar bunga untuk diterjemahkan pada keknya.
Sesiapa saja boleh menghasilkan kek tetapi bagi dirinya, kesempurnaan kek terletak pada dua aspek iaitu 60 peratus membabitkan rasa manakala 40 peratus lagi pada hiasan kek.
Betapa gila-gila dan unik sekalipun hasil kerja tangannya, harapan pembuat kek ini supaya usahanya mampu menyentuh hati kehidupan insan lain terutama mereka yang memerlukan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: