Wednesday, February 23, 2011

Teater Lat cabar Harith

Mulanya Harith Iskandar hanya berminat untuk menjadi tenaga sokongan bagi pementasan teater Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal (LKBSM) di Istana Budaya pada 16 Mac hingga 3 April ini.

Namun atas dasar sahabat, dia tidak mampu menolak pelawaan pengarah dan penerbit LKBSM, Hans Isaac, untuk menjadi pengarah bersama.

Harith yang juga bertindak sebagai penulis skrip mengakui, bukan mudah menggalas tanggungjawab itu sementelah lagi ia melibatkan dua kepala.

“Apabila ada dua pengarah, pengurus produksi perlu mengambil kira keperluan dua individu. Justeru, beliau perlu memiliki kemahiran pengurusan dan komunikasi yang berkesan untuk mengelakkan rasa tidak puas hati.

“Ini kerana hal kecil juga boleh jadi punca perselisihan, tambahan bila keadaan makin tertekan saat menjelang hari pementasan,” katanya.

Menyedari kemungkinan ini, Harith akan memastikan dia dan Hans sentiasa berkomunikasi termasuk berkirim khidmat pesanan ringkas (SMS) setiap hari.

“Kami pastikan pembahagian tugas jelas dan seimbang, maka tidak timbul isu mahu menunjuk kuasa atau siapa lebih hebat mengarah.

“Komunikasi dua hala sangat penting bagi sebuah produksi yang diterajui dua pengarah secara bersama. Tapi, tiada gunanya hubungan erat antara kedua-dua pengarah jika pengurus produksi gagal memahami fungsi tugasnya dengan sempurna,” katanya.

Namun, cabaran paling besar bagi Harith ialah proses menghasilkan skrip teater keempat arahannya ini.

“Berbanding menulis skrip, memilih bahan paling sesuai untuk dijadikan naratif mengambil masa yang lebih lama kerana semuanya menarik dan ingin dipersembahkan kepada penonton.

“Saya cuba menghasilkan karya yang jujur aspek kreatifnya dan saya biarkan diri bermain pelbagai imaginasi berpaksikan naratif novel grafik Kampung Boy, selain cerita yang dikongsi Datuk Lat dengan saya dan Hans,” katanya.

Menurutnya, Datuk Lat sendiri membaca draf pertama skrip yang ditulisnya dan bersetuju serta tidak memberi sebarang komen terhadap draf itu.

“Datuk Lat memang tidak suka campur tangan dalam hal kreatif orang lain. Beliau memahami sensitiviti itu dan saya suka sifat beliau,” katanya yang turut menyifatkan kartunis itu seorang yang ‘cool’.

Harith juga menjamin LKBSM akan menampilkan kelainan yang tidak pernah ditonton audiens teater tempatan.

“Semestinya kami mahu pementasan LKBSM berjaya dan menjadi legenda seperti Datuk Lat. Selamat menonton!,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: