Thursday, April 7, 2011

Amal Tesco untuk anak Chow Kit


WAKTU kualiti para pegawai kanan Tesco di Pusat Aktiviti Kanak-Kanak Chow Kit diluangkan untuk bermesra dengan penghuni Rumah Nur Salam.


MELUPAKAN sebentar dunia korporat mereka, seramai 10 orang pegawai pengurusan kanan Tesco Stores (M) Sdn. Bhd. sanggup turun padang untuk mengecat, membaiki kerosakan kecil dan membersihkan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak di Chow Kit, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tjeerd Jegen bersama sembilan yang lain, projek komuniti itu dimulakan pada pukul 11 pagi. Mereka di bahagikan kerja kepada dua kumpulan iaitu satu kumpulan membuat kerja-kerja mengecat dan bertukang manakala satu lagi membersihkan bilik-bilik penginapan.

Pusat Aktiviti kanak-Kanak Chow Kit adalah pusat aktiviti 24 jam seliaan Rumah Nur Salam yang menawarkan persekitaran selamat, sihat dan penyayang untuk kanak-kanak jalanan serta terbiar di bawah usia 18 tahun.

“Mengutamakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami adalah sama pentingnya dengan mengejar keuntungan dalam jualan. Kami juga ingin mengingatkan kepada golongan yang berkemampuan untuk membantu dan menyokong kanak-kanak yang kurang bernasib baik ini,” kata Jegen ketika ditemui di pusat kebajikan tersebut.

Selain Jegen, sembilan lagi pegawai yang terlibat ialah Ketua Pegawai Operasi, Tim Golding; Pengarah Perhubungan Korporat dan Perundangan, Azlam Shah Alias; Pengarah Sumber Manusia, Norfaiezah Arshad; Pengarah Kewangan, Sean Wilkins; Pengarah Pemasaran, Neil Adams; dan Pengarah Mall, Vivian Yap.

Tidak ketinggalan menyumbang tenaga ialah Pengarah Hartanah, Shireen Iqbal; Pengarah Komersial Bahagian Makanan, Jason Godley; dan Pengarah Komersial Bahagian Pakaian, Hem Patel.

Selain kerja amal itu, Tesco turut mengadakan Tesco Walk for Kids 2011 yang diadakan di Putrajaya Mac lalu untuk mengumpul dana Tabung Rumah Nur Salam.

Pusat perlindungan itu menerima sebahagian bantuan dana untuk operasinya daripada syarikat multinasional tersebut.

Pendidikan

Mereka yang berdaftar di pusat jagaan tersebut bukan sahaja diberikan tempat tinggal dan makanan tetapi juga pendidikan, penjagaan kesihatan dan aktiviti rekreasi.

Pusat itu menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran seperti di sekolah bagi lebih 700 orang kanak-kanak yang berdaftar.

Dalam pada itu, selain mengecat dan membersihkan bilik penginapan serta kelas belajar, Tesco juga memberi keperluan lain seperti pembersih vakum, mop lantai serta menderma tilam baru bagi memberi keselesaan tidur kanak-kanak itu.

Sebanyak RM20,000 telah dikeluarkan Tesco bagi membeli cat, susu formula, buku dan kelengkapan lain.

Tjeerd juga berkata, mereka akan mengupah kontraktor untuk menyiapkan kerja-kerja pertukangan bagi bahagian premis yang mengalami kerosakan teruk termasuk masalah teknikal lain yang melibatkan wayar serta kabel elektrik.

Waktu melepas lelah selepas selesai sebahagian tugas mengecat pula digunakan sebaik-baiknya untuk berehat sambil melayan kanak-kanak di situ membaca buku dan bermain kuiz.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Chow Kit, Syirin Junisya berkata, kos operasi pusat kanak-kanak itu berjumlah RM30,000 setiap bulan.

“Kami ada staf kami sendiri, pekerja sukarela, kaunselor dan juga perbelanjaan harian yang lain. Tesco telah memberikan kami bantuan yang sangat diperlukan dan kami bersyukur serta berterima kasih kepada mereka,” katanya.

Pusat kanak-kanak itu sebelum ini bermula dengan hanya menyediakan perkhidmatan jagaan harian oleh Yayasan Salam.

Yayasan itu kemudian dinaik taraf dari pusat jagaan kanak-kanak harian ke pusat jagaan sepenuh masa bagi memenuhi permintaan ramai serta pertambahan bilangan kanak-kanak yang dihantar ke sana.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: