Wednesday, February 16, 2011

Tak mabuk, tak lari




KONTROVERSI hitam penyebaran gambar panas bersama seorang gadis pantas membuatkan khalayak mula memandang serong terhadap dirinya. Selepas kontroversi itu, Nabil akui bukan mudah untuknya membersihkan imej buruk yang terpalit ke atas dirinya.

Sepi seketika daripada kisah sensasi, namanya tiba-tiba kembali diperkatakan. Dia dikatakan salah seorang pengunjung sebuah pusat hiburan yang berjaya meloloskan diri sebaik sahaja pihak polis membuat serbuan minggu lalu.

Menyedari dirinya adalah individu yang dimaksudkan itu, pelakon komedi berkenaan lantas menjawab segala persoalan yang timbul kerana tidak mahu peminat terus memberikan persepsi buruk terhadapnya.

“Memang saya hairan kenapa nama saya telah dikaitkan dengan kontroversi berkenaan. Saya sendiri tidak pernah menjejakkan kaki di pusat hiburan yang dimaksudkan itu.

“Apa yang saya tahu kejadian tersebut berlaku pada 29 Januari yang lalu. Sedangkan pada tarikh itu saya berada di rumah dan tengah memasang perabot yang baru dibeli di Ikea,” tegasnya ketika diminta memberi penjelasan berhubung perkara itu.

Ketika diberitahu terdapat rakaman melalui kamera litar tertutup di pusat hiburan itu, dia menjelaskan tidak ada apa yang perlu dirisaukan olehnya kerana dia bukanlah juara Raja Lawak tersebut.

Bagaimanapun, dia turut meluahkan rasa kesalnya dengan tuduhan yang dilemparkan ketika dia sedang berusaha untuk memulihkan kembali namanya yang sudah tercalar sebelum ini.

Menurutnya, selepas berlaku kontroversi yang mengaibkannya, dia sedaya upaya untuk mengelak agar tidak lagi dikaitkan dengan sebarang cerita-cerita panas membabitkan dirinya.

“Bayangkan semasa kecoh mengenai cerita saya berciuman dengan seorang gadis, hampir sebulan saya tidak keluar ke mana-mana kecuali ke set penggambaran.

“Keadaan itu membuatkan saya agak sedikit tertekan tetapi masih lagi boleh dikawal. Kalau nak diikutkan kata hati, dah lama saya ambil keputusan untuk berhenti sahaja daripada menjadi artis,” luahnya.

Pada masa yang sama, dia juga tidak menafikan bahawa segala kontroversi yang timbul telah menyebabkan perjalanan hidup dan kariernya sedikit terjejas.

Namun dia menganggap segala yang berlaku itu adalah asam garam dalam kehidupan sebagai seorang artis. Ujarnya, dia sangat bersyukur kerana peminat masih lagi memberi sokongan terhadap dirinya walaupun kerap dilanda dengan pelbagai kontroversi.

Berserah pada takdir

Semenjak hubungan percintaannya dengan Irma Hasmie putus akhir tahun lalu, Nabil berterus terang bahawa sehingga kini dia masih lagi belum mempunyai kekasih.

Mengakui sangat kecewa apabila percintaannya putus di tengah jalan, buat masa ini dia lebih selesa untuk hidup solo dan mahu menjadikan karier lakonan sebagai keutamaan dalam hidupnya sekarang.


ANTARA barisan finallis Artis Komedi Lelaki dan Wanita Popular yang diraikan Rafflesia dan Mandalay.


“Bukan tidak mahu mencari pengganti, tetapi kekecewaan terhadap kegagalan cinta lalu masih belum lagi hilang. Jadi saya tidak mahu memeningkan kepala untuk memikirkan soal cinta.

“Lagipun sekarang saya lebih selesa untuk berkawan dengan sesiapa sahaja. Tentang jodoh pula, saya hanya berserah pada takdir dan sedia menerima siapa sahaja untuk menjadi teman hidup saya nanti,” ujarnya.

Tambahnya lagi, sejak bergelar solo dia gemar memberi tumpuan kepada kerjayanya. Sekiranya ada masa lapang, dia lebih banyak meluangkan masa lepak bersama rakan-rakannya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai status hubungannya dengan gadis bernama Nik Zaris Uqasha Senrose Nik Sen, dia sekali lagi menegaskan bahawa tidak ada sebarang hubungan istimewa antara mereka berdua.

Selepas tercetusnya kontroversi yang membabitkan dirinya dan Uqasha tidak lama dahulu, Nabil memberitahu, gadis berkenaan juga kini sudah tidak lagi menghubunginya.

“Hubungan kami memang tidak lebih daripada sekadar kawan biasa. Malah, kami sudah tidak lagi berhubung kerana mungkin dia tidak mahu lagi dikaitkan dengan sebarang kontroversi dengan saya,” jelas Nabil.

Watak serius

Dikenali sebagai seorang pelakon komedi popular, pelawak yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan ini mengakui ada menyimpan hasrat untuk cuba memainkan watak yang lain berbeza.

Ujarnya, sepanjang tiga tahun berkecimpung dalam dunia hiburan, Nabil memberitahu dia belum pernah lagi mendapat tawaran lakonan yang mahukannya membawakan watak serius.

“Sebenarnya saya tidak mahu terikat dengan watak komedi sahaja dan begitu teringin untuk membawa watak yang lebih mencabar sebagai satu cabaran dalam karier lakonan saya.

“Bagaimanapun, kebanyakan pengarah masih belum berani untuk menawarkan watak yang lebih mencabar. Bukannya saya sudah bosan tetapi tidak semestinya saya berlakon dalam rancangan komedi selama-lamanya,” luah Nabil.

Ujarnya lagi, dia berharap agar sedia diberi peluang untuk mengembangkan karier lakonannya dan tidak mahu terlalu selektif untuk memegang apa sahaja watak yang ditawarkan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: