Thursday, February 24, 2011

Cacat bukan halangan Fadzila


Fadzila Aziz melayan dengan baik setiap pelanggan yang mendapatkan rawatan di spanya.


SECARA zahirnya Fadzila Aziz mengakui dia ada kekurangan berikutan tahap penglihatannya yang rendah atau hampir separuh buta, bahkan telah diketegorikan sebagai orang kurang upaya (OKU).

Begitupun dia tidak menjadikan kekurangan itu sebagai kelemahan untuk meneruskan hidup jauh sekali merayu bantuan ke sana-sini.

Bahkan ibu kepada dua orang cahaya mata itu cukup percaya dengan pepatah Melayu, ‘nak seribu daya, tak nak seribu dalih’.

Pepatah itu juga yang menjadi azimat untuk dia berusaha dan bertahan dengan perniagaan spa yang diusahakan di kediamannya sejak 11 tahun lalu.

Kesempatan berjumpa dengan wanita berusia lewat 40-an itu, mencetuskan rasa kagum dengan ketabahan dan kecekalannya mengharungi cabaran perniagaan yang jika dilakukan oleh insan normal pun belum tentu boleh berjaya.

Berbangga dengan Df Body Massage, spa tersebut menawarkan pakej rawatan seperti urut badan, urut selepas bersalin, urut bahu dan kepala, sauna, refleksologi dan sebagainya.

Menurut Fadzila, kemahiran mengurut yang dimiliki adalah anugerah daripada Ilahi yang cuba dimanfaatkan sebaik mungkin.

Bermula dengan hanya mengurut kawan-kawan dan saudara mara terdekat, dia mengorak langkah lebih jauh dengan membuka spa.

“Mulanya bimbang juga untuk memulakan perniagaan ini, takut tidak mampu lebih-lebih lagi dengan kekurangan yang ada pada diri saya.

“Namun selepas setelah mendapat sokongan keluarga dan galakan daripada Persatuan Pertubuhan Orang Cacat Malaysia, sekarang saya boleh berlapang dada kerana perniagaan yang dibuka di rumah semakin mendapat sambutan,” katanya.

Sebagai langkah awal dengan menggunakan modal sendiri Fadzila membeli peralatan pertama iaitu sebuah katil rawatan untuk dijadikan tempat mengurut.

Pada masa sama dia juga mengikuti kursus refleksologi yang dianjurkan oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) sebagai langkah meningkatkan kemahiran.

Langkahnya bertambah laju apabila Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah memberikan bantuan peralatan sauna.

“Alhamdulillah, JKM telah berbesar hati menyumbangkan kepada saya sauna yang banyak membantu saya meningkatkan perniagaan.

“Selain itu saya juga menerima bantuan kewangan sebanyak RM5,000 melalui geran 1Azam daripada Jabatan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Saya gunakan wang tersebut untuk membeli kerusi untuk urut refleksologi,” jelasnya.

Fadzila yang juga Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Persatuan Pertubuhan Orang Cacat Malaysia turut memanfaatkan kemahiran mengurut yang dimiliki dengan mengajar orang-orang buta di sekitar kawasan kediamannya.

“Saya turut dijemput sebagai pengajar di kursus urutan bersalin untuk orang-orang buta. Saya berharap mereka boleh menggunakan kemahiran tersebut menambahkan pendapatan sendiri,” katanya.

Df Body Massage menawarkan harga serendah RM 30. Pakej urut bersalin selama tiga hari RM 150, urutan badan RM 30 dan sauna RM 30 untuk setengah jam. Bagi yang ingin mendapatkan khidmat Fadzila boleh hubungi 013-3406511.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: