![]() |
| WAKIL Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Kakitangan Curtin Sarawak menyampaikan sumbangan kepada Pengetua Pusat Jagaan Sunflower Miri, Liza Chai (tengah) di Miri, baru-baru ini. |
MIRI 1 Feb. - Kakitangan Universiti Curtin Sarawak (Curtin Sarawak) menyerlahkan sikap prihatin mereka apabila menyerahkan sumbangan makanan kepada beberapa rumah kebajikan dan keluarga miskin di sekitar bahagian ini.
Penerima sumbangan makanan itu terdiri daripada Kompleks Kebajikan Hamidah Yakup di Bandar Baru Permaijaya, Pusat Jagaan Sunflower di Jalan Bulan Sabit dan keluarga miskin di Tudan.
Penyerahan yang berlangsung baru-baru ini itu diilhamkan oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Kakitangan (HEP&K) melalui kempen menderma semasa Hari Terbuka Curtin 2010, baru-baru ini.
Pejabat HEP&K Curtin Sarawak dalam satu kenyataan berkata, kempen menderma yang dianjurkan pihaknya mendapat sokongan padu daripada semua kakitangan jabatan lain.
"Kempen ini menunjukkan semangat prihatin dan mahu berkhidmat kepada komuniti tempatan di kalangan komuniti kampus," katanya.
Seorang kaunselor di Pejabat HEP&K, Kokilah Manogaran pula berkata, walaupun jabatan itu baru ditubuhkan, ia bukan penghalang untuk mengorak langkah membantu golongan yang memerlukan.
Jelas beliau, ia merupakan satu khidmat bakti kepada masyarakat setempat walaupun tugas utama jabatan berkenaan adalah menjaga kebajikan warga kampus.
"Pada dasarnya jabatan kami ditubuhkan dengan tujuan memenuhi keperluan warga kampus yang kian meningkat seperti memberi bantuan kaunseling, perkhidmatan kesihatan, mengendalikan aduan pelajar di samping kaunseling dalam memilih kerjaya," katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: