Friday, February 4, 2011

UniMAP bangunkan sistem HRMS


Nasrudin Abd. Shukor menunjukkan sistem pemantauan berpusat kampus UniMAP yang dibangunkan oleh pegawai dan kakitangan universiti terbabit.


KEPAYAHAN dan kerumitan mengurus sesuatu seringkali nya menjadikan kita kreatif untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Justeru, kita akan mencari jalan sama ada menerbitkan sesuatu yang baru, mengubahsuai yang sedia ada atau memindah sesuatu yang telah wujud dan harapan wujudlah satu kaedah atau produk baru yang kita sebut pada inovasi pada hari ini.

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang merupakan sebuah universiti awam baru merupakan satu daripada institusi pengajian tinggi yang berdiri gah di sebalik pembangunanpembangunan baru yang sedang dijalankan.

Ketika ini, kampus tetap universiti sedang dibangunkan dan sementara menunggu pembangunan itu sempurna, banyak fakulti dan jabatan akademik dan bukan akademik beroperasi di beberapa kawasan berbeza di Perlis.

Beroperasi di kawasan yang dianggap 'bertaburan' ini menimbulkan sedikit masalah khususnya berkaitan komunikasi selain pengurusan sumber manusianya.

Justeru, kerumitan itu telah mendorong satu usaha penyelidikan untuk mencari jalan mengurus sumber manusia dengan lebih cekap dan berkesan.

Pada 2006, Bahagian Pembangunan Sistem Maklumat (MIS) Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi ICT telah membangunkan satu sistem yang dinamakan Sistem Pengurusan Sumber Manusia (HRMS) yang merupakan pengurusan berasaskan web dan menggunakan teknologi Java (JSP).

Idea pembangunan sistem tersebut yang siap setahun kemudian, dicetuskan oleh Jabatan Pendaftar bersama Pusat Teknologi Maklumat Dan Komunikasi - ICT bertujuan melancarkan proses pengurusan dan pentadbiran di bahagian Sumber Manusia.

Menurut Pegawai Teknologi Maklumat yang terlibat dalam pembangunan sistem tersebut, Nor Azima Abu Seman, HRMS tersebut sangat berguna untuk mengurus kira-kira 1,500 kakitangan UniMAP.

''Apa yang penting, pembangunan sistem ini mempunyai lapan modul yang melibatkan proses pengurusan dan pentadbiran Jabatan Pendaftar, Unit Latihan dan Jabatan Canselori," ujarnya ketika ditemui di kampus UniMAP, Perlis baru-baru ini.

Sistem yang berkonsepkan 'N-tier' iaitu konsep yang menggabungkan pelayan pangkalan data, pelayan applikasi/web dan komputer pengguna yang berasaskan web boleh digunakan untuk pelbagai platform sistem pengoperasian dan sistem ini menggunakan pangkalan data Oracle 10g.

Menurut Pegawai Pengkomersilan Pusat ICT, HRMS Azamin Zainol Abidin, kedudukan lokasi UniMAP memerlukan sistem seumpama itu yang membolehkan pengurusan sumber manusia dilakukan dengan lebih cekap.

Modul sistem tersebut meliputi pengurusan cuti, penilaian tahap kecekapan, latihan, , laporan prestasi tahunan, pengambilan staf , perisytiharan harta, pengesahan jawatan dan buku rekod perkhidmatan.

Di bawah model pengambilan staf sebagai contoh, ia menyediakan permohonan jawatan kosong secara on-line, dan menyediakan kemudahan pelantikan kakitangan baru dengan pengiraan kelayakan cuti, pelantikan jawatan baru dan juga pelantikan bersama.

Modul latihan pula sebagai contoh, menyediakan kemudahan permohonan membuat latihan secara on-line, paparan kehadiran latihan yang pernah dijalani oleh kakitangan mengikut format yang ditetapkan.

Bagi modul pengurusan cuti pula, ia menyediakan kemudahan permohonan cuti, tahunan, cuti sakit, cuti pampasan dan sebagainya boleh dibuat secara on-line.

Dalam pada itu, menurut Pengarah Pusat Teknologi Maklumat Dan Komunikasi - ICT UniMAP, Nasrudin Abd. Shukor, berdasarkan system yang sama, UniMAP juga memperkenalkan Sistem pengurusan akademik (AMIS) 2.0 yang digunakan untuk pentadbiran universiti mengurus hal ehwal akademik dengan lebih cekap.

Versi asal sistem berkenaan dibangunkan pada 2003 yang juga menggunakan teknologi Java.

Sistem tersebut yang dibangunkan itu merekodkan semua maklumat pelajar ijazah pertama dan diploma bermula daripada proses kemasukan pelajar sehinggalah mereka bergraduat, sebelum dimasukkan ke arkib sistem alumni.

Ini bermakna rekod semua pelajar tersimpan didalam pangkalan data untuk kegunaan universiti bermula pelajar mendaftarkan diri sehingga kepada mereka bergelar alumni.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: