![]() |
| Zainai Mohamed (kiri) bersama Masahiko Horie di Pengkalan Chepa, baru-baru ini. |
KOTA BHARU 1 Feb. - Penubuhan Universiti Teknologi Antarabangsa Jepun-Malaysia (MJIUT) yang dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan menjadi realiti apabila ia beroperasi secara rasmi September ini.
Duta Jepun ke Malaysia, Masahiko Horie berkata, universiti yang berpusat di Kuala Lumpur itu akan menggunakan kaedah pembelajaran seperti yang digunakan di universiti-universiti terkemuka Jepun dan bakal menjadi pusat pengajian kejuruteraan dan teknologi utama di rantau ini.
Katanya, sebuah konsortium yang dianggotai 15 universiti kejuruteraan di negara itu sudah bersetuju menghantar tenaga pengajar terbaik untuk mengajar di MJIUT dan lima lagi universiti lain akan turut serta dalam masa terdekat.
Beliau berkata, kumpulan profesor dari Jepun itu bakal menjadi tulang belakang kepada sistem akademik MJIUT bagi memastikan kualiti pengajian di situ yang menggunakan bahasa pengantar Inggeris dan Jepun berada di tahap tinggi.
"Universiti ini akan menawarkan tempat dalam jurusan kejenteraan, kimia, pentadbiran kejuruteraan dan bidang teknologi kejuruteraan yang berkait dengan alam sekitar.
"Ini seiring dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu melihat MJIUT membuka lembaran baru dalam bidang kejuruteraan di Malaysia sekali gus menjadi pusat pengajian kelas pertama di rantau Asia yang akan menarik minat pelajar terbaik dari seluruh dunia.
"Sistem pembelajaran di sini adalah sama dengan apa yang ditawarkan di universiti terkemuka Jepun dan pelajar akan didedahkan dengan cara pemikiran orang Jepun dan mendapat manfaat daripada kaedah pengajian yang menekankan hubungan rapat dengan pensyarah," katanya.
Horie berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama bertajuk Membina Jenama Negara yang Teguh - Inovasi Jepun di hadapan lebih 500 kakitangan dan pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini, baru-baru ini.
Hadir sama Naib Canselor UMK, Prof. Datuk Ir. Dr. Zainai Mohamed.
Horie berkata, MJIUT akan menerima kemasukan pelajar seramai 50 orang pada peringkat permulaan dan bilangannya dijangka mencapai angka 3,000 dalam tempoh tujuh tahun.
Beliau berkata, jalinan kerjasama dua negara dalam penubuhan MJIUT adalah kesinambungan daripada hubungan erat yang terjalin sejak Dasar Pandang Ke Timur dilancarkan oleh kerajaan Malaysia kira-kira 30 tahun lalu.
Katanya, menerusi dasar itu, setiap tahun lebih 350 pelajar dari negara ini dihantar untuk melanjutkan pengajian ke 50 buah universiti di Jepun dan ia terbukti telah memberi sumbangan besar kepada kemajuan negara dalam bidang teknologi dan sains.
"Hubungan erat ini juga terjalin secara langsung antara universiti tempatan dengan universiti Jepun menerusi perkongsian kemajuan teknologi dan kepakaran ahli akademik.
"Contohnya, seperti kerjasama yang sedia terjalin hari ini antara Universiti Ritsu Meikan dengan UMK dan juga Universiti Meiji dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM)," katanya.
Kunjungan Horie itu adalah lawatan rasmi kedua beliau ke UMK setelah kali pertama menjejakkan kaki ke kampus sementara universiti itu di Pengkalan Chepa tiga tahun lalu.
Beliau turut memuji semangat yang ditunjukkan pelajar dan kakitangan UMK dalam membangunkan sebuah universiti baru dan berharap ia akan terus ditingkatkan bukan sahaja dari sudut kuantiti tetapi juga kualiti.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: