Tuesday, February 1, 2011

Peluang bertani di kota Malang

Kedudukan Kusuma Agrowisata yang berada di dataran tanah tinggi sesuai untuk tanaman strawberry dan epal.

BIDANG pertanian mungkin agak asing bagi sesetengah warga kota. Namun sesekali diberi peluang untuk menjadi ‘petani segera’ ia pasti meninggalkan memori indah yang sukar dilupakan.

Sudah menjadi resam mencari rezeki, seawal pukul 7 pagi penulis dan rakan media Malaysia yang mengikuti lawatan ke Indonesia baru-baru ini keluar untuk merasai pengalaman sebagai pak tani.

Keheningan suasana pagi yang sejuk serta mendamaikan menjadikan kawasan sekitar Kusuma Agrowisata, Kota Batu, Malang, Jawa Timur, begitu nyaman dengan keadaan persekitaran yang sedikit berkabus.

Tugas untuk memetik epal dan strawberi sangat mengujakan kerana bukan calang-calang hasil pertanian yang akan kami petik.

Strawberry hidup segar di pusat tanaman Kusuma Agrowisata.

Berada di ketinggian kira-kira 1,000 meter dari aras laut, produk agro pelancongan ini memberi peluang kepada pengunjung untuk memetik sendiri hasil tanaman yang terdapat di ladang.

Dengan bayaran tertentu mengikut pakej yang disediakan, pengunjung dibenarkan memetik lima biji buah seorang sama ada epal, strawberi, jambu merah dan buah naga.

Walaupun berada dalam suasana dingin seperti di negara beriklim sejuk, ia tidak menghalang kami untuk melaksanakan misi berkenaan.

Turut tersedia gerai jualan di luar kawasan pusat peranginan air terjun Coban Rondo.

Untuk memetik strawberi, pengunjung diberikan gunting dan bakul kecil sebagai alatan memetik bagi mengelakkan tumbuhan tanah tinggi itu rosak.

Di sinilah kesabaran akan teruji kerana pengunjung perlu memilih dan memastikan buah yang akan dipetik itu benar-benar masak dan boleh dimakan.

Jika bernasib baik, anda akan menemui strawberi yang benar-benar ranum dengan warna merah menyala. Bagaimana pula dengan rasanya?

Rasanya manis, sama seperti yang pernah penulis nikmati di Cameron Highlands, Pahang. Cuma bezanya di Kusuma Agrowisata, strawberry di sini ditanam di atas tanah.

Ianya berbeza dengan keluaran Malaysia yang ditanam di dalam beg tanah di atas para secara berderet.

Selain strawberi, kami juga berpeluang memetik epal di kawasan ladang yang terletak secara bersebelahan.

Replika ikan yu dan buaya sebagai simbolik asal-usul nama kota Surabaya.

Ini merupakan pengalaman pertama penulis melihat dan memetik epal dari pohonnya. Keadaan pohon yang tidak begitu tinggi membolehkan pengunjung mencapai buah-buah epal yang tumbuh secara berumpun hanya dengan tangan.

Terdapat dua jenis epal ditanam di pusat tanaman epal ini iaitu epal hijau dan merah. Namun ketika kunjungan penulis, hanya epal hijau yang sesuai dipetik.

Kusuma Agrowisata dibangunkan pada 1991 dan merupakan antara pusat agro pelancongan pertama di Indonesia. Di sini juga turut menyediakan kemudahan hotel untuk kemudahan pelancong yang ingin bermalam di kawasan tanah tinggi.

Legenda kasih

Keindahan kota Malang yang terletak 90 kilometer dari Surabaya sebenarnya menyimpan pelbagai keistimewaan pelancongan yang boleh diterokai.

Selain agro pelancongan, Malang yang terletak di dataran tanah tinggi dan beriklim sejuk juga dikenali dengan jolokan ‘kota pelajar’ kerana terdapat banyak institusi pengajian di kawasan berkenaan.

Laluan masuk ke kawasan air terjun Coban Rondo.

Kesegaran berada di kota Malang lebih dirasai tatkala berkunjung ke air terjun Coban Rondo. Seperti kebiasaan tempat-tempat lain, air terjun ini juga menyimpan mitosnya yang tersendiri.

Lokasinya di desa Pandesari Kecamatan Pujon Kabupaten, iaitu kira-kira 12 kilometer dari Malang, suasana persekitaran air terjun ini sunggguh mendamaikan.

Suasana sejuk dengan dipagari kehijauan alam semulajadi yang masih terpeliha sentiasa menggamit kehadiran pengunjung.

Mengikut mitos, kisah disebalik nama Coban Rondo bermula daripada sepasang suami isteri iaitu Dewi Anjarwati dari Gunung Kawi, Raden Baron Kusumo dari Gunung Anjasmoro.

Pengunjung boleh memetik sendiri buah strawberry di Kusuma Agrowisata.

Namun selepas 36 hari melangsungkan perkahwinan, Dewi Anjarwati mengajak Raden Baron ke tempat asal suaminya itu. Namun orang tua si isteri tidak mengizinkan kerana usia pernikahan mereka baru 36 hari atau disebut ‘Selapan’ dalam bahasa Jawa.

Bagaimanapun kedua-duanya ingkar dan berkeras mahu mengambil risiko jika apa-apa terjadi dalam perjalanan mereka.

Dalam perjalanan, mereka dikejutkan dengan kehadiran Joko Lelono yang akhirnya terpikat dengan kecantikan Dewi Anjarwati. Maka terjadilah pergaduhan antara Raden Baron dan Joko Lelono.

Rasai sendiri pengalaman memetik epal di Kususma Agrowisata.

Raden Baron sempat berpesan kepada isterinya agar bersembunyi di ‘coban’ atau air terjun.

Pertelingkahan antara Raden Baron dengan Joko Lelono mengakibatkan kedua-duanya terkorban. Akibatnya Dewi Anjarwati menjadi seorang janda yang dalam bahasa Jawa disebut ‘rondo’.

Jadi sejak dari itu air terjun berkenaan dikenali sebagai Coban Rondo. Kononnya juga batu besar yang terdapat di bawah air terjun itu merupakan tempat duduk sang puteri merenung nasibnya.

Suro dan boyo

Selepas selesai menikmati keindahan alam yang memukau, kami kemudiannya dibawa ke Surabaya iaitu kota kedua terbesar di Indonesia selepas Jakarta.

Sebagai pusat perniagaan, perdagangan dan pendidikan di Jawa Timur, kota ini juga terkenal dengan sejarah perjuangan menentang penjajah bagi mendapatkan kemerdekaan.

Epal menjadikan Malang terkenal sebagai pusat agro pelancongan.

Buktinya, salah satu monumen yang cukup menarik perhatian penulis ialah replika ikan dan buaya yang terdapat di tengah-tengah kota Surabaya.

Replika berkenaan ialah simbolik perjuangan yang secara mitosnya diceritakan sebagai pertempuran antara suro (ikan yu) dan boyo (buaya) yang akhirnya diberi nama Surabaya.

Menurut lagenda, hari jadi Surabaya yang ditetapkan pada 31 Mei setiap tahun sejak 1293 merupakan hari kemenangan pasukan Majapahit yang dipimpin Raden Wijaya terhadap pasukan kerajaan Mongol.

Pasukan Mongol yang datang dari laut itu digambarkan sebagai suro yang juga bermaksud berani dan pasukan Raden Wijaya dari arah darat digambarkan sebagai boyo atau berani.

Jadi secara harfiahnya, keberanian menentang bahaya menerusi mitos berkenaan akhirnya dianggkat dan diperingati sebagai hari jadi Surabaya.

Di Surabaya, penulis dan rakan media lain berpeluang menginap di Hotel Sheraton yang terletak ditengah-tengah kesibukan kota.

Bilik penginapan di Kusuma Agrowisata.

Menariknya, hotel bertaraf lima bintang ini terletak bersebelahan pusat membeli-belah terkenal iaitu Tunjungan Plaza.

Pelbagai barangan seperti kasut, pakaian, jam, aksesori wanita dan lelaki serta pelbagai koleksi lain boleh dibeli di sini.

Kunjungan penulis ke Jawa Timur merupakan sesuatu yang menyeronokan kerana bukan sahaja dapat merasai keindahan alam semulajadi malah turut berpeluang menyaksikan kesibukan kota.

Sebelum terlupa, ingin sekali penulis mengucapkan jutaan terima kasih kepada Endang Rusmihaty, Kaunselor Bahagian Ekonomi, Kedutaan Republik Indonesia di Malaysia yang membawa penulis bersama rombongan rakan media berkunjung ke Indonesia baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: