
KUALA LUMPUR - Perancangan sedang dibuat untuk pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di jalan-jalan raya berisiko tinggi kemalangan di seluruh negara bagi pemantauan lebih baik untuk menahan pesalah trafik.
Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh berkata, sistem pemantauan boleh dioptimumkan sehingga 95 peratus melalui penggunaan AES yang berfungsi merakamkan pesalah trafik menerusi kamera dalam talian.
"Fungsi AES untuk meningkatkan kecekapan penguatkuasaan di mana persepsi pesalah trafik ditangkap oleh pihak berkuasa pada hari biasa ialah setakat 20 ke 25 peratus dan semasa musim perayaan ialah 50 peratus dengan penggunaan AES ia akan ditingkatkan ke tahap 95 peratus," katanya selepas melancarkan kempen keselamatan jalan raya di Stesen Bas Bukit Jalil di sini semalam.
Suret berkata, sistem itu yang digunakan secara meluas di negara maju seperti Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat akan membolehkan saman trafik dikeluarkan serta-merta yang akan menjadikan keseluruhan proses pengeluaran saman lebih efisien tidak seperti sebelum ini yang mengambil masa yang lama.
Katanya, bila sistem itu akan dilaksanakan masih di peringkat perbincangan antara Kementerian Pengangkutan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan JKJR.
Mengenai kempen Ops Sikap Ke-23 yang berakhir Khamis depan sempena sambutan Tahun Baru Cina, Suret memberitahu, kadar kematian 12.8 peratus yang dicatatkan pada hari kelapan kempen berbanding 18.5 peratus pada hari biasa adalah baik tetapi lebih banyak lagi perlu dilakukan untuk memastikan peratusan kematian adalah sifar.
Mengenai pengguna motosikal kekal mencatatkan jumlah kematian tertinggi, Suret berkata, orang ramai sepatutnya menggunakan pengangkutan awam yang bukan sahaja dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas tetapi juga lebih selamat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: