Monday, April 11, 2011

Anuar oh Anuar!

pix_gal0
Jejaka Melayu punya aura luar biasa

BERULANG kali Anuar Zain merayu, meminta peminatnya supaya jangan memeluk dan paling penting dia tidak mahu dicium apabila turun dari pentas.

Penyanyi ini tidak kisah kalau ada yang bersalaman atau bergambar bersamanya, tetapi berasa kurang selesa, malahan dianggap tidak manis kalau ada peminat menciumnya kerana ia boleh mengundang salah faham daripada pihak lain.Namun, Anuar hanya boleh merayu dan meminta saja. Sebaik sahaja turun di pentas, dia terus dikerumuni oleh peminatnya. Ada yang tidak teragak-agak memeluknya. Malahan, ada peminat yang tidak segan silu menciumnya.
Itulah yang berlaku ketika Anuar mengadakan persembahan selama dua jam sempena Minggu Setiausaha di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara, di pinggir ibu negara, minggu lalu.

Tidak dinafikan persembahan penyanyi ini memang meninggalkan memori indah kepada kira-kira 1,000 peminatnya yang terdiri daripada setiausaha, majikan, wakil media dan syarikat korporat.

Persembahan istimewa yang dinamakan Amazingly Anuar Zain April’s Affair, menyaksikan Anuar tampil melangkah ke pentas persembahan dihiasi dengan kombinasi rona-rona merah jambu, putih dan lavender, warna tema yang dipilih itu amat bersesuaian untuk mengaitkan keakraban hubungan penyanyi yang kini popular menerusi lagu Sedetik Lebih bersama peminatnya.

Sememangnya kemunculan Anuar sangat dinantikan-nantikan, sebaik siap menikmati hidangan tengah hari, Anuar muncul dari belakang pentas segak dengan sut serba putih dan bow tie berwarna ungu.
Terpekik dan terlolong peminat sudah menjadi kebiasaan di setiap kemunculan Anuar di pentas, maka tidak hairanlah memang jejaka Melayu yang beraura luar biasa dan mampu melemah jiwa setiap wanita.

Bukan saja di kalangan wanita Melayu yang terpesona melihatnya, malah wanita berbangsa Cina, India dan Serani yang hadir menyaksikan persembahan Anuar turut tidak melepaskan peluang mengambil gambarnya di pentas dan skrin.

Daripada 11 koleksi lagu yang disampaikannya itu, sudah tentu Anuar memilih lagu popular yang sering menjadi siulan seperti Sesuci Cintamu, Pandangan Pertama, Permata, Mungkin, Keabadian Cinta, Bila Resah, Ketulusan Hati dan Sedetik Lebih.

Resah apabila dicium

Seperti mengadakan persembahan Minggu Setiausaha sebelum ini, penyanyi itu sering dikaitkan dengan kontroversi di peluk malah rela dicium oleh peminat, namun hakikatnya itu semua bukan atas kehendaknya.

“Saya sering terpalit dengan kontroversi di peluk dan dicium oleh peminat dan kali ini kalau boleh tidaklah berlaku lagi. Kalau semua boleh berjanji saya akan turun menemui anda dari meja ke meja dan kita boleh bersalaman saja,” katanya sebelum menuruni pentas sambil menyanyikan lagu Mungkin yang menjadi lagi latar filem Cinta arahan Khabir Bahtia.

Namun janji peminat memang hanya tinggal janji. Sebaik Anuar berada di tengah-tengah dewan, dia diserbu dan dikelilingi peminat yang berebut-rebut untuk mengambil gambar. Anuar terpaksa dikepung oleh pengawal. Namun dalam keadaan yang masih kelam-kabut itu, Anuar tidak dapat lagi mengelak apabila kejadian sama di cium oleh peminat tetap berlaku.

Selepas setengah daripada persembahannya, Anuar meminta izin kepada peminat untuk membuka sut yang dipakainya kerana terlalu panas. Peminat mula menjerit-jerit bila saja Anuar membuka baju dan hanya mengenakan baju kemeja dalam. Dengan sifat manjanya bersama peminat, Anuar menyuruh peminatnya sendiri melipat lengan baju agar memudahkan dirinya bergerak.

Sudah tentu sepanjang dua jam persembahan berlangsung, peminat ternyata puas dengan layanan mesra Anuar, malah sebelum berakhirnya persembahannya, Anuar merakamkan aksi peminat dari atas pentas menggunakan telefon bimbitnya sebagai kenangan peribadinya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: