Tuesday, February 1, 2011

Sentuhan klasik moden ilham Nassier Wahab

Gitar yang menjadi penghibur rakan-rakan Nassier turut dijadikan sebagai alat perhiasan di sudut biliknya.

SENTUHAN klasik masih relevan dan tinggi nilainya jika dihias dalam sesebuah rumah. Sebab itu penyanyi Nassier Wahab memilih konsep klasik moden sebagai pilihan untuk menata rias setiap sudut dalam rumahnya.

Ruang tamu yang menampilkan konsep klasik-moden.

Rumah teres dua tingkat yang baru dibeli Nassier ini diubah suai mengikut seleranya di Bandar Bukit Raja, Klang, Selangor. Ia dihuni oleh Nassier bersama-sama isteri dan anak perempuannya sejak enam bulan lalu.

Menurut Nassier, dia selesa memilih elemen klasik dan moden kerana gemar mengumpul barangan antik kerana ia mempunyai nilai sentimental sama ada barang itu dibelinya sendiri atau hadiah daripada orang lain.

Rona hitam dan putih digunakan untuk bilik tidur anak perempuan tunggal Nassier.

Bermula dari mengumpul barangan antik yang dibawa dari rumah peninggalan arwah ibunya di Kampung Telok Air Tawar, Butterworth, Pulau Pinang, penyanyi yang popular lagu Memori Cinta Luka ini menambah sedikit demi sedikit barangan antik yang dijadikan perhiasan untuk menghasilkan sentuhan klasik moden.

Kebanyakan perabot yang menghiasi ruang tamu, ruang makan dan empat bilik tidur rumahnya ditempah khas dari sebuah kedai perabot demi memenuhi elemen yang menjadi pilihannya itu.

Nassier menunjukkan gelas antik yang digemari oleh arwah neneknya dan menjadi koleksi dalam sebuah almari rumahnya.

Menjamu mata di segenap ruang tingkat bawah rumahnya, diperhatikan warna coklat yang digunakan sesuai dengan padanan konsep klasik yang dipilih.

“Saya gemarkan warna coklat yang lebih melambangkan tentang bumi kita. Mengenai konsep rumah ini, saya mengilhamkan suasana di rumah kampung saya untuk mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanak saya dulu.

Cenderamata yang diberikan oleh Sultan Perlis ini disimpan rapi dalam rak perhiasan di tingkat atas rumahnya.

“Saya bukan sahaja membawa kenangan itu di dalam rumah sebaliknya saya juga menanam pokok-pokok yang terdapat di kampung di rumah baru saya ini.

“Jadi, dari segi idea hiasan dalaman rumah semuanya tercetus dari idea sendiri. Saya juga tidak jemu bertanya kepada kawan-kawan dan ada juga mengambil idea hasil pemerhatian jika berkunjung beberapa tempat di Malaysia dan luar negara,” katanya kepada Mingguan mStar.

Perhiasan yang dibeli dari luar negara menghiasi meja makan di rumah Nassier Wahab.

Tambahnya: “Saya juga menjadikan buku dan majalah dekorasi sebagai rujukan. Selain itu, saya berkongsi idea dengan melawat rumah kawan-kawan.

“Misalnya, saya tertarik dengan bingkai gambar Madinah yang dilihat di rumah seorang kawan. Jadi, saya memintanya membeli bingkai tersebut apabila dia berkunjung ke Madinah.

Koleksi bingkai gambar dan trofi anugerah milik Nassier menyerlahkan pemandangan dalam rumahnya.

“Saya juga gemar membeli bingkai gambar yang memaparkan beberapa lokasi di luar negara seperti Venice, Itali dan Kota Paris.”Nassier juga menghias cenderamata istimewa dari istana yang dimuatkan dalam almari perhiasan selain membeli beberapa perhiasan kaca yang tampak mahal dan terhad di pasaran untuk mencantikkan rumahnya.

Penyanyi Nassier Wahab

Dia turut menyediakan sebuah almari khas untuk meletak barangan antik pemberian nenek moyangnya seperti pinggan mangkuk yang berusia lebih dari 100 tahun.

Ternyata bakat merias dan mengemas memang sebati dalam diri Nassier yang gemar rumahnya kelihatan kemas dan indah pada pandang mata. Apabila tiada kerja di luar, dia gemar menghabiskan masa di rumah dan kadangkala melakukan aktiviti mengemas seorang diri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: