Tuesday, February 8, 2011

Zul lari daripada antagonis




KREDIBILITINYA membawa watak antagonis mampu menggoncang jiwa penonton. Biarpun ia seringkali mengundang kebencian, namun Zul Huzaimy Marzuki atau ringkas disapa sebagai Zul mengakui akan terbit rasa puas setiap kali dirinya disuakan watak sedemikian.

Tidak hanya bertongkatkan wajah kacak serta bakat lakonan yang hebat, pelakon berusia 32 tahun itu dilihat mempunyai pengetahuan luas dalam dunia lakonan berdasarkan pengalaman lakonan yang dikutip sejak bergelar anak seni lebih kurang 11 tahun yang lalu.

Bermula sebagai pelakon teater ketika masih menuntut di Akademi Seni Kebangsaan (kini dikenali sebagai Aswara), pelakon berkarisma itu mula berjinak-jinak dengan lakonan drama dan filem sekitar tahun 2000 dan 2001.

"Saya mula berlakon dalam teater sekitar tahun 1993 dan pada waktu itu, sekadar untuk suka-suka sahaja. Selepas teater, saya menjadi pengacara untuk televisyen pendidikan.

"Tidak lama selepas itu, saya menjadi pengacara untuk program Remaja di bawah kelolaan Radio Televisyen Malaysia (RTM). Sekitar tahun 2002, saya diberi kepercayaan untuk melakonkan watak pembantu dalam filem Embun dan segala-galanya bermula selepas itu," tuturnya ketika ditemui semasa sesi fotografi di Kosmo! baru-baru ini.

Sehingga kini, Zul sudah membintangi kira-kira 10 buah filem antaranya Anak Halal, Remp-It, Wayang, Lembing Awang Pulang ke Dayang dan yang terbaru ialah filem bergenre drama thriller, Haq yang sudah mula menjengah pawagam seluruh negara termasuk Brunei pada 27 Januari lalu.

Haq di mata Zul

Berbicara lanjut tentang Haq, bapa kepada seorang cahaya mata itu memberitahu, pengalaman berlakon di bawah KasehDia Pictures buat julung kalinya antara yang terbaik pernah dilalui.

"Saya memegang watak utama (superhero) sebagai Haq, yang dianugerahkan kuasa istimewa seperti ayahnya. Watak itu memerlukan kekuatan dalaman yang lebih daripada luaran. Watak tersebut pada awalnya memang sukar untuk dibawa kerana lazimnya saya hanya bermain dengan fizikal, tetapi dalam Haq, ia lebih kepada kebatinan.

"Lakonan saya terhad kerana perlu menjaga sisi batin itu. Ia adalah sesuatu yang dituntut dalam watak Haq. Jika saya tidak berbuat demikian, hilanglah kebatinan itu," jelas pelakon kelahiran Grik, Perak itu.


ZUL HUZAIMY puas membawa watak Haq.


Katanya lagi, sewaktu menjalankan kajian mengenai wataknya itu, dia banyak bertanya hal yang berkaitan dengan batin.

"Saya banyak bertanya mengenai kebatinan yang perlu ada untuk menjayakan watak. Kalau watak jahat, memang senang. Boleh buat apa sahaja yang dimahukan, tetapi watak saya ada pantang larangnya. Saya tidak boleh melebih-lebih kerana jika itu berlaku, nampak seolah-olah tidak jujur dengan batin. Kalau tidak jujur dengan batin, hilanglah batin itu.

"Pada saya, apabila memainkan watak yang istimewa, kita tidak boleh melakukan pergerakan yang keterlaluan ketika babak berlawan kerana bimbang nanti nampak macam filem Hong Kong," jelasnya panjang lebar.

Turut membintangi Haq ialah Ady Putra sebagai Bad yang cemburu dengan Haq dan ingin memiliki kuasa sepertinya. Haq diserikan lagi dengan Nanu Baharudin sebagai Zahra yang keliru antara cintanya pada Bad dan Haq. Raja Farah (Aina) pada masa yang sama menaruh hati kepada Haq, tetapi diperdaya oleh Bad untuk menghancurkan Haq.

Mengakui Haq mempunyai elemen lain daripada yang lain, Zul menyifatkan filem tersebut sebagai sebuah filem Melayu yang diberi suntikan baru, namun, pada masa yang sama masih mengekalkan adat dan tatasusila Melayu yang berteraskan nilai-nilai ketimuran.

Selain itu, Zul turut kagum dengan sentuhan pengarah bersama naskhah tersebut iaitu CL Hor yang disifatkannya sebagai seorang pengarah yang bijak dan terlalu teliti dalam setiap pergerakan para pelakonnya.

"Hor gemar mencungkil sisi baru seseorang pelakon sehingga pada satu ketika itu saya termenung sekejap. Dia akan minta kita buat perkara yang kita tidak boleh buat untuk menampakkan kelainan. Dia tidak mahu lakonan yang biasa.

"Meskipun dia berbangsa Cina, cara dia mengangkat naskhah ini untuk kelihatan seperti filem antarabangsa sangat hebat. Di sebalik itu, ciri-ciri kemelayuan masih terus dikekalkan," luahnya.

Kebajikan pelakon

Mengulas tentang layanan yang diberikan sepanjang menjalani penggambaran filem Haq, Zul melahirkan rasa kagum dengan produksi tersebut yang amat menitikberatkan kebajikan pelakon-pelakonnya.


ZUL HUZAIMY memang terkenal dengan variasi watak jahat.


"Memang antara yang terbaik. Saya juga cukup kagum apabila pengarah turut menjaga karakter yang ada dalam naskhah itu kerana sebelum ini, ada sesetengah produksi yang mungkin terlepas pandang soal itu.

"Mereka bukan daripada pengkarya filem, tetapi mereka memberikan layanan yang selayaknya kepada semua orang.

"Apa yang paling mengujakan saya ialah pembikinan filem itu berlangsung dalam keadaan yang sangat berdisiplin. Bila penggambaran sedang dijalankan, tiada pun suara-suara lain yang akan kita dengar selain daripada suara pengarah," katanya lagi.

Barangkali sudah puas membicarakan naskhah Haq, Zul mendedahkan satu lagi fasa bakat yang dimilikinya iaitu penulisan skrip dan pengarahan

Katanya, dia akan cuba untuk mempelbagaikan bakat yang dimiliki dalam kepompong dunia lakonan dan atas sebab itu, dia mengambil pendekatan untuk cuba menghasilkan skrip dan mengarah telefilem.

"Setakat ini, saya sudah menghasilkan tiga skrip dan telefilem iaitu Rambong, Unjul Nak Jadi Orang dan Inang Di Bumi Kerbau.

"Saya juga sangat aktif dalam drama, jadi apa salahnya saya cuba benda yang baru," jelasnya.

Namun begitu, Zul menekankan bahawa fokus utamanya dalam industri hiburan masih lebih cenderung ke arah bidang lakonan dan dia akan terus-terusan berlakon sehingga bila-bila.

"Saya akan terus berlakon sampai bila-bila tidak kira filem atau drama dan akan terus mencuba untuk melakukan sehabis baik selagi khidmat saya diperlukan," tutur pelakon itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: