Wednesday, February 23, 2011

TV3 beri mandat kepada Zizan, Dira untuk terajui Melodi



Ura-ura mengenai pertukaran pengacara Melodi kebelakangan ini terjawab apabila pihak TV3 mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan perkara itu.

Dira Abu Zahar dan Zizan (Raja Lawak) akhirnya sah menjadi pengacara baru program hiburan sensasi itu menggantikan Wahid (Senario) dan Fara Fauzana yang sudah menerajui Melodi selama enam tahun.

Duo baru ini akan membuat kemunculan pada April memandangkan kontrak Wahid dan Fara tamat pada penghujung Mac.

Penerbit Melodi, Azman Abd Ghafar berkata, pertukaran pengacara diharap tidak menjadi isu memandangkan perkara itu adalah tradisi positif.

“Pihak penerbitan tidak mahu masyarakat dan penonton setia Melodi beranggapan transisi ini perkara negatif atau berlaku kerana ada ketidaksefahaman antara pihak terbabit.

“Perubahan dilakukan demi memastikan penjenamaan Melodi dan pengisian kandungannya diperbaharui, relevan dan menepati kehendak cita rasa penonton. Malah, pihak kami juga pernah membuat pembaharuan dari segi penerbit, wartawan penyiaran, kandungan dan penerbitan itu sendiri,” katanya.

Menurutnya, pihaknya tidak menafikan wujud keserasian dan kehebatan antara Wahid dan Fara selama memikul tanggung jawab sebagai pengacara Melodi.

Namun, selepas perbincangan dalaman dan berdasarkan sesi pemilihan calon pengantara yang dilakukan beberapa bulan sebelum ini, pertukaran muka hadapan Melodi adalah langkah strategik dan wajar dilakukan.

“Kami yakin bakat dan potensi Zizan dan Dira. Mereka mampu mengendalikan rancangan dengan keunikan dan stail sendiri dalam meredakan suasana setelah paparan panas dan sensasi dihidangkan.

“Kami juga percaya setiap pengacara dianugerahkan bakat berbeza dan mempunyai kelompok peminat sendiri. Jika diberi peluang, gandingan Zizan dan Dira mampu menyerikan program ini dengan corak pengacara yang sudah sebati dengan penonton,” katanya.

Sebelum ini, Dira pernah menjadi pengacara program Beat TV, Pulus Mania dan Jom Ronda. Sementara Zizan merupakan pengacara Gelanggang Raja Lawak, selain pernah mengacarakan program Bolos dan Idola Kecil.

Mereka berdua sudah mula ditampilkan di Melodi bergandingan dengan Wahid dan Fara sejak beberapa episod lalu.


Wahid tutup mulut

Sementara itu, Wahid ketika dihubungi enggan memberikan sebarang kenyataan melibatkan penamatan tugasnya sebagai pengacara Melodi.

“Saya tidak mahu bercakap apa-apa tentang penggantian pengacara ini, termasuklah pengalaman saya atau perkara berkaitan sepanjang mengacara Melodi.

“Bukan bermakna saya marah atau apa, cuma ketika mula-mula menjadi pengacara Melodi juga saya tidak bercerita apa-apa. Jadi, saya mahu perkara yang sama apabila tidak lagi menjadi pengacara Melodi,” katanya.

Namun, peminat Wahid masih boleh melihat telatah pengacara berbakat ini sebagai hos baru program Ewah-Ewah bergandingan dengan Nabil yang akan ditayangkan di TV3 mulai April.

Usaha mendapatkan reaksi Fara pula tidak berhasil kerana penyampai Hotfm itu tidak menjawab panggilan telefon.

2 comments:

  1. aik taknak buat komen apa2...yang seorang lagi taknak jawab telefon...apa kamu rasa? oren!aku cadangkan melodi terjah mereka berdua ni cara paksa macam melodi buat kat artis lain...ataupun kalau ada rancangan dari stesen tv lain cari mereka...

    ReplyDelete
  2. akhirnya... tiada lagi wahid & farah. dah boring tengok dia org 2 org tu.

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: