Thursday, February 17, 2011

Aiskrim perisa oren tangerin


NEW Zealand Natural menyediakan pelbagai seleksi aiskrim dengan rasa yang lazat.


SEMPENA sambutan Tahun Baru Cina awal bulan ini, pengeluar produk tenusu jenama terkemuka dunia, New Zealand Natural menyajikan santapan pencuci mulut yang menyelerakan terutama bagi penggemar aiskrim.

Sinonim dengan kemakmuran yang dikaitkan dengan buah oren tangerin, kemunculan perasa baru The Tangerines & Cream Sundae itu turut memberikan kelainan kepada lidah pelanggan yang mengimpikan cita rasa tropika.

Menurut Eksekutif Pemasaran New Zealand Natural Malaysia, Cheah Hsu Jen, perasa yang baru diperkenalkan itu disediakan secara berlapis dan mempunyai daya penarik tersendiri terutama untuk golongan si cilik berikutan variasi warna yang unik.

“Lapisan paling bawah diletak beberapa skup sorbet buah mangga kemudian ditambah aiskrim berperasa vanilla klasik.

“Kemudian, ia dilapiskan dengan serbuk bijirin Mochis kenyal dan diletakkan kepingan buah-buah oren tangerin bersama krim putar di bahagian paling atas,” ujarnya yang ditemui pada majlis memperkenalkan aiskrim perasa baru itu di New Zealand Natural cawangan Sunway Pyramid baru-baru ini.

Majlis yang meriah dengan kehadiran wakil media itu turut diserikan dengan penampilan istimewa Miss Malaysia 2010, Nadia Heng.

Nadia yang menggemari rasa masam perahan buah oren yang dituang di atas krim putar turut menyukai sorbet mangga yang dihidang dalam gelas berkaca unik setinggi 15 sentimeter (cm).

“Perasa ini sangat unik dan jarang diperoleh di mana-mana kedai, pastinya saya akan menyarankan rakan-rakan saya untuk mencubanya,” kata Nadia.

Perasa tangerin itu boleh diperoleh sehingga 20 Februari ini dan dijual pada harga RM18.80 di semua cawangan New Zealand Natural.

Selain itu, sebanyak 26 pilihan perasa aiskrim lain disediakan kepada pengunjung untuk dipilih antaranya Chocolate Ecstasy, Durian Divine, Mango Sorbet, Rum & Raisin, Cookies & Cream dan Macadamia Supreme.

New Zealand Natural juga memperkenalkan promosi potongan harga 30 peratus pada 30 haribulan setiap bulan. Pada tarikh itu, setiap pembelian aiskrim pek bawa pulang akan diberikan potongan harga sebanyak 30 peratus daripada harga asal.

Jenama aiskrim yang terkenal sejak tahun 1984 itu turut menyediakan aneka pilihan pencuci mulut lain seperti jus, kopi, teh dan yogurt.

Sebarang maklumat lanjut mengenai produk itu boleh didapati menerusi laman sesawang www.nzn.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: