Yusry, Lisa, Maya Karin dan Kilafairy.
SEJAK malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010, kelibat pengarah filem yang juga ahli KRU< YUsry Abdul Halim dengan pelakon, Lisa Surihani sudah mula diperhatikan di sudut kiri pentas utama, terutama ketika acara siaran langsung itu berhenti seketika untuk memberi laluan kepada iklan komersial.Sejak itu, nama dua artis itu mula jadi bualan di kalangan wartrawan hiburan yang musykil dan mengesyaki mereka berdua mungkin mempunyai hubungan istimewa kerana gelagat mereka begitu mesra dan bak pasangan kekasih. Hal sama berlaku apabila Yusry dan Lisa kelihatan bersama dalam majlis pratonton filem Seru yang diadakan di Wangsa Walk, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Turut dilaporkan Yusry dilihat memegang erat tangan Lisa yang mungkin ketakutan apabila menonton satu daripada babak yang meremangkan bulu roma dalam filem seram itu. Ironinya, andai kata mereka bercinta sekalipun, tidak salah kerana masing-masing masih solo.
Sebelum ini, Yusry juga pernah dikaitkan dengan Maya Karin dan pelakon baru yang juga anak kepada penyanyi Rohana Jalil, Kilafairy.
Lisa juga sebelum ini pernah digosipkan ada hubungan istimewa dengan aktor, Shaheizy Sam dan Farid Kamil.
B*POP cuba mendapatkan penjelasan dua artis ini.
Yusry ketika dihubungi menafikan mereka memang sudah lama kenal. Bagaimanapun tanpa berselindung Yusry berkata, dia mula berjumpa Lisa sejak dua bulan lalu.
“Dengan Maya pun sebelum ini, saya tidak pernah nafikan yang kami berkawan. Cuma isu pegang tangan di sebuah pusat membeli belah itu memang tidak betul. Kalau mahu dibandingkan Maya, saya boleh katakan lebih rapat dengan Lisa. Walaupun berbeza jarak umur, Lisa tidak kebudak-budakan.
“Barangkali, aliran pemikiran kami sama. Sebab itu, saya boleh bersembang, melepak bersama dan bercerita dengannya. Pendek kata kami boleh serasi. Saya pun kenal dengan ibunya dan tidak ada masalah berkawan dengan Lisa,” kata pengarah filem Hikayat Merong Mahawangsa itu.
Ditanya mengenai jodoh, Yusry yang sudah lama menduda seelpas bercerai dengan aktres, Erra Fazira tidak melihat persoalan itu sebagai satu masalah atau desakan buat dirinya ketika ini.
“Dalam hal ini, saya hanya mengikut aliran. Kita tidak boleh terburu-buru dalam soal hati. Kalau saya betul-betul terdesak dalam hal ini, mungkin sudah lama saya mencari pengganti dengan segera,” katanya sambil memberitahu beberapa deretan filem terbitan KRU Studios seperti Karak, 29 Februari, My Kingdom dan Cinta Kura-Kura yang bakal dipersembahkan tidak lama lagi termasuk yang masih di peringkat praproduksi, memerlukan perhatian daripadanya.
Pada masa sama, Yusry menafikan sekeras-kerasnya gosip yang timbul antaranya dengan Kilafairy. Akui Yusry, hubungannya dengan pelakon filem Karak itu tidak lebih daripada hubungan profesional dan mereka juga tidak pernah keluar ‘dating’.
“Gosip saya dengannya (Kilafairy) memang tidak berasas. Perkenalan kami hanya terbatas di set penggambaran filem Karak. Saya dan kru filem Karak beramai-ramai pernah menghadiri rumah terbuka anjuran keluarganya tahun lalu,” kata Yusry.
Sementara itu, Lisa ketika dihubungi pula mengakui dia hadir ke majlis pratonton filem kerana mendapat undangan daripada pihak Tayangan Unggul.
Dia akui memang ‘takut’ kalau menonton filem seram.
“Lisa memang seorang yang penakut. Tambah pula kalau tengok cerita hantu. Jadi sesiapa saja yang berada dekat atau bersebelahan pasti akan menjadi mangsa untuk Lisa berpaut mahupun berlindung. Hal sama juga terjadi ketika Lisa duduk bersebelahan dengan Yusry,” katanya.
Jelas Pelakon Filem Wanita Popular ABPBH 2010 itu, tiada apa yang cuba disembunyikan antaranya dengan Yusry kerana masing-masing sudah lama kenal. Dengan status solo yang dimiliki, baik Lisa mahupun Yusry bebas berkawan dengan sesiapapun.
“Hubungan kami atas dasar kawan. Yusry seorang kawan dan lelaki yang bijak, sopan serta mempunyai visi dan misi tinggi. Kalau ada rezeki dan peluang, Lisa juga nak berlakon di bawah arahan dan terbitan KRU Studios. Bukan saja KRU Studios, dengan syarikat produksi lain pun Lisa berharap mempunyai kesempatan untuk bekerjasama.
“Bagi Lisa, bekerja dengan pelbagai produksi ini membolehkan kita menimba pengalaman dengan lebih luas. Selain Metrowealth (MIG), Lisa pernah bekerjasama dengan Tarantella Pictures menerusi Lagenda Budak Setan,” katanya yang turut muncul sebagai penampilan istimewa dan filem Lagenda Budak Setan 2: Katerina dan menjalani penggambaran sehari di Langkawi untuk babak imbas kembali.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: