Wednesday, February 16, 2011

Tak pernah sunyi

  • Foto

  • Foto

  • Foto

    MAYA kelihatan begitu mesra bersama Remy ketika sesi ramah mesra filem Cun.

Maya Karin mahu nikmati kehidupan secara solo sepuas-puasnya

MELIHAT kepada gambar yang memaparkan aksi Maya Karin dan Remy Ishak, memang tidak salah kalau hendak mengatakan seperti ada hubungan yang intim antara mereka.Kemesraan antara mereka yang jelas terpancar, seolah-olah itu bukan lakonan. Kedua-duanya dilihat menjadi pasangan cukup serasi dan romantik selepas pertama kali digandingkan dalam teater muzikal Natrah.
Jadi, tidak hairanlah, peminat sentiasa menanti perkembangan selanjutnya mengenai hubungan mereka. Pernah ditanya mengenai keintiman itu, tetapi Maya dan Remy masing-masing menegaskan hubungan yang dilihat rapat itu sebenarnya tidak lebih daripada seorang sahabat.

Sehingga hari ini, Maya sendiri memberi gambaran kepada media bahawa dirinya tidaklah terdesak sangat hendak mencari pasangan hidup.

Baginya, tiada perkataan sunyi dalam kamus kehidupannya ketika ini. Biarpun statusnya sudah berubah dari seorang isteri kepada seorang janda, namun bagi Maya Karin, dia tidak menghadapi sebarang masalah untuk meneruskan kehidupannya seperti biasa.

Mungkin bagi sesetengah pihak, perkahwinan yang berakhir dengan perceraian adalah menyakitkan. Namun perkara itu tidak berlaku pada pelakon yang terkenal dengan watak pontianak ini.
Baginya, tak perlu dikesalkan atas apa yang berlaku. Mungkin apa yang terjadi, ada hikmahnya dan setiap apa yang mendatang, harus dijalaninya dengan penuh tenang tanpa sebarang rungutan. Sebab itulah, senyuman manis sentiasa terukir di bibir bentuk limau seulas pelakon manis ini.

Wajah segar Maya itu kelihatan ketika dia menghadiri majlis ramah mesra filem Cun lakonannya bersama Remy Ishak yang diadakan di Restoran Enak, Starhill Gallery di Jalan Bukit Bintang, baru-baru ini.

Dengan rambut melepasi paras bahu yang disisir rapi, ditambah mengenakan skirt kembang paras lutut dan menyarung baju tanpa lengan rona hijau serta kasut tumit tinggi warna merah jambu di kaki menyebabkan penampilan Maya cukup hebat petang itu.

Mustahil wanita secantik ini tidak ada yang cuba mendekati? Apatah lagi selepas kembali hidup bersendirian tentunya ramai lelaki akan berusaha untuk memenangi hati Maya sekali gus menjadikan mereka antara calon suaminya.

“Memang ada lelaki yang cuba mendekati, tapi saya tolak baik-baik dengan mengatakan saya mahu menumpukan kerjaya saya. Buat masa ini, saya ingin menikmati sepenuhnya kehidupan saya. Sudah lama tak hidup bersendirian, jadi bila ada peluang, biarlah saya lalui saat-saat ini tanpa gangguan,” jelasnya.

Kata pemilik nama penuh Maya Karin Roelcke ini, biarpun ada yang mengaitkan perkataan sunyi dengan kehidupannya masa kini, namun dia menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu.

“Saya tak pernah sunyi. Kalau tidak berlakon, saya terbabit dengan komersial ataupun tugasan sebagai jurucakap produk kecantikan dan penjagaan kesihatan. Selepas tamat penggambaran filem Cun, saya mahu tumpukan perhatian terhadap pembikinan album.

“Minggu depan saya ada sesi fotografi untuk sampul album. Jadi jadual saya sentiasa padat sehingga tidak ada masa memikirkan soal kesunyian,” katanya sambil tertawa kecil.

Mengenai kesahihan sejauh mana hubungannya dengan Yusry Abdul Halim atau Yusry KRU yang digosipkan sedang bermain cinta dengannya, Maya berkata antara mereka hanyalah kawan biasa.

Selesa bersama Remy

Walaupun berusaha meyakinkan media bahawa dirinya bahagia menjalani kehidupan solo, namun secara tiba-tiba Maya menukar pengakuannya itu. Katanya, dia seronok kerana kehidupannya itu bakal diakhiri dengan kisah gembira.
Kenapa perlu berdolak dalik? Apakah dia bimbang jika menggembar-gemburkan kisah cintanya itu, ia juga bakal berakhir kesedihan?

“Sebelum ini kisah cinta saya banyak yang berakhir dengan tragedi, seperti cinta tidak kesampaian, kehilangan dan sebagainya. Namun, untuk kali ini saya puas hati kerana akhirnya saya dapat juga lelaki yang saya idamkan.

Bagaimanapun perkara itu hanya berlaku dalam filem Cun apabila cerita itu mempunyai penamat yang gembira berbanding filem lakonan saya sebelum ini,” kata Maya berseloroh.

Mengulas wataknya sebagai Luna Latisha, Maya berkata watak itu benar-benar memberikan cabaran baru buatnya. Selain perlu berlakon di sawah padi, dia juga perlu menunggang kerbau yang disifatkannya sebagai pengalaman yang menyeronokkan.

“Saya perlu menunggang kerbau yang amat besar. Bimbang juga melihat tanduknya. Namun seronok dan dapat menjayakan babak itu sebaik mungkin. Selain itu, saya juga seronok kerana berpeluang bercuti sambil bekerja. Hampir tiga minggu di Alor Setar, saya rasa segar sebab dapat lari dari kesibukan kota,” kata Maya sambil mengakui cukup selesa digandingkan dengan Remy dalam filem arahan Osman Ali itu

Ia bakal ditayangkan kepada khalayak penghujung Mac depan.

Kongsi cerita dalam album solo

PENANTIAN selama tujuh tahun berakhir apabila album yang dinanti Maya akan siap juga akhirnya. Namun, ketika orang lain begitu teruja menantikan buah tangan terbarunya itu, Maya pula yang berdebar-debar.

“Memang itulah yang sering saya fikirkan sementara menunggu album saya siap nanti. Tak tergambar perasaan saya bila membuat persembahan di atas pentas. Maklum sajalah, berlakon dan menyanyi memang berbeza,” kata wanita berusia 31 tahun ini.

Berbanding album sebelum ini yang ada liriknya ditulis oleh Maya, tapi kali ini Maya menyerahkan tugas itu kepada penulis lirik profesional.

“Bagaimanapun ada tiga lirik yang menceritakan kisah hidup saya. Saya hanya bercerita kepada penulis lirik terbabit dan mereka yang menulisnya. Semuanya kisah benar yang berlaku dalam hidup saya dari dulu hingga sekarang,” katanya.
Antara komposer yang terbabit dalam pembikinan album ketiga Maya itu ialah Azlan Abu Hassan dan Audi Mok.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: