Thursday, February 24, 2011

Sumbangan hasil kotak makanan


Keriangan jelas terpancar di wajah kanak-kanak apabila diberi peluang mengabadikan cetakan tapak tangan pada logo Clarins dan menulis impian mereka.


KEHADIRAN tahun 2011 lebih bermakna kepada penghuni tiga rumah kebajikan kanak-kanak apabila menerima sumbangan daripada Clarins melalui program amal Clarins Kami Prihatin.

Kelima-lima rumah kebajikan tersebut iaitu rumah anak yatim Shepherd's Centre Foundation, Pertubuhan Kebajikan Yesuvin Mahligai dan Persatuan Kanak-Kanak Istimewa menerima sumbangan sebanyak RM15,000.

Wang sumbangan itu adalah hasil yang dikumpulkan daripada jualan Kotak Makanan Tengah Hari dalam kempen mengutip dana anjuran jenama penjagaan kulit terkenal itu pada November dan Disember 2010.

Clarins menggalakkan semua orang supaya mengguna dan mengitar semula bekas plastik sebagai alternatif yang mesra alam untuk menggantikan styrofoam.

Hasil yang terkumpul daripada kempen tersebut digunakan untuk melengkapkan bantuan pembelajaran dan bahan-bahan lain seperti komputer riba dan komputer peribadi, buku, kad imbas, papan mainan teka-teki, rak buku, pakaian seragam sekolah dan sebagainya.

Selain itu, Clarins menghadiahkan alat bantuan pembelajaran khas yang berguna untuk guru yang mengajar kanak-kanak istimewa kerana alat itu akan membantu mereka melatih kanak-kanak kurang upaya dengan lebih berkesan.

Di Malaysia sekarang, terdapat kira-kira 115,000 kanak-kanak sekolah yang masih tidak dapat menguasai kemahiran menulis, membaca dan mengira.

Sebagai jenama yang bertanggungjawab dan prihatin, Clarins sentiasa berusaha untuk menyokong mereka, dengan memberikan hadiah pengetahuan menerusi pendidikan, dengan matlamat untuk menjadikan hidup mereka lebih baik dan lebih indah.

Pengurus Besar Clarins Malaysia, Tan Seong Teck berkata, pihaknya percaya menerusi pendidikan, ia dapat membantu kanak-kanak supaya mereka dapat memberi sumbangan kepada masyarakat, menjadi warga yang bertanggungjawab dan boleh berdikari.

Di samping itu, sebagai jenama yang menghormati alam semula jadi, Clarins memainkan peranan aktif dalam mendidik kanak-kanak dan orang dewasa tentang pentingnya perlindungan alam sekitar.

"Gaya hidup sihat dan amalan guna semula, kitar semula dan kurangkan penggunaan (3R) hendaklah digalakkan sejak kecil kerana kanak-kanak lebih mudah menerima perubahan dan mengamalkan tabiat ini," katanya.

Menurut Seong Teck, dengan mengguna semula bekas plastik boleh membantu mengurangkan penggunaan tenaga, pengangkutan dan juga sampah yang perlu dibuang ke tapak pelupusan.

Katanya, Clarins telah sekian lama melaksanakan komitmennya untuk membantu kanak-kanak yang memerlukan dan melindungi alam semula jadi.

"Kami percaya bahawa kanak-kanak adalah harapan masa depan kita dan menerusi pendidikan yang berkualiti, kanak-kanak kurang bernasib baik dan kanak-kanak istimewa akan diperkasakan dengan pengetahuan, kemahiran hidup dan kebijaksanaan," katanya.

Dimulakan 11 tahun dahulu, program amal Clarins Kami Prihatin telah mengumpul lebih RM835,000 untuk pelbagai pertubuhan kebajikan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: