Monday, April 11, 2011

Anuar Zain bagaikan gula


ANUAR ZAIN tidak pernah mengecewakan peminatnya dengan kredibiliti sebagai penyanyi yang disegani.


SETIAP kali muncul minggu meraikan setiausaha, nama penyanyi lelaki tersohor negara ini pasti menjadi rebutan. Justeru, buat julung-julung kalinya, PNB Darby Park yang sudah enam kali gagal memiliki Anuar Zain, akhirnya berpeluang mendapatkan penyanyi bersuara lunak itu untuk muncul menerusi Amazing Anuar Zain April’s Affair yang berlangsung di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara pada hari Rabu lalu.

Persembahan yang berlangsung hampir satu jam setengah itu sudah pasti bakal terpahat sebagai memori indah dan akan tersemat di sanubari lebih 1,000 penonton yang menghadiri minggu setiausaha tersebut.

Mengenakan sut serba putih dan memakai dasi rona lavender, kemunculan Anuar bukan sahaja memukau hadirin yang hadir, malah turut mengundang jeritan dan laungan nama penyanyi pujaan ramai itu.

Mula mendendangkan lagu pertama Kau Bunga Cintaku, vokalnya yang lunak berjaya menggoncang jiwa tetamu yang hadir dan lontaran senyumannya pula bisa mencairkan hati sesiapa sahaja yang melihat.

Lebih mencuit hati, penyanyi berkarisma itu turut diibaratkan sebagai ‘gula’ oleh pengacara majlis iaitu aktor Fahrin Ahmad apabila setiap langkah yang diatur, pasti diekori peminat.

Ada juga yang sanggup meninggalkan meja makan dan menanti di depan pentas semata-mata untuk merakam aksi dan mengambil gambar penyanyi bersuara romantik itu.

Komunikasi Anuar dengan tetamu yang hadir juga tidak mengecewakan dan pada satu-satu ketika, adik kepada penyanyi Ziana Zain itu dilihat mendekati khalayak.

“Saya akan turun, tetapi janji jangan buat apa-apa. Kita salam sahaja,” tutur Anuar pada satu ketika sebelum dia turun daripada pentas untuk bersalaman dengan penonton yang hadir.


KATA Anuar, peminat hanya boleh bersalaman dengannya sahaja jika mahu dia turun ke meja makan.


Sebanyak 12 lagu hit yang diperdengarkan daripada album-album miliknya, termasuk, Keabadian Cinta, Permata, Ku Berjanji Kerana Cinta, Bila Resah, Ketulusan Hati, One Day In Your Life dan Bila Resah sebelum saat kemuncak persembahan tiba sejurus Anuar melantunkan lagu hit terbarunya iaitu Sedetik Lebih.

Usai melantunkan sebanyak 12 buah lagu seperti yang dijanjikan, Anuar sekali lagi muncul di atas pentas atas permintaan ramai dengan mendendangkan lagu Lelaki Ini.

Semasa ditemui pada sidang akhbar, Anuar mengakui cukup seronok dengan aksi penonton yang baginya cukup menghiburkan dan sporting, namun mengakui terbatas daripada segi pergerakan.

“Pada saya, setiap persembahan kena seronok dan penonton yang hadir semuanya menghiburkan.

“Saya akui tidak bergerak bebas kerana seperti yang semua tahu, saya tidak mahu insiden lama berulang. Nanti timbul pula pelbagai cerita,” luahnya sambil memberitahu berada di atas pentas membuatkan dia lebih stabil untuk menyanyi dan boleh dilihat oleh khalayak.

Tambah Anuar, dia lebih selesa untuk tidak terikat dengan perancangan semasa persembahan kerana baginya, cara spontan adalah lebih baik dan detik itu akan menjadi satu elemen yang bermakna buat dia dan penonton yang hadir.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: