![]() |
| Selain menawarkan kualiti imej yang baik, ia juga mempunyai reka bentuk yang amat menarik. |
MAHU meluahkan daya kreativiti anda dalam seni fotografi? Atau mahu mendapatkan set kamera yang benar-benar dapat memenuhi kehendak serta cita rasa anda dalam dunia fotografi sekali gus memberikan pulangan yang berbaloi dengan pelaburan yang dibuat.
Mungkin kamera kompak dari jenama Olympus merupakan antara pilihan terbaik buat anda yang agak keberatan untuk mengusung kamera digital lensa refleks tunggal (DSLR) yang agak berat serta leceh digunakan.
Biarpun ia tergolong dalam kategori kompak namun jangan terkejut dengan kualiti gambar yang dirakam oleh kamera kompak dari Olympus ini.
Malah, apa jua teknik fotografi yang dahulu hanya boleh dirakamkan oleh kamera DSLR kini mampu jua dirakam oleh kamera kompak ini.
Olympus membuka tirai 2011 bersama dua model kamera kompak keluarannya iaitu PEN E-PL2 dan X-Z1.
Kedua-dua model kamera tersebut dihasilkan bagi memberi peluang kepada mereka yang baru berjinak-jinak dalam bidang fotografi namun mampu merakam imej setanding profesional.
Menurut Pengarah Urusan Olympus (Malaysia) Sdn. Bhd., Tan Tick Boon, pihaknya amat maklum bahawa peratusan rakyat negara ini yang amat berminat dengan kamera DSLR telah meningkat namun, tidak ramai yang memilikinya.
"Justeru Olympus turut memikirkan cara terbaik bagi memuaskan hati semua peminat seni fotografi dengan menghasilkan siri kamera kompak yang setanding dengan kamera DSLR iaitu PEN E-P1, PEN E-P2 dan PEN E-PL1.
"Olympus juga turut menawarkan XZ-1 berikutan pihak kami menerima banyak permintaan dari pengguna yang mahukan imej yang beresolusi tinggi melalui kamera kompak," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran kedua-dua model baru Olympus di ibu negara baru-baru ini.
Bagi siri ZX-1, ia akan dijual bersama set lensa jenama Zuiko Digital yang setaraf dengan lensa kamera DSLR.
Antaranya adalah lensa pemfokusan empat kali ganda, dari 28 sehingga 112 milimeter (mm) menjadikan ia satu-satunya kamera kompak yang menawarkan lensa sedemikian.
Malah, ia juga merupakan antara kamera kompak Olympus yang pertama yang memiliki aperture (f) dari 1.8 imej luas (wide) sehingga 2.5 untuk telefoto (telescopic zooming).
Dilengkapi dengan paparan skrin sensitiviti tinggi bersama penderiaan pembetulan gegaran kamera (CCD) dan TruePicV menjadikan kualiti gambar yang dirakam setanding kamera DSLR.
Selain itu, turut ditawarkan penapis cahaya serta pelbagai lagi aksesori yang mampu meningkatkan daya kreativiti pengguna dalam merakam imej.
Manakala bagi PEN E-PL2 amat sesuai bagi mereka yang berminat dengan aplikasi yang ditawarkan oleh DSLR namun dalam bentuk yang lebih kecil, ringan serta mudah untuk dioperasikan.
Melalui idea kamera kedua bagi jurugambar profesional, pastinya PEN E-PL2 mampu menjadikan anda benar-benar teruja untuk merakamkan mana-mana imej dalam apa jua keadaan.
Didatangkan bersama lensa pemfokusan terbaru dari M. Zuiko Digital, 14 hingga 42 mm, dengan f3.5 hingga 5.6 dimana lebih pantas daripada versi sebelumnya.
Terdapat pembaharuan lain turut dilakukan seperti ke atas mekanisme Art Filters dan MSC (Movie&Still Compatible) terbina dalam memastikan peningkatan dalam kelajuan pemfokusan.
Namun memiliki kamera sahaja sudah pasti tidak lengkap jika tidak didatangkan bersama aksesori yang lain justeru Olympus turut menyediakan beberapa aksesori tambahan.
Antaranya Lensa Penukar (converter) - Fisheye, Wide dan Macro di mana boleh disambungkan dengan mudah kepada lensa M. Zuiko Digital 14-42 mm.
Seterusnya MAL-1 Lengan Berlampu Makro yang amat bersesuaian digunakan untuk merakamkan imej objek yang kecil seperti barangan perhiasan atau barang kemas.
Terakhir, kedua-dua kamera tersebut juga turut dilengkapi dengan bekas kalis air bagi mereka yang ingin merakamkan pemandangan indah ketika berada di bawah air sehingga 40 meter dalam.
Justeru, tawaran Olympus terhadap ZX-1 dan PEN E-PL2 beserta aksesori tambahan tersebut dilihat amat berbaloi untuk dimiliki bagi mendapatkan kepuasan merakam gambar walau dimana jua anda berada.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: