Wednesday, February 16, 2011

Feminisme Mary J. Blige


MARY J. BLIGE tidak memerlukan gimik berlebihan untuk memukau peminat, cukup dengan vokal mantapnya.


MUNCUL dalam dunia muzik Hollywood pada tahun 1992, Mary J. Blige awal-awal lagi telah meraih perhatian khalayak dengan keunikan muziknya yang tersendiri. Ya, dia membawa muzik yang selalu menjadi makanan penyanyi kulit hitam sepertinya, hip hop, namun yang membuat Mary lari daripada penyanyi sedia ada adalah hip hop yang dibalut dengan irama soul yang mengasyikkan.

Membuat penyanyi kelahiran Amerika Syarikat ini lebih menangkap perhatian terutama golongan wanita adalah lirik-lirik lagu yang dihasilkan wanita ini - ringkas, tetapi penuh semangat juang dan menjadi pengubat patah hati.

Lebih menarik apabila Mary turut banyak menyelitkan lagu yang penuh semangat feminisme sebagai lambang wanita harus kuat dan jangan mudah tewas dengan lelaki.

"Saya menghasilkan muzik daripada pengalaman hidup dan apa yang terjadi di sekitar saya," begitu jawab Mary dalam sesi sidang akhbar sewaktu ditanya tentang muziknya yang mampu memikat jutaan hati peminatnya.

Apa yang dikatakan Mary dibuktikan dalam kebanyakan judul albumnya seperti Love & Life, Growing Pains dan Stronger With Each Tears yang merupakan album terbarunya. Dia menggunakan muzik sebagai saluran menyampaikan segala kepedihan, perjuangan, cinta dan kegembiraan yang akhirnya menjadi satu semangat buat semua pencintanya.

Telah memenangi sembilan anugerah Grammy dan empat kali anugerah American Music Awards, tiada yang lebih mengujakan pencinta wanita ini apabila dia singgah ke Malaysia sebagai salah satu destinasi siri jelajah konsert Saved My Life yang diadakan di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen, Kuala Lumpur.


PERSEMBAHAN penuh energatik Mary J. Blige mendapat sorakan peminatnya.


Muncul di atas pentas sekitar pukul 9.15 minit malam dalam persalinan serba hitam, Mary tidak menunggu lama untuk mengajak peminatnya terpegun dengan persembahan yang dipamerkan. Dia tidak membuang masa lebih sejam waktu konsert dengan menghidangkan satu per satu lagu hitnya seperti I Can Love You, Love No Limit, Love Is All We Need dan Overture dengan cukup bertenaga.

Hanya seorang diri mengalunkan lagu-lagu romantiknya, tanpa sebarang gimik, Mary tetap memukau. Sesekali pada lagu-lagu berentak rancak, dia menari bersama dua penari dan gerak tari yang dibikin Mary telah membuat penonton teruja untuk turut menari bersamanya.

"Saya begitu teruja kerana dapat menghiburkan anda semua di Malaysia. Ayuh bangun menari bersama saya," katanya yang mengajak peminat yang duduk di dalam dewan berdiri dan menari mengikut alunan lagu yang dipersembahkan.

Tidak menghampakan peminat, tentunya tiga hit yang telah membikin fenomena Mary di seluruh dunia iaitu Family Affair, No More Drama dan Be Without You turut termuat dalam untaian lebih 25 lagu yang dipersembahkan.

Jujurnya, tiada yang luar biasa pada persembahan Mary malam itu. Namun ia mengesankan apabila Mary tidak berlebihan untuk membuktikan bahawa dialah diva Mary J.Blige yang membuat sebuah persembahan spektekular.

Sebaliknya dengan sebuah set pentas yang sederhana tetapi menjadi dramatik dengan bantuan pencahayaan serta pemuzik dan muzik yang telah diprogram lebih awal, Mary memikat hati peminat dengan vokal mantap dan gerak lincahnya di atas pentas. Itu sudah cukup membuat peminatnya terus jatuh cinta dengan penyanyi yang serba sederhana ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: